Komposer terkenal negara Datuk Adnan Abu Hassan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang sebentar tadi.
Allahyarham dikatakan menghembus nafas terakhir kira-kira jam 2.15 pagi.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sejak tengah malam kelmarin kerana menghadapi masalah sukar bernafas.
Adnan kemudian terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sehinggalah beliau meninggal dunia.
Pencipta lagu Helen Yap adalah antara aktivis seni terawal menulis mengenai kepulangan Adnan awal pagi ini.
Melalui Facebook dia berkata industri muzik negara mengalami kehilangan besar dengan kepulangan Adnan ke rahmatullah.
“Rakan saya, seorang penulis dan penerbit lagu terkenal, alumni Berklee Datuk Abu Hassan baru saja meninggal dunia beberapa minit lalu.
“Pemergiannya arwah adalah satu kehilangan besar buat industri muzik tanah air.
“Saya baru saja kehilangan rakan seperjuagan selama 36 tahun,” tulisnya.
Adnan dikatakan diserang angin ahmar pada November tahun lalu dan penyakit itu datang semula kira-kira dua minggu lalu.
Selain menjadi penggubah lagu dan penulis lirik allahyarham juga berbakat besar sebagai penerbit album serta penyanyi.
Antara artis yang pernah mendapat sentuhan Adnan adalah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Fauziah Latiff, Nora, Datuk Jamal Abdillah dan allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Sebelum ini ramai artis sempat menziarahi beliau di hospital atau sekurang-kurangnya mendoakan kesejahteraan beliau.
Salah seorang daripada mereka ialah Siti Nurhaliza.
Marila kita sama sama doakan agar Abg Dee yang sedang sakit kini di beri kekuatan & kesembuhan.. Aamiin ya Rabbóžšóžš by ctdk http://bit.ly/1TQv2rR
Posted by Siti Nurhaliza Tarudin Official on Thursday, March 17, 2016