Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Rumah belum siap, pahat sudah berbunyi.

Beberapa isu ditimbulkan menjelang kemuncak Festival Filem Malaysia ke-27 apabila ada pihak tertentu mempertikaikan senarai calon yang terpilih.

Salah satu pihak pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati itu adalah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).

Presidennya Jurey Latiff Rosli menggunakan Facebook untuk menulis surat terbuka kepada penganjur FFM ke-27 iaitu Perbadan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Jurey dalam suratnya mengaku kehairanan apabila Finas tidak menjalinkan sebarang kerjasama untuk menyediakan acara kali ini.

“Saya berasa pelik kerana selama ini penganjuran diadakan secara bersama, tetapi kini mereka menganjurkan sepenuhya tanpa penglibatan pihak lain.

Bukan kali pertama

“Saya ada mengkaji Akta Finas, namun tiada pula yang menyatakan mereka memegang peranan sebagai satu-satunya penganjur festival filem,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Sutradara Filem (FDAM) turut mempertikaikan kelayakan calon yang dipertandingkan bagi kategori pengarah terbaik.

Presiden FDAM, Othman Hafsham, berkata calon yang mengambil bahagian tidak mendaftar sebagai ahli sama ada dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), FDAM, atau Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).

Katanya, isu itu bukan berlaku kali pertama dalam sejarah FFM kerana pernah dibangkitkan pada FFM ke-24 pada 2011.

“Ini kesilapan kedua. Tahun sudah begini juga.

“Macam mana mereka boleh masuk bertanding sedangkan tidak menjadi anggota persatuan seperti yang disyaratkan?” ujarnya kepada Malaysiakini.

“Mungkin sekretariat Finas tidak mengambil tahu, atau juga mungkin mereka tidak mengkaji permohonan itu terlebih dahulu,” katanya semasa dihubungi Malaysiakini.

Dalam pada itu, kata Othman, FDAM sudah mengemukakan aduan secara bertulis untuk mendapat reaksi Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman sekurang-kurangnya seminggu lalu.

“Kami sudah hantar surat sekurang-kurangnya seminggu lalu tapi hingga kini FDAM masih menunggu respon Finas,” katanya.

Terdahulu, pelakon Que Haidar juga menyatakan FFM kali ini seperti anugerah untuk kanak-kanak apabila filem lakonannya, Ophilia , tidak disenaraikan dalam dua kategori pilihan.

Festival Filem Malaysia adalah acara kemuncak perfileman negara bagi menghargai dan menilai mutu kerja filem tempatan sepanjang tahun.

Selain menyuntik semangat untuk penghasilan filem lebih berkualiti dan bermutu, acara itu turut menggalakkan pengusaha industri untuk mempamerkan hasil kerja yang memartabatkan ciri-ciri budaya tempatan.

FFM ke-27 akan dilangsungkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 5 September ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS