'Malaikat' dari langit manakah begitu pemurah menjadi penderma RM2.6 bilion - tanya Pelakon Terbaik Asia Pasifik 1998, Khalid Salleh, hari ini.
Menulis panjang mengenai isu "derma" bernilai RM2.6 bilion yang hangat diperkatakan kini, Khalid berpendapat rakyat Malaysia sedang disogokkan dengan kenyataan meragukan serta tidak masuk akal.
Namun beliau bertanya sama ada semua rakyat Malaysia begitu "bingai dan dungu sangatkah" sehingga tidak mampu membaca apa yang "tersirat" di sebalik "wayang sedang dimainkan kini.
Pelakon utama filem Jogho itu turut mendakwa Majlis Tertinggi Umno dan ahli parti itu seolah-olah bertukar menjadi zombie yang tidak mampu mengeluarkan pandangan selain mendengar arahan daripada perdana menteri.
"Masya Allah, malapetaka apa sebenarnya yang sedang menimpa negaraku yang tercinta ini?" tulis pelakon yang mesra dipanggil Wak Khalid itu.
Tanggungjawab perincikan
Dalam kenyataan panas dimuat naik di Facebook beliau, Khalid kelihatan enggan mempercayai dakwaan wujud konspirasi menjatuhkan kerajaan sebenarnya tidak pernah wujud
Sebaliknya, kata Khalid, skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak itulah yang sebenarnya wujud.
"Benar atau tidak, maka pasukan penyiasat dari badan-badan diamanahkan dan dipertanggungjawabkan sebagai mewakili suara rakyat seluruhnya mulai menjalankan siasatannya.
"Isunya adalah Najib sang perdana penteri yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan sebagai peneraju kepimpinan untuk mengangkat martabat bangsa agama dan negara.
"Apabila si peneraju mulai terpalit dengan berbagai isu yang meragukan dan merosakkan kepercayaan rakyat, adalah menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja khususnya mereka yang terdekat sama ada Majlis Tertinggi (Umno) atau badan penasihat mempersoalkan dan memperincikan hal yang berlaku sebenarnya," kata beliau.
Khalid turut mempersoalkan sikap pelbagai pihak termasuk cendekiawan, agamawan dan budayawan yang menjadi "bisu".
"Lebih menghairankan tokoh-tokoh agama termasuklah mufti atau bekas-bekas mufti yang biasanya dan dahulunya begitu ‘bersemangat’ memperkatakan tentang amar maaruf nahi mungkar juga ikut sama ‘menikus’, seolah-olah apa yang sedang berlaku ketika ini tidak ada kaitan dengan kemungkaran," katanya.
Ringgit, pangkat dan kedudukan, kata Khalid, ternyata lebih "diimankan" bahkan menjadi kiblat sembahan.
Demikianlah senarionya, kata beliau, seolah-olah Tuhan sudah mati di hati mereka.
"Pepatah Melayu lama menyebutkan: Bangkai gajah tak boleh ditutup dengan nyiru. Siapakah gajah, siapakah bangkai, siapakah nyiru. Dan bau bangkai itu sedang membuak serta menyebar ke setiap lubang hidung mereka yang masih sihat dan berakal serta mengenal erti kebenaran dan kebohongan yang melingkari kehidupannya," katanya.