Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hari ini telah terbukti semakin ramai rakyat menolak konsep Ketuanan Melayu tetapi tunggul-tunggulnya masih ada. Pelik tetapi benar, tunggul-tunggul baru Ketuanan Melayu telah muncul kebelakangan ini.

Kali ini ia bukan datang dari batang tubuh gerombolan United Malays National Organisation - tetapi dari gerombolan kecil, satu kumpulan yang selalu bertempik-tempik mengajukan dasar agama yang tidak memandang kaum, bangsa dan ras.

Sewajibnya agama tidak bertuankan Melayu tetapi bertuankan Tuhan - inilah yang menjadi pelik tetapi benar.

Gerombolan kecil yang selalu bertempik-tempik di atas dasar agama ini telah berkhutbah ke hulu ke hilir mengatakan agama yang mereka anuti adalah sejagat.

Tup, tup – apabila dicakar kulitnya, maka keluarlah agama barunya yang bernama Ketuanan Melayu.

Maka keluarlah retorik ajaran agama ini – untuk perpaduan bangsa dan khutbah-khutbah untuk menjaga kemelayuan daripada terhakis.

Inilah yang lebih pelik dan hampir tidak dipercayai kerana yang mejadi juru dongengnya seorang yang amat keras pegangan agamanya sehinggakan sanggup pasa satu ketika dahulu "mengkafirunkan" sesiapa sahaja yang tidak berpayung di bawah ketiaknya.

Pelik tetapi benar!

umno pas Pelik ini bertambah pelik kerana pada awalnya juru dongeng gerombolan kecil ini telah menafikan yang mereka sedang berbincang untuk membuat satu "geng baru" dengan gerombolan United Malays National Organisation.

Menafikan sahaja tidak cukup. Juru dongeng gerombolan kecil ini ingin menyaman sesiapa yang cuba "menuduh" mereka sedang bersubahat dengan gerombolan United Malays National Organisation. Hebat. Memang hebat.

Malah juru dongeng ini menganggap semua cerita-cerita bermuzakarah ini adalah ‘al-fitnah wal fitnah’.

Wah, wah bukan main hebat kenyataan juru dongeng ini. Tup, tup bila kain lunginya terbarai, kelihatan seluar dalamnya koyak lagi masam lagi haprak.

Ternyata apa yang dianggap "fitnah" itu ialah benar – tidak lain dan tidak bukan ialah benar semata-mata. Ke mana hendak disorokkan seluar dalam yang koyak itu?

Hanya mereka sahajalah yang dapat mencari sanad dan nasnya. Ini kerana dalam hal mencari-cari sanad dan nas ini, mereka memiliki ketrampilan.

Apakah penafian awal dari juru dongeng itu satu pembohongan? Pasti ada nas dan sanad yang boleh mereka cari untuk menunjukkan ada bohong kecil, bohong besar, bohong wajib, bohong sunat dan bohong politik.

Dalam kes ini, mengikut nas saya, bohong ini adalah bohong yang bohong, tidak besar dan tidak kecil. Bohong adalah bohong.

Siakap senohong, gelama ikan duri

Pandai cakap bohong, teringin jadi menteri

Kalau bukan bohong, kenapa pada awalnya ada keinginan untuk menyaman tetapi tidak jadi? Pelik tetapi benar.

Terbukti tunggul-tunggul Ketuanan Melayu ini masih bersepah-sepah lagi. Mereka datang dalam pelbagai bentuk. Penjaja utama yang menelurkan konsep Ketuanan Melayu ini ialah gerombolan United Malays National Organisation.

Gerombolan ini lebih 50 tahun menjadi tuan. Hasilnya, mereka hidup bersenang-lenang merampok hasil negara untuk kroni dan suku- sakat.

Jadi kita tidak hairan jika mereka terus ingin menjadi tunggul – pergi tersepak, pulang terlanggar – untuk mempertahankan Ketuanan Melayu.

Yang menjadi pelik tetapi benar ini ialah munculnya tunggul-tunggul baru yang hendak menumpang semangkuk? Ini menjadi pelik.

Di samping ini ada juga macha-macha dan kumpulan-kumpulan kecil yang turut sama menyokong apa yang mereka tafsirkan sebagai muzakarah. Macha-macha dan kumpulan ini mengangkat-angkat tangan dan kaki menyokong muzakkar ini.

umno pas Sebenarnya mereka ini telah mendapat serpihan ekonomi dari gerombolan United Malays National Organisation. Atau mereka diwujudkan sebagai anak syarikat gerombolan United Malays National Organisation.

Ada juga antara kumpulan-kumpulan kecil ini yang memakai jubah kumpulan belia hijau yang berjenamakan agama. Kumpulan dan macha-macha kumpulan belia hijau ini tidak seharusnya menghairankan kita semua. Ini perjuangan macha untuk cari makan.

Untuk kita semua memahami apa yang telah dimuzakarahkan dan apa yang telah dimuzakarahkan kita wajib memahami politik hari ini.

Gerombolan United Malays National Organisation sedang nazak. Dari luar rakyat telah menolak mereka. Dari dalam, mereka sedang beramuk sesama sendiri untuk merebut ghanimah – harta rompakan perang.

Inilah yang menjadi latar timbulnya muzakarah muzakkar wal zakkarah .

Gerombolan kecil yang muncul menjadi tunggul baru Ketuanan Melayu ini sebenarnya bukan orang jahat walau pun mereka membuat kerja- kerja jahat. Ada di antara mereka orang baik. Ada yang memiliki latar belakang agama yang baik.

Tetapi baik sahaja tidak mencukupi dalam politik hari ini. Mereka ini gagal memahami apa makna politik. Mereka juga tidak memahami ekonomi sebagai asas politik. Mereka tidak memahami dinamika ekonomi kapitalis yang tidak memiliki agama dan tidak memiliki bangsa.

Ekonomi kapitalis bertuhankan keuntungan maksimum. Cita-cita ekonomi kapitalis ialah untuk membolot semua punca ekonomi. Punca ekonomi ialah bahan mentah, tanah dan tenaga buruh. Tidak wujud ketuanan Melayu atau ketuanan Cina atau ketuanan Melanau dalam sistem ekonomi kapitalis.

Justeru, Pepsi Cola yang dijual di negara Arab itu adalah sama sahaja dengan yang dijual di Amerika Syarikat walaupun dalam ejaan Jawi. Tujuannya sama - untuk mencari untung.

umno pas Jika masih ada lagi tunggul-tunggul yang menjadi pengikut mazhab Ketuanan Melayu ini, maka sahihlah mereka tidak memahami struktur sistem ekonomi kapitalis yang wujud di negara kita ini.

Ketuanan Melayu adalah satu konsep bayangan, satu agenda politik yang digunakan oleh gerombolan United Malays National Organisation untuk mencari sokongan orang Melayu.

Jika ada Tuan, maka pasti akan ada Hamba Abdi. Ketuanan Melayu ertinya akan ada yang menjadi hamba abdi kepada Melayu. Tidak mungkin orang Cina atau India, Kadazan atau sesiapa sahaja hendak menjadi hamba kepada Melayu. Malah orang Melayu sendiri pun tidak mahu menjadi hamba kepada sesiapa pun.

Justeru, lawan terhadap Ketuanan Melayu ialah Ketuanan Rakyat - politik, pemikiran, falsafah baru yang telah dicadangkan oleh Pakatan Rakyat. Ketuanan Rakyat ini bemakna kita warga di negara ini semua adalah sama tetapi tidak serupa.

Kita sama sederajat walaupun kita tidak serupa agama, budaya, bahasa ibunda. Inilah falsafah yang diajukan melalui konsep Ketuanan Rakyat.

Ketuanan Rakyat akan mementingkan rakyat dahulu, bukan mementingkan keuntungan maksimum. Rakyat itu ialah kita semua – bukan orang Melayu sahaja.

Kenapakah bagitu susah hendak difahami konsep dan falsafah Ketuanan Rakyat? Apa masalah untuk memahaminya? Ketuanan Rakyat ini selari dengan konsep semua agama - kecuali jika ada agama yang mengakui agama mereka mengatasi yang lain-lain, atau agama mereka sahaja yang betul.

Justeru Ketuanan Rakyat mengkukuhkan nilai baik sangka antara sesama manusia. Kitab-kitab suci, ajaran-ajaran nabi dan ahli-ahli falsafah semuanya mengajukan kesaksamaan antara manusia dengan manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

Untuk tunggul-tunggul baru yang cuba bangun dengan Ketuanan Melayu ini, rasa saya mereka harus menilai kembali asas kefahaman politik mereka. Mereka wajib melihat arus politik 2008 apabila rakyat keseluruhan telah menolak konsep dan propaganda Ketuanan Melayu dari gerombolan United Malays National Organisation.

umno pas Sesiapa pun boleh bebas untuk menjadi tunggul. Yang hendak bermuzakarah ke arah mana pun, biarkan mereka bermuzakarah. Yang hendak menggelabah biarkan menggelabah.

Politik baru Ketuanan Rakyat tetap akan akan muncul kerana ini hukum sejarah. Seperti kata datuk nenek moyang kita – pergi tersepak pulang terlanggar - seratus jong masuk pelabuhan, anjing tetap bercawat ekor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS