Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Cepat sungguh masa berlalu. Sedar tidak sedar, tinggal beberapa bulan lagi “gerakan reformasi” Malaysia akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10.

Dalam tempoh satu dekad, pelbagai cabaran, onak dan duri telah dilalui, akan tetapi gerakan reformasi masih lagi hidup dengan subur dan mekar, terus relevan mewarnai arena politik negara.

Banyak peristiwa besar berlaku dalam sepanjang perjalanan gerakan “organik” yang telah melahirkan beberapa perubahan besar dalam politik negara.

Pencapaian tertinggi gerakan reformasi, antaranya, keputusan pilihanraya ke-12 lalu apabila kita dapat melihat ramai pengundi terutamanya di kawasan bandar telah berjaya “dicerahkan”.

Politik perkauman yang dahulu menjadi tunjang kekuatan Barisan Nasional kini semakin tidak relevan. Kita boleh lihat selepas pilihanraya, ramai pemimpin Umno cuba untuk membangkitkan agenda ketuanan Melayu tetapi gagal mendapat sokongan akar umbi.

Demonstrasi dan forum yang dianjurkan oleh kumpulan ini hanya dihadiri oleh peniaga-peniaga yang kehilangan kontrak kerajaan di beberapa negeri dan tidak daripada rakyat jelata.

Protes terpanjang

Perlu diingatkan bahawa perjuangan reformasi yang bermula pada 1998 adalah antara siri protes politik yang terpanjang dalam sejarah Malaysia. Pelbagai cara telah digunakan oleh pemerintah Malaysia untuk membunuh protes ini, namun tidak berjaya.

Semua jentera, “senjata” pemerintah seperti polis dan undang-undang kuku besi tidak berjaya mematikan gerakan ini.

Apakah rahsia gerakan reformasi mampu bertahan lama?

Apa-apa gerakan sekalipun, jika tidak mendapat sokongan rakyat dan tidak bergerak secara “organik” pasti tidak akan berjaya. Lihatlah apa yang terjadi kepada perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) satu ketika dahulu.

Walaupun PKM mempunyai agenda perjuangan yang suci iaitu untuk membebaskan Malaysia (Malaya) seratus peratus daripada penjajahan dan menegakkan keadilan sosial, oleh kerana tidak mendapat sokongan yang meluas daripada rakyat secara berterusan, akhirnya perlahan-lahan perjuangan tersebut menemui kegagalan.

Gerakan reformasi disokong oleh rakyat pelbagai latar belakang politik, sosial dan ekonomi - buruh, petani, nelayan, pekerja kerajaan, guru, pelajar dan ramai lagi. Ia juga melangkaui batasan kaum dan agama. Ada yang terlibat secara langsung dan ramai juga yang menyokong secara senyap-senyap.

Mereka inilah yang sebenarnya menjadi tunjang kekuatan gerakan reformasi. Mereka menyampaikan maklumat dari mulut ke mulut sehingga hegemoni media pemerintah yang mengawal maklumat terbarai.

Berita-berita yang disekat oleh media arus perdana sampai juga kepada rakyat, khususnya melalui internet, termasuk yang berada di kawasan luar bandar.

Golongan ini jugalah yang meramaikan demonstrasi-demonstrasi prodemokrasi yang dianjurkan. Mereka tidak takut walaupun berhadapan dengan pelbagai risiko seperti hilang pekerjaan, tangkapan polis dan macam-macam lagi.

Bongkar rasuah

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang telah menang di beberapa negeri dalam pilihanraya yang lalu perlu sedar akan hakikat ini.

Kemenangan mereka kerana sokongan rakyat daripada pelbagai latar belakang. Mereka naik kerana rakyat mahukan reformasi; bukan kerana pemimpin atau parti politik semata-mata.

Rakyat telah muak dengan Barisan Nasional yang telah memerintah selama 50 tahun.

Jika wakil-wakil Pakatan Rakyat turut melupakan agenda perjuangan reformasi, mereka juga akan kehilangan sokongan daripada rakyat dan tidak mustahil penguasaan di beberapa negeri akan hilang.

Rakyat sekarang ini telah bijak untuk berfikir dan menilai.

Belajarlah daripada pengalaman Abdullah Ahmad Badawi. Ketika baru diangkat naik sebagai perdana menteri, harapan rakyat kepadanya menggunung selepas 22 tahun berada bawah pemerintahan Dr Mahathir Mohamad yang kuku besi.

Abdullah menang pilihanraya 2004 dengan majoriti yang luar biasa besar kerana mendat dan harapan yang diberikan oleh rakyat untuk melihat perubahan berlaku di Malaysia.

Abdullah pada ketika itu berjanji untuk membawa reformasi dalam pemerintahannya, antaranya, agenda terpenting yang kononnya ingin dilaksanakan oleh Abdullah ialah membasmi rasuah.

Sebelum pilihanraya 2004, Abdullah berjanji untuk menghapuskan rasuah dan membawa pelaku-pelaku rasuah kemuka pengadilan.

Ketika itu Dr Rais Yatim sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan 18 kes rasuah yang berprofil tinggi akan dibawa ke muka pengadilan.

Kenyataan ini akhirnya terbukti hanyalah retorik untuk mendapat undi popular dan ternyata Abdullah dan Rais berbohong kepada rakyat.

Sebagai jawapan kepada penipuan Abdullah dan Rais ini, rakyat menghukum Barisan Nasional pada pilihanraya umum Mac lalu.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah harus belajar daripada pengalaman Abdullah ini.

Sekarang, masanya Pakatan untuk membongkarkan segala kegiatan rasuah yang dilakukan oleh pemerintahan terdahulu.

Kegiatan rasuah ini perlu diketahui oleh umum walaupun ia melibatkan Raja atau bekas menteri - tiada siapa yang kebal di sisi undang-undang.

'Cetak rompak' agenda reformasi

Selain Abdullah yang “mencetak rompak” agenda reformasi, Dr Mahathir yang pernah menjadi musuh nombor satu gerakan reformasi satu ketika dahulu juga turut tidak ketinggalan.

Dr Mahathir tahu, untuk terus kekal relevan, beliau harus berada selari dengan agenda dan tuntutan reformasi. Maka, apabila beliau bertembung dengan pemerintahan Abdullah, beliau juga bercakap tidak ubah seperti musuh utamanya Anwar Ibrahim.

Ramai yang terperanjat apabila Mahathir mengatakan Malaysia adalah "negara polis". Ramai yang berasa seperti berada di dalam mimpi apabila Mahathir bercakap amalan politik wang di dalam Umno.

Ramai yang tidak percaya apabila Mahathir mempertikaikan kebebasan media di Malaysia.

Sewaktu beliau masih berkuasa, inilah yang dilakukan oleh Mahathir. Tidak mengapalah, mungkin beliau telah insaf (atau lupa?) dan ingin membantu memenangkan agenda reformasi.

Menantu kesayangan Abdullah - yang kini ahli parlimen Rembau - tidak ketinggalan untuk bernada selari dengan agenda gerakan reformasi.

Baru-baru ini sewaktu berucap pada forum anjuran Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) bertajuk "Kebebasan Akhbar: Pilihanraya Umum 2008" sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Kuala Lumpur, Khairy Jamaluddin menuntut agar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dimansuhkan.

Akta ini yang menjadi musuh utama kepada kebebasan media di Malaysia, menurut Khairy, perlu dimansuhkan agar media arus perdana terus relevan di mata rakyat.

Menantu PM juga tahu beliau masih lagi muda dan mahu terus kekal relevan dalam arena politik negara.

Maka beliau telah membuang egonya dan menyuarakan mengenai pentingnya kebebasan media yang merupakan salah satu daripada tuntutan utama gerakan reformasi.

Bahagian terakhir: Arus deras Reformasi 1998-2008


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS