Tarikh keramat 2 September lalu disambut oleh gerakan Reformasi dengan tertabalnya Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Anwar sekali gus dipersetujui oleh PAS dan DAP untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Penasihat PKR boleh dikatakan antara ahli politik yang paling beruntung di Malaysia.
Sewaktu bersama Barisan Nasional, beliau memegang jawatan tertinggi seperti timbalan perdana menteri dan pernah merasai jawatan pemangku perdana menteri pada 1997 ketika Dr Mahathir Mohamad bercuti keluar negara buat sementara.
Sekarang apabila bertanding buat pertama kali dalam pilihanraya di luar BN, Anwar menang dengan bergaya (majoriti yang besar) dan masuk ke Parlimen dan kini memegang jawatan paling berpengaruh dalam pakatan pembangkang iaitu ketua pembangkang bagi menggantikan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Usaha bunuh politik Anwar
Sepanjang tempoh berkempen bagi pilihanraya kecil Permatang Pauh antara 16 hingga 26 Ogos lalu, kita dapat saksikan bagaimana BN menggunakan seluruh jentera kerajaan termasuk media arus perdana untuk membunuh karier politik tokoh PKR itu.
Menteri Penerangan, Shabery Cheek yang berjanji untuk memastikan RTM memberikan laporan yang adil terhadap semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh ternyata berbohong apabila saluran awam itu dijadikan sebagai mesin propaganda BN.
Antara usaha-usaha BN untuk mengalahkan Anwar ialah dengan memupuk budaya bersumpah atas nama Tuhan.
Sehari sebelum hari penamaan calon, Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan bahawa beliau pernah diliwat oleh Anwar.
Sumpah laknat ini dilihat bertujuan mengurangkan sokongan orang Melayu terhadap Anwar kerana pengundi-pengundi Cina dan India tidak menjadikan isu sumpah sebagai faktor untuk memilih calon dalam pilihanraya kecil kerusi parlimen itu.
Akan tetapi sebaliknya yang berlaku. Sewaktu hari penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun, puluhan ribu penyokong Pakatan Rakyat yang majoritinya orang Melayu hadir untuk memberikan sokongan kepada Anwar.
Tidak cukup dengan sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful, timbalan perdana menteri Najib Razak juga bersumpah.
Najib bersumpah bukan untuk mengakui bahawa beliau pernah diliwat oleh Anwar, akan tetapi untuk menafikan bahawa beliau pernah mengenali dan bertemu dengan seorang wanita Mongolia apabila sering dilemparkan tuduhan beliau ada hubungan dengan Altantuya Shaariibuu yang dibunuh dengan menggunakan bom C4 pada 2006 (dan kini kes tersebut masih dibicarakan).
Sumpah Najib juga gagal menarik perhatian orang Melayu untuk meninggalkan Anwar.
Bahtera mula karam
Dua hari sebelum 26 Ogos, hari pengundian di Permatang Pauh, bahtera Umno terlanggar dengan ketulan ais besar dan menyebabkan ia bergoncang.
Ramlang Porigi, imam Masjid Wilayah Persekutuan yang menjadi saksi kepada sumpah laknat Mohd Saiful, naik di atas pentas ceramah Pakatan Rakyat bersama-sama dengan mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat dan Anwar, mendedahkan bahawa beliau sebenarnya dipaksa oleh pihak atasan untuk menghadiri sumpah pemuda itu.
Lemah lutut Najib dan jentera Barisan Nasional.
Mufti Wilayah Persekutuan digunakan untuk mengesahkan sumpah Mohd Saiful setelah tercemar dengan pengakuan Ramlang. Namun ia langsung tidak dapat menahan ombak deras kebangkitan rakyat.
Apabila keputusan pilihanraya kecil itu diumumkan, Anwar mendahului calon BN Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat (calon Akim). Misi BN untuk mengurangkan majoriti Anwar gagal.
Anwar menang dengan mendapat 31,195 undi berbanding dengan Arif Shah yang mendapat 15, 524 undi. Hanafi hanya mendapat 92 undi.
Mohd Ezam Mohd Nor dan teman-temannya (yang belot daripada perjuangan PKR) sudah pasti mulai sedar tentang siapa diri mereka sebenarnya. Tanpa Reformasi dan gerakan rakyat, Ezam dan teman-temannya hanyalah manusia biasa.
Ternyata kemasukan Ezam dan teman-temannya dalam Umno tidak membantu untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada Umno, akan tetapi ia menyebabkan pencapaian Umno dan BN lebih merosot berbanding dengan pilihanraya umum 8 Mac.
Saya sempat berada di Institut Perguruan Tuanku Bainun tempat keputusan pilihanraya kecil tersebut diumumkan. Apa yang menghairankan, semenjak petang lagi tidak ternampak seorang pun penyokong Barisan Nasional datang untuk menunggu keputusan pilihanraya tersebut diumumkan.
Mungkin Barisan Nasional sudah mengetahui keputusan pilihanraya tersebut dengan lebih awal dan ramalan ini mendorong BN menyuruh kesemua penyokongnya untuk pulang meninggalkan Permatang Pauh yang terkenal dengan keenakan masakan Nasi Kandar Melayu.
16 September jadi kenyataan?
Hari ini, desas-desus Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September ini menjadi semakin kuat dengan kembalinya Anwar sebagai anggota parlimen.
Dalam beberapa majlis, Anwar memberitahu media bahawa tarikh untuk Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat masih lagi pada 16 September.
Semalam, ketua perhubungan PKR Sarawak, Dominique Ng memberitahu sidang akhbar di Kuching bahawa Pakatan Rakyat kini menjangkakan lebih 40 ahli parlimen akan melompat daripada Barisan Nasional.
Dengan penuh yakin Dominique Ng berkata, "Tiba 16 September ini, kita akan tunjukkan siapakah yang sebenarnya bermimpi atau bercakap besar."
Perkembangan ini menggoyangkan lagi pimpinan-pimpinan BN kecuali Mohd Ezam. Dalam wawancara bersama akhbar Sinar Harian awal September yang lalu, Ezam mengatakan bahawa 16 September adalah dongeng ciptaan Anwar untuk mengalihkan perhatian.
Persoalannya sekarang, percayakah Umno kepada cakap-cakap Mohd Ezam?
Ujian demi ujian yang diberikan oleh Umno terhadap bekas ketua Pemuda PKR satu persatu menemui kegagalan.
Pelbagai insiden berlaku seperti kenyataan ketua Umno Bukit Bendera, Ahmad Ismail bahawa Cina adalah kaum pendatang dan tidak boleh mendapat hak sama rata sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh menyuntikkan lagi vitamin kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.
Parti komponen Barisan Nasional seperti parti Gerakan dan MCA juga telah mula bising dan membuat laporan polis terhadap Ahmad.
Permohonan maaf Najib bagi pihak Umno kepada kaum Cina tidak dapat diterima. Mereka mahu Ahmad dikenakan tindakan tegas dan didakwa bawah Akta Hasutan.
Jangan kita terkejut pada tanggal 16 September ini jika Gerakan dan MCA juga antara parti-parti komponen BN yang akan menyertai Pakatan Rakyat!
Pertembungan dalaman Umno
Ketika desas-desus 16 September hangat dibincangkan, pertelagahan demi pertelagahan beraku dalam Umno. Perebutan jawatan dan kekuasaan telah berada di tahap kemuncak.
Baru-baru ini di Kota Bharu, seorang ketua Umno cawangan cedera parah akibat disimbah adis oleh lelaki yang tidak dikenali.
Sementara itu pada mesyuarat agung tahunan Umno cawangan Sungai Machang Hilir, Lenggeng kecoh dan berlaku kejadian tolak-menolak dan kejadian membaling telur tembelang.
Dua insiden kecil ini antara contoh mengenai perpecahan yang sedang berlaku dalam Umno pada hari ini. Pemimpin-pemimpin Umno kini tidak lagi sayangkan parti mereka.
Yang mereka pentingkan kini hanyalah jawatan dan kuasa. Melalui jawatan dan kekuasaan, wang mudah untuk diperolehi.
Pergaduhan dan pertelagahan akan berlaku dengan lebih banyak lagi menjelang perhimpunan agung Umno, Disember akan datang. Akan tetapi pada ketika itu, nasi sudah menjadi bubur.
Anwar dan Pakatan Rakyat berkemungkinan sudah berjaya mengaramkan bahtera Umno yang telah mengemudi negara semenjak 1957.
Regim Umno dan Barisan Nasional (dahulu dikenali sebagai Perikatan) yang tertua di dunia sedang berada dalam keadaan nazak.
Setakat ini, tidak ada apa-apa ubat atau doktor pakar yang mampu menyelamatkan mereka.