Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tsunami politik 8 Mac membawa kejutan kepada semua pihak, termasuk parti pembangkang.

Ia mengakibatkan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen dinafikan dan lima buah kerajaan negeri Pakatan Rakyat ditubuhkan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor – suatu senario politik yang tidak pernah diimpikan.

Selepas itu, Anwar Ibrahim mulai bercakap tentang kerajaan dalam penantian (government-in-waiting) dan berulang kali mengisytiharkan Pakatan telah mempunyai cukup ahli parlimen BN yang akan melompat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan – pada masa yang dianggap sesuai sebelum 16 September atau hari penubuhan Malaysia.

Pemimpin PKR Sabah, Dr Jeffrey Kitingan malah mendedahkan bilangan ahli parlimen yang akan melompat itu datang daripada tiga kumpulan iaitu Sabah, Semenanjung dan Sarawak. Jumlah setiap kumpulan itu lebih kurang sama.

Menurutnya lagi, kumpulan pertama dari Sabah akan melompat pada akhir Mei atau awal Jun, kemudian diikuti oleh kumpulan dari Semenanjung dan akhirnya kumpulan ketiga dari Sarawak. Mungkin inilah latar belakang timbulnya isu ambil alih kuasa daripada BN.

Jika ia hanya “ bluffing strategy ” yang digunakan sekali-sekala oleh PKR untuk mengelirukan musuh politik, maka ia lumrah sebagai perang saraf yang tidak asing lagi dalam percaturan politik negara kita.

Tetapi oleh kerana ia telah diulangi dari semasa ke semasa oleh Anwar sendiri, pemimpin de facto PKR, ia mungkin juga cubaan manipulasi politiknya yang agresif dan bercita-cita tinggi untuk menawan kuasa politik dengan mengeksploitasikan pergelutan dan perpecahan dalam Umno dan rasa tidak berpuas hati parti-parti komponen BN terhadap Umno, khasnya parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Menawan kuasa politik melalui tindakan menarik lompatan ahli-ahli parlimen BN telah dikritik sebagai tidak bermoral. Anwar menyanggah bahawa BN tidak layak untuk berbicara tentang masalah moral, maknanya BN boleh ditumbangkan melalui apa cara sekalipun, tidak kira bermoral atau tidak bermoral.

Logiknya seakan-akan sama dengan kes apabila ada orang menyoa kredibiliti Anwar, ada pembaca yang mengatakan dia tidak peduli sama ada Anwar boleh dipercayai atau tidak, yang penting ialah kerajaan BN mesti ditumbangkan.

Bagaimanapun, unsur-unsur berikut rasanya perlu difikirkan:

1. Hasrat pengundi perlu disanjung

Dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan negara kita, hasrat pengundilah yang wajib disanjungi. Jika seseorang wakil rakyat hendak melompat ke pihak lawan, sekurang-kurangnya dia mesti memperolehi persetujuan daripada pengundi-pengundi yang diwakilinya.

Jika tidak, walau atas apa alasan sekalipun, tindakan itu mengengkari prinsip menyanjung hasrat pengundi. Justeru, tindakan BN untuk “membeli” ahli-ahli parlimen atau DUN parti pembangkang agar melompat pada masa silam sering dikutuk sebagai sabotaj politik yang tidak bermoral.

2. Pakej melompat yang tidak telus

Naib presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengaku Pakatan telah menawarkan “pakej melompat” kepada ahli-ahli parlimen BN terbabit. Namun, selain daripada 20% royalti petroleum dan gas akan diagihkan kepada Sabah, tidak pernah didedahkan tawaran-tawaran lain.

Kerana tidak telus, pihak BN boleh membuat sebarang dakwaan, umpamanya Pakatan menawarkan sejumlah wang yang tidak akan habis dibelanja oleh tiga generasi, dan lebih banyak jawatan kabinet ditawarkan termasuk jawatan timbalan perdana menteri,

Namun pihak Pakatan telah memberi jaminan bahawa tiada kepentingan wang atau jawatan akan dilibatkan.

Jika “pakej melompat” itu dirahsiakan, bagaimana ia dapat menjamin “kepentingan rakyat” seperti didakwa, bukan kepentingan peribadi atau agenda politik ahli-ahli yang akan melompat?

Dan lebih penting lagi, bagaimana dapat menjamin selepas melompat kepada Pakatan, ahli-ahli parlimen BN terbabit akan menyokong agenda-agenda rakyat yang diperjuangkan gabungan pembangkang kini memandangkan pada 8 Mac, mereka masih merupakan penyokong kuat BN?

3. Pengakuan Anwar dan keghairahan menawan kuasa politik

Tidak dapat dinafikan pengakuan Anwar untuk menubuhkan kerajaan persekutan sebelum 16 September – tidak lama selepas Pakatan berjaya menubuhkan lima buah kerajaan negeri – sesuatu yang amat merangsang imajinasi atau ilusi Pakatan dan penyokongnya.

Ramai yang mulanya tidak bersetuju dengan tindakan melompat berubah sikap dengan cepat sekali, ramai yang dulunya tidak percaya Pakatan akan mempunyai bilangan ahli parlimen yang mencukupi untuk menubuh kerajaan pesekutuan kini mempercayainya, malah cuba mempengaruhi orang lain mempercayainya!

Dalam suasana terbawa-bawa oleh keghairahan menanti-nantikan berlakunya suatu lagi tsunami politik yang dijanjikan Anwar, siapakah yang mempedulikan sangat tentang prinsip-prinsip demokrasi, ketelusan, integriti dan moral dalam operasi memancing lompatan ahli-ahli parlimen BN untuk mengambil alih kuasa politik?

Dan nilai-nilai yang dipegang selama ini, terutamanya berkaitan dengan permuafakatan atau pemantauan masyarakat madani, badan-badan bukan kerajaan dan media juga seolah-olah tidak berguna lagi!

4. Ingatan Hishammuddin Hussein

Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein telah mengingatkan bahawa Pakatan memerlukan lompatan 30 orang ahli parlimen BN untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan, sedangkan BN hanya memerlukan lompatan dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan untuk merampas kembali Perak.

Ingatan ini tidak patut diremehkan, kerana ia memang mempunyai logik yang sukar dinafikan. Tindakan agresif Pakatan telah menghalalkan BN menawarkan umpan untuk memancing katak daripada Adun atau ahli parlimen pembangkang sebab perbuatan mereka itu hanya mencontohi perbuatan Pakatan!

5. Sudahkah bersedia untuk menghadapi serangan balas BN?

Aneh juga, Anwar dan pengikut-pengikutnya boleh percaya BN – yang telah memerintah lebih 50 tahun, melalui bermacam-macam tipu helah dan kemahiran sabotaj (tentu termasuk kemahiran memancing katak dan menegah katak daripada melompat) dan penindasan, termasuk pembelian, ugutan serta penggunaan akta ISA dan Akta Darurat – akan berpeluk tubuh menunggu kuasa politiknya diambil alih oleh Anwar pada masa yang dianggap sesuai sebelum 16 September dengan majoriti yang selesa!

Dalam pergolakan politik yang serba mungkin ini, rasanya Pakatan perlu bersedia menghadapi serangan balas dari Umno dan BN demi mengatasi krisis kerajaan dan kepemimpinannya akibat manipulasi Anwar dan serangan Dr Mahathir.

Umpamanya, membubarkan Parlimen agar pilihanraya umum kilat dapat diadakan seperti diakui kemungkinannya oleh pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri, atau menimbulkan ketegangan perkauman, penggunaan ISA, atau pengisytiharan darurat seperti l969.

6. Siapa yang akan beruntung, Mahathir atau Abdullah?

Khabarnya, strategi melompat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan itu sebagai amaran kepada Dr Mahathir-Najib Razak agar mereka tidak berani memaksa Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan parti dan kerajaan, dan mengambil alih kuasa politik daripada beliau.

Cerita ini rasanya tidak begitu logik, kerana Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah serta Najib semuanya mengambil kesempatan untuk menguar-uarkan bahawa Anwar sanggup menumbangkan kerajaan BN melalui strategi melompatnya.

Lalu menggunakan “krisis” ini untuk memaksa Abdullah berundur, supaya seorang pemimpin Umno yang lebih “kuat” dapat mengambil alih kuasanya dan mempertahankan BN daripada ditumbangkan oleh Anwar dan Pakatan.

Oleh itu, strategi melompat lebih menguntungkan Dr Mahathir-Najib daripada Abdullah.

Jika Pakatan benar-benar berharap agar kuasa Abdullah sebagai “itik tempang” (the lame duck) tidak segera diambil alih oleh Najib yang lebih “teruk” itu, seperti hasrat Dr Mahathir, maka operasi memancing katak yang bersifat oportunis dan adventuris itu patut dihentikan untuk menstabilkan politik negara daripada terus berkocak.

Agar Pakatan dapat memberikan tumpuan untuk memperkukuhkan gabungannya dan kerajaan-kerajaan negerinya, khasnya dari segi pelaksanaan agenda-agenda rakyat atau perubahan seperti yang dijanjikan dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Bahagian kedua Berjuang demi jatuhkan BN

ADS