Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Belasungkawa: Karim Latiff bagai adik P Ramlee

Sering berlakon membawa watak jahat dengan berkesan.

Justeru, beliau mendapat kepercayaan Tan Sri P Ramlee memeriahkan filemnya, termasuk Ahmad Albab, Anak Bapak, Masam-masam Manis dan Keluarga 69.

Begitu tuah allahyarham Karim Latiff ketika zaman silamnya.

Karim meninggal dunia kelmarin selepas menghidap penyakit barah.

Menurut Izuddin Nizam 43, arwah banyak menceritakan detik di sepanjang kariernya sebagai pelakon di zaman 1960-an kepada keluarga.

Izuddin adalah anak sulung kepada pasangan Karim, 78, dan Che Asma Hussain, 71.

Antara cerita paling berbekas di hati Izuddin adalah sewaktu bapanya masih muda dan tidak memiliki wang.

“Ada satu ketika bapa memerlukan kot baru untuk bekerja, tetapi tidak mempunyai wang untuk membelinya.

“P Ramlee datang menghulurkan bantuan memberi wang kepada bapa.

"Selepas dapat bayaran lakonan, bapa cuba membayarnya semula namun allahyarham enggan menerimanya," kata Izuddin ketika ditemui Malaysiakini semalam.

Mempunyai nama asal sebagai Abdul Karim Abdul Latiff, beliau lahir di Rembau, Negeri Sembilan pada 1937.

Perkahwinannya dengan Che Asma dikurniakan lima anak, iaitu Izuddin, Izmir, Nur Iznita , Izhar dan Izralfiddin.

Sandiwara Kencana

Karim dilaporkan menjadi anak seni sejak berusia lapan tahun dengan menjadi penyanyi dan pernah menyertai pertandingan Bintang Radio.

Walaupun berjaya ke peringkat akhir, beliau kurang bernasib baik untuk menjadi juara.

Ketika berusia 18 tahun Karim merantau sendirian ke Singapura dan mencuba nasib di Studio Jalan Ampas.

Dia kemudian berpeluang berlakon filem Sandiwara Kencana arahan allahyarham A R Tompel dan diberikan gaji RM3 sehari.

Beliau juga pernah bekerja sebagai pengalih suara untuk filem di RTM.

Keuzuran mula menimpa pada tahun lalu apabila beliau menghadapi masalah penglihatan, selain menghidap kencing manis dan asma.

Izuddin berkata, pada bapanya dapat bekerja dengan P Ramlee adalah umpama impian menjadi kenyataan.

Keakraban dan kemesraan itu terserlah apabila Karim memanggil P Ramlee dengan panggilan “abang.”

Sementara itu Che Asma berkata suaminya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu selepas mengadu sesak nafas.

“Suami mengadu tidak larat sebaik keluar dari bilik air, lalu dia duduk atas katil dan minta makcik urut badannya,” katanya.

Gemar berjimat, beringat

Allahyarham kemudian dikesan mengidap barah tahap empat selepas dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia pada 18 Ogos lalu.

Ada beberapa sikap arwah amat dikagumi Che Asma.

Antaranya, kata Che Asma ( gambar ), suaminya itu gemar menyimpan wang untuk kegunaan masa depan.

"Setiap wang diperolehi akan disimpan dengan cermat untuk membeli keperluan seperti ubat-ubatan dan makanan kegemarannya," katanya.

Che Asma juga menceritakan 'rahsia' yang mungkin jarang diketahui ramai.

"Di sebalik riak muka garang itu, tetap terserlah kelembutannya, terutama apabila dia bergurau-senda dengan cucunya.

"Arwah juga sering mengingatkan anak-anak supaya sentiasa menjaga silaturrahim sesama manusia.

“Sungguhpun nampak garang, silaturrahim dengan kawan tidak pernah putus. Dia seorang yang ramai kawan.” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS