Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hujung minggu lepas kita dikejutkan dengan satu lagi episod konspirasi politik untuk membunuh karier politik Anwar Ibrahim, ketua umum PKR yang sering dinamakan oleh media antarabangsa sebagai “prime minister in waiting” (bakal perdana menteri).

Hanya dengan sekelip mata, nama Mohd Saiful Bukhari Azlan bekas pelajar Uniten menjadi popular dan dikenali di seluruh negara lantaran laporan polis yang dibuatnya terhadap Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat.

Saiful Bukhari yang pernah bekerja sebagai pembantu di pejabat Anwar mandakwa pernah diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu beberapa kali termasuk yang terkahir pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Desa Damansara.

Laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhari itu mengejutkan ramai pihak. Yang lebih mengejutkan lagi apabila Anwar memberitahu bahawa beliau menerima ancaman bunuh.

Perkara ini diumumkan oleh Dr Syed Husin Ali, timbalan presiden PKR sewaktu sidang akhbar di Hotel Quality, Shah Alam pada 29 Jun. Sidang akhbar tersebut pada mulanya untuk Anwar Ibrahim menjelaskan laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhari.

Akan tetapi atas sebab keselamatan, Anwar tidak dapat hadir oleh kerana beliau berlindung di kedutaan Turki.

Ancaman bunuh yang didakwa diterima oleh Anwar Ibrahim adalah satu perkara yang serius.

Jika dakwaan Anwar itu benar, bermakna regim Abdullah-Najib sudah berada dalam keadaan terdesak dan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kuasa mereka.

Bunuh-membunuh dalam politik bukanlah perkara baru di Malaysia. Walaupun ia tidak sehebat negara jiran kita seperti Filipina dan Indonesia, tetapi sejarah telah membuktikan ia boleh berlaku.

Sewaktu zaman Parti Komunis Malaya (PKM) mengangkat senjata, ramai pejuang-pejuang telah dibunuh.

Tentu kita tidak boleh lupa tentang “Peristiwa Memali” pada 19 November 1985 yang menyaksikan 18 orang penduduk Kampung Memali terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain tercedera.

Walaupun kerajaan yang dipimpin oleh Dr. Mahathir Mohamad pada ketika itu mengatakan Ibrahim Libya dan penduduk kampung tersebut mengancam keselamatan negara, persepsi umum tetap mempercayai bahawa peristiwa tersebut berlaku kerana Ibrahim Libya menggugat politik Mahathir-Musa.

Berbalik kepada tuduhan liwat dan ancaman bunuh kepada Anwar. Walaupun tuduhan liwat masih lagi dalam siasatan polis, masyarakat umum sudah tidak mempercayainya dan menganggap ia satu lagi ulangan konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar.

Rata-rata orang yang saya temui termasuk beberapa orang ahli-ahli Umno berasa marah dengan tuduhan liwat "kali kedua" terhadap Anwar. Bagi ahli Umno yang saya temui, jika benar tuduhan liwat tersebut adalah konspirasi, ia akan mempopularkan lagi Anwar sekaligus mencerahkan peluang bekas timbalan perdana menteri tersebut untuk mengambil alih Putrajaya.

Dalam tinjauan yang dibuat oleh Merdeka Center sebuah badan bebas, majoriti rakyat Malaysia yang mereka temubual, tidak mempercayai tuduhan liwat terbaru terhadap Anwar.

Menurut Ibrahim Suffian, daripada 225 orang yang ditemubual, 60 peratus daripada mereka merasakan bahawa tuduhan terbaru terhadap ketua umum PKR bermotifkan politik.

Mengenai ancaman bunuh terhadap Anwar, bagaimana jika ia benar-benar berlaku? Apakah akan terjadi jika Anwar terbunuh akibat daripada konspirasi untuk menghalangnya mengambil alih Putrajaya?

Di Filipina, pernah berlaku satu peristiwa yang seakan-akan sama. Pada 21 Ogos 1983, Ninoy Aquino pulang ke Filipina setelah tiga tahun hidup dalam buangan di Amerika Syarikat akibat ditekan oleh regim Marcos.

Beliau adalah tokoh pembangkang yang popular dan menjadi alternatif kepada diktator Marcos. Sebaik saja mendarat di lapangan terbang antarabangsa Manila, Ninoy Aquino dibunuh oleh agen-agen diktator Marcos.

Pembunuhan Ninoy Aquino telah menyebabkan kemarahan di kalangan rakyat Filipina. Rakyat hilang kepercayaan kepada pemerintahan regim Marcos dan tindakan tersebut telah mendorong kepada apa yang dipanggil “civil disobedience” secara besar-besaran.

Isteri Ninoy, Corazon Aquino telah diangkat menjadi ikon kepada kebangkitan rakyat. Pada 7 Febuari 1986, pilihanraya presiden berlangsung. Marcos ditentang oleh Corazon Aquino. COMELEC (SPR bagi Filipina) mengumumkan Marcos sebagai pemenang pilihanraya tersebut.

Akan tetapi, keputusan kiraan cepat yang dibuat oleh National Movement for Free Election (NAMFREL), sebuah badan pemantau pilihanraya yang tertua di dunia memihak kepada Corazon Aquino.

Majoriti rakyat lebih mempercayai keputusan pilihanraya yang dikeluarkan oleh NAMFREL berbanding dengan COMELEC.

Kebangkitan rakyat secara besar-besaran bermula apabila menteri pertahanan Filipina pada ketika itu, Juan Ponce Enrile dan pemimpin tentera Lt. Gen Fidel Ramos, mengumumkan dalam satu sidang akhbar pada 22 Febuari 1986 bahawa Marcos telah memanipulasi pilihanraya.

Oleh kerana itu, mereka tidak lagi menyokong Marcos dan Corazon Aquino adalah presiden Filipina yang sah.

Kenyataan Enrile dan Ramos tersebut telah menyebabkan kemarahan rakyat terhadap diktator Marcos memuncak. Rakyat berdemonstrasi selama tiga hari sehinggalah Corazon Aquino ditabalkan sebagai presiden Filipina yang sah dan Marcos melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Begitulah serba sedikit sejarah yang pernah berlaku di negara jiran kita, Filipina.

Hari ini di Malaysia situasi yang berlaku seakan-akan sama. Malaysia pada hari ini mengalami kemerosotan ekonomi. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dengan drastik telah menyebabkan inflasi meningkat.

Dalam masa yang sama, rakyat sudah hilang keyakinan terhadap regim Abdullah-Najib. Pilihanraya 8 Mac telah menyaksikan BN kehilangan beberapa buah negeri dan kuasa dua pertiga di parlimen.

Jika penggunaan “dakwat kekal” dilaksanakan pada pilihanraya umum yang lalu, kemungkinan besar kerajaan BN telah menjadi sejarah.

Berulang kali Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa beliau mempunyai “cukup” ahli parlimen yang ingin melompat menyertai Pakatan Rakyat dan menumbangkan kerajaan BN.

Malahan Anwar turut memberi “dateline” pada 16 September bersamaan dengan tarikh penubuhan Malaysia pada 1963. Regim Abdullah-Najib bertambah cemas apabila presiden SAPP Yong Teck Lee mengumumkan bahawa ahli parlimen daripada partinya akan membawa usul undi tidak percaya kepada perdana menteri dalam sidang dewan rakyat.

Walaupun usul undi tidak percaya ini masih belum berlaku, ia meninggalkan “trauma” kepada regim Abdullah-Najib. Maka sebab itulah rakyat mudah untuk mempercayai dakwaan Anwar bahawa wujudnya konspirasi kali kedua untuk menghancurkan karier politik yang telah beliau bina setelah hampir sepuluh tahun bergelumang dengan pahit-manis politik dan merengkok enam tahun di dalam penjara.

Jika benar para konspirator berniat untuk membunuh Anwar secara fizikal, tidakkah mereka melihat sejarah yang pernah berlaku di Filipina?

Memang benar di Malaysia belum pernah lagi berlaku “people’s power” yang mampu menumbangkan kerajaan. Akan tetapi, perkara tersebut tidak mustahil untuk dilakukan.

Sama seperti pilihanraya umum 8 Mac. Dengan halangan yang begitu besar seperti SPR yang tidak bebas, media yang berat sebelah dan jentera kerajaan yang dimanipulasi oleh BN, Pakatan Rakyat masih berjaya merampas lima negeri dan 10 daripada 11 kerusi parlimen yang dipertandingkan di Wilayah Persekutuan.

Jika Anwar berjaya dibunuh oleh para konspirator, tidak mustahil Azizah akan mengulangi sejarah Corazon Aquino di Filipina sekali gus menjadi perdana menteri pertama dari golongan wanita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS