Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas berlakunya pemecatan Anwar Ibrahim dan penangkapannya oleh kerajaan Barisan Nasional pada 1998, Kuala Lumpur tidak sunyi daripada demonstrasi menuntut pembebasan mantan timbalan perdana menteri itu.

Mereka juga menuntut meletakkan jawatan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

reformasi 1998 270808 03 Peristiwa konspirasi politik yang terhebat pada ketika itu telah mengubah lanskap politik Malaysia.

Orang-orang Melayu yang sebelum itu selesa dan dibuai mimpi-mimpi pembangunan akhirnya bangkit untuk bersama-sama bangsa Cina, India, Iban dan Kadazan untuk bangkit melawan segala kezaliman dan ketidakadilan politik.

Gerakan Reformasi sedekad lalu melahirkan golongan yang menggelar diri mereka “reformis”. Golongan ini melabel sedemikian kerana komitmen mereka untuk menghadiri siri-siri demonstrasi Gerakan Reformasi.

Pengorbanan golongan ini membantu perubahan politik di Malaysia bukannya kecil.

Ramai yang telah dibuang kerja, dikurung selama berhari-hari di dalam lokap dan tidak kurang juga yang terdecera kerana dibelasah polis yang menyuraikan demonstrasi.

Tidak kurang juga mahasiswa-mahasiswa yang telah dibuang kampus kerana terlibat dengan demonstrasi proreformasi.

Golongan ini juga bekerja keras untuk membantu Pakatan Rakyat (dahulu, Barisan Alternatif) dalam tiga pilihanraya umum semenjak 1999, dan juga pilihanraya kecil.

Menginstitusikan reformasi

Selepas kejayaan pilihanraya 8 Mac lalu, lahir kumpulan-kumpulan yang cuba menginstitusikan kumpulan-kumpulan gerakan reformasi. Entah apa tujuan atau halatuju mereka, masih belum jelas.

Akan tetapi pilihan mereka ini bukanlah satu kesalahan jika penginstitusian itu berniat untuk menyusun Gerakan Reformasi agar menjadi lebih formal dan teratur.

reformis president ramlan abu bakar 121208 05 Setakat ini telah ada dua kumpulan yang mendakwa mereka mewakili aktivis-aktivis Gerakan Reformasi iaitu Ikatan Kebajikan Rakyat (Ikrar) dan Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis).

Kemelut timbul baru-baru ini di antara Reformis dengan kerajaan Selangor. Melaluinya presidennya Ramlan Abu Bakar, Reformis mendakwa bahawa kerajaan Selangor pimpinan Khalid Ibrahim zalim terhadap rakyat bawahan dalam isu kenaikan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ramlan, yang sering diberi liputan oleh TV3 jika menghentam kerajaan negeri itu, mengugut untuk menganjurkan apa yang dipanggil “skuad berani bogel”.

Dalam satu kenyataannya, Ramlan berkata skuad berani bogelnya akan meneruskan bantahan, termasuk mengejar menteri besar Selangor, yang juga ketua perhubungan PKR, di majlis-majlis yang dihadiri olehnya.

Tindakan Ramlan dan skuad bogelnya mendapat bantahan aktivis-aktivis Gerakan Reformasi yang telah terkenal seperti Nasir Isa dan Norazimah Mohd Nor.

Nasir yang meringkuk di dalam lokap selama berbelas-belas kali kerana menyertai demonstrasi proreformasi tidak bersetuju dengan tindakan Ramlan dan skuad bogelnya.

Bantahan 'orang lama'

Menurut Nasir, sesuatu perkara jika telah diungkap dengan kata-kata – sama ada dilakukan atau tidak – sudah melambangkan moral yang tidak baik.

Kenyataannya ini merujuk tindakan Ramlan dan “reformis” yang mengugut untuk berbogel di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Shah Alam hujung bulan lepas.

Menurut Nasir lagi, golongan ini tidak layak menggelarkan diri mereka ‘reformis” kerana telah mencemarkan kesucian dan kemurnian perjuangan reformasi di Malaysia.

reformasi 1998 270808 02 Nasir turut merasakan bahawa golongan ini mempunyai agenda atau cita-cita politik peribadi dan memperalatkan aktivis-aktivis Gerakan Reformasi untuk mencapainya.

“Di mana mereka (Reformis) ketika peneroka bandar seperti penduduk Kampung Berembang berjuang menuntut hak? Di mana mereka ketika undang-undang zalim seperti ISA ditentang?

“Mengapa baru sekarang muncul?” tambah Nasir, kini bekerja sepenuh masa sebagai pemandu teksi limosin.

Norazimah Mohd Nor, popular dengan nama ringkasnya Nora, turut mengutuk tindakan Ramlan dan skuad bogelnya.

Dalam tulisan terbaru di blognya, wanita yang sering bermalam di lokap polis ini mengutuk tindakan “Reformis” yang mahu berbogel itu.

“Nora amat terkilan dengan apa yang mahu dibuat oleh mereka kerana bagi Nora itu bukan cara kita mahu mempertahankan isu dan mahu menyampaikan kebenaran,” tulisnya.

“Demonstrasi memang bagi Nora tidak salah tetapi demo bogel, Nora tak boleh terima. Apa yang boleh dicapai melainkan memalukan diri sendiri.

“Nora percaya mereka yang terlibat dalam Gerakan Reformasi 1998 tidak akan bersetuju dengan pendapat untuk melakukan demo bogel.

“Sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak wajar untuk kita lakukan.

“Sungguhpun kalangan mereka yang mahu melakukan demo bogel adalah reformis yang Nora kenal tetapi idea untuk tindakan seperti itu bukan sahaja tidak perlu ada malah tidak perlu difikirkan.”

Reformis bantah presiden

Terbaru, sembilan daripada 12 orang exco Reformis dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Mereka sebulat suara bersetuju untuk mengenakan tindakan disiplin kepada Ramlan.

Surat tunjuk sebab diserahkan kepada Ramlan yang dikatakan telah "membuat serangan peribadi" kepada Khalid dan didakwa membelakangkan pandangan sebahagian besar barisan exconya.

Zairi Jantan, setiausaha Reformis memberitahu media, tindakan ketuanya itu bertentangan beberapa fasal perlembagaan pertubuhan itu – yang kini masih belum diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan.

Secara peribadi, saya fikir sudah sampai masanya untuk membetulkan kesalahan memberi istila dalam Gerakan Reformasi.

Golongan yang aktif dan memberi komitmen untuk bersama-sama dengan demonstrasi proreformasi digelar “reformis”.

Saya tidak bersetuju dengan gelaran ini kerana saya merasakan golongan ini lebih sesuai dipanggil demonstran atau aktivis reformasi.

Jika kita melihat kembali sejarah, untuk digelar sebagai reformis, kita harusnya berjasa besar membawa idea dan dampak perubahan masyarakat seperti Muhammad Abduh di Mesir atau Syed Syeikh Al-Hadi di Tanah Melayu.

Saya usulkan perkara ini bukanah dengan niat menghina atau memperlekehkan sesiapa. Saya sendiri menyokong perjuangan aktivis-aktivis reformasi untuk bersama-sama membuat perubahan di negara tercinta ini.

Perkara ini ditimbulkan agar pada masa akan datang tidak timbul kekeliruan tentang kesilapan menggunakan istilah ataupun munculnya golongan-golongan yang memperalatkan perkataan “reformis”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS