Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Fizz Fairuz mendakwa terdapat amalan kronisme dan pilih kasih dalam pemilihan pelakon bagi sesebuah produksi drama atau filem.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 37, berkata, sesetengah produksi lebih cenderung memberi tawaran lakonan kepada ‘kenalan’ yang bijak membodek.

Katanya, beliau sendiri hampir tiga bulan tidak mendapat sebarang tawaran berlakon meskipun namanya dicadangkan pengarah.

“Sudah acap kali perkara ini berlaku, terutama apabila pengarah sudah memberi tawaran tetapi nama saya akhirnya ditolak oleh pihak tertentu.

“Nama saya ditolak sebab kroni dan bodek. Setiap produksi ada kroni sendiri.

“Kalau saya tidak pandai bodek ertinya saya tidak akan dapat tawaran itu,” katanya yang menolak sekiranya rupa paras lebih menjadi ukuran bagi sesebuah produksi.

Fizz ditemui di sidang media pengumuman tarikh karnival lanjutan Hello Kitty Go Round in Malaysia di Kompleks Beli-belah Viva, Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya dihimpit situasi sedemikian membuatkan dirinya sebagai anak seni berasa terpinggir.

Malah, Fizz juga menyamakan dirinya dan pelakon yang senasib dengannya seperti ‘pengemis’ apabila perlu meminta-minta untuk tawaran berlakon bagi menampung hidup.

Pelakon baru diutamakan

Aktor yang namanya melonjak menerusi drama siri Nur Kasih (2009) itu, berkata amalan ini disebabkan pihak terlalu yang lebih mudah memberi kepercayaan kepada pelakon baru tanpa menilai tahap kebolehan mereka.

Fizz membandingkan tempoh sukar yang pernah dihadapi ketika dirinya baru menapak dalam industri lakonan, terutama sebagai pelakon drama.

“Kini pelakon seusia saya sukar untuk pergi lebih jauh. Dulu nak masuk stesen televisyen begitu sukar, hanya pelakon yang mempunyai mutu lakonan gred A saja boleh (diterima).

“Orang akan kata (saya pada masa itu) belum sampai level. Tapi sekarang kenapa (pelakon baru) begitu mudah (diterima)?,” soalnya.

Menyedari tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan lakonan, Fizz Fairuz menubuhkan sebuah syarikat produksi yang dinamakan Rain Maker Production.

Antara lain syarikat berkenaan diberi tanggungjawab untuk menguruskan Karnival Joget Pahang sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

Menurut Fairuz, beliau membuat perancangan untuk projek itu selama empat tahun dan berasa bersyukur apabila karnival berkenaan berjaya dilaksanakan tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS