Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden pertama Indonesia, Soekarno pernah berkata dalam pidatonya ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-19:

" Sejarah adalah sebahagian dari diri sebagai bangsa, dia tidak boleh dipisahkan apalagi dilupakan. Melupakan sejarah - apalagi meninggalkan sejarah - sama ertinya dengan kehancuran sebuah bangsa ." (Soekarno, 17 Ogos 1966)

amin iskandar article 291008 sukarno Begitulah pentingnya sejarah dari kaca mata presiden pertama Indonesia sehinggakan dia mengatakan jika sejarah ditinggalkan ertinya sama seperti kehancuran sesuatu bangsa.

Akan tetapi sejarah seringkali dimanipulasi dan dibolot oleh orang-orang yang memegang kekuasaan – seperti yang berlaku di negara kita Malaysia.

Dalam buku-buku teks sejarah sekolah, perjuangan kemerdekaan negara hanyalah milik Umno dan Perikatan. Hanya perjuangan mereka ditonjolkan, sementara perjuangan orang-orang kiri pelbagai bangsa digelapkan dan dipropagandakan sebagai pengganas dan penjahat.

Akan tetapi, kerja-kerja menyembunyikan sejarah bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Kebenaran pasti akan terbongkar jua. Apa lagi di zaman internet apabila manipulasi sejarah dan maklumat dapat dipecahkan dengan pelbagai pendapat dan fakta daripada pelbagai sumber.

Sebelum Revolusi 48

Selepas berjaya dengan dokumentari Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka , Fahmi Reza muncul dengan dokumentari terbaru bertajuk Revolusi 48 .

Pengarah filem ini membongkar kembali peristiwa bersejarah pada 1948 yang telah memainkan peranan penting dalam usaha-usaha memerdekakan negara daripada penjajahan British.

Peranan orang-orang kiri daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam memerdekakan Malaya tidak boleh dinafikan.

Malahan jika dikaji kembali sejarah, mereka inilah perintis perjuangan untuk memerdekakan negara. Ketika Umno yang ditubuhkan pada 1946 bangga dengan slogan “Hidup Melayu”, mereka (baca: golongan kiri) telah melaungkan slogan “merdeka”.

amin iskandar article 291008 poster Pak Mamat, Mak Minah, Pak Chou Tong dan Pak Waimin menceritakan kembali apa yang sebenarnya berlaku pada ketika Malaysia berada di zaman pra-kemerdekaan bermula dari zaman penjajahan Jepun, kembalinya British selepas ketewasan Jepun, darurat diisytiharkan dan golongan kiri mengangkat senjata.

Peranan Lai Teck

Jika Khalid Jaafar, setiausaha akhbar Anwar Ibrahim sewaktu beliau masih timbalan perdana menteri menganggap bahawa Lai Teck yang berasal dari Vietnam sebagai penyelamat agung kepada negara dari pengaruh komunis, filem Revolusi 48 menceritakan sebaliknya.

Chou Tong menceritakan dengan jelas dalam dokumentari ini tentang peranan Lai Teck yang digunakan oleh British untuk menggagalkan usaha memerdekakan negara selepas Jepun menyerah kalah.

Chou, atau nama sebenarnya Au Heng Fong, berkata Lai Teck pernah berkhidmat dengan Perancis ketika di Vietnam sebagai ejen perisikan. Selepas diketahui tentang peranannya sebagai tali barut penjajah oleh rakyat Vietnam, beliau menyusup ke Singapura untuk membantu British.

Di Singapura, Lai Teck pada mulanya menjadi buruh dan kemudian aktif di kesatuan buruh. Dari situlah beliau berjaya menyusup masuk dalam gerakan kiri dan sekali gus rapat dengan PKM.

Apabila Jepun menjajah Tanah Melayu dan Singapura, Lai Teck menjadi tali barut kepada penjajah Jepun pula. Beliaulah yang banyak membongkarkan rahsia kepada Jepun mengenai gerakan anti-Jepun.

Namun apabila Jepun menyerah kalah, dengan cepat Lai Teck bertukar kiblat kepada British. Antara tugasan pentingnya ialah menggagalkan pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah.

Jika tiada Lai Teck, Malaya akan merdeka sepuluh tahun lebih awal!

Gerakan bersenjata

Dalam dokumentari ini juga, keempat-empat penggerak PKM ini menceritakan latar belakang bagaimana dan mengapa mereka menyertai gerakan bersenjata untuk melawan penjajah British.

Pada 1948, British mengisytiharkan darurat. PKMM, API, AWAS dan PKM yang sebelum ini bergerak secara sah diharamkan dan ramai pemimpin parti-parti tersebut ditahan.

Jika British tidak menghalang kebangkitan gerakan kiri, mereka akan dihalau oleh rakyat dari Malaya seperti rakyat Indonesia menghalau Belanda.

British tahu gerakan menuntut kemerdekaan menjadi semakin popular. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa akur untuk memberi kemerdekaan kepada Malaya.

amin iskandar article 291008 konfrantasi Jika orang-orang kiri berjaya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, kepentingan British akan hilang seratus-peratus.

Maka British terpaksa menyokong Umno dan Perikatan yang lebih menjamin kepentingan mereka. Apabila darurat diisytiharkan pada 1948, maka revolusi pun bermula.

Ramai pemuda dan pemudi dari golongan buruh dan petani menyertai perjuangan mengangkat senjata untuk melawan British.

Selepas penjajah meninggalkan Malaya pada 1957, kerajaan yang dipimpin Tunku Abdul Rahman meneruskan perang terhadap golongan kiri dan PKM.

Tindakan ini telah menyebabkan perjuangan bersenjata berterusan sehinggalah Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani antara Malaysia, Thailand dan PKM pada 1989.

Contohi Megawati

Dokumentari Revolusi 48 satu usaha membongkar kembali sejarah-sejarah yang telah disembunyikan selama separuh abad. Pada masa akan datang, lebih banyak lagi yang akan terbongkar.

Penulisan sejarah haruslah adil kepada semua pihak. Yang benar tetap benar. Yang salah tetap salah. Fakta ini tidak dapat diubah.

amin iskandar article 291008 funeral Baru-baru ini, serikandi negara Shamsiah Fakeh pulang ke rahmatullah. Apa yang menyedihkan, pemergiannya tidak mendapat penghormatan yang sepatutnya oleh pemerintah dan aktivis-aktivis politik di Malaysia.

Perkara ini saya khabarkan kepada seorang teman di Indonesia yang kini aktif dengan gerakan Islam. Beliau turut bersedih dengan cara Malaysia melayan tokoh bangsa.

Beliau memberitahu, ketika acara pengebumian bekas diktator Jeneral Soeharto, ramai hadirin yang hadir termasuklah bekas presiden Megawati Soekarnoputri.

Ketika zaman kegemilangan Soeharto, Megawati ditindas teruk oleh Soeharto. Parti PDI-P yang dipimpinnya pernah dipukul oleh jeneral tentera itu.

Bukan itu sahaja, ayah Megawati iaitu presiden pertama Indonesia, Soekarno dijatuhkan oleh rampasan kuasa yang dipimpin oleh Soeharto.

Malaysia harus mencontohi Megawati. Tidak kira apa ideologi politik sekalipun, tokoh tetap tokoh.

Jasa yang besar harus diberi penghargaan dan penghormatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS