Sebagai seorang penulis, adalah menjadi satu kebiasaan untuk menghadiri mana-mana perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mana-mana pihak sama ada parti politik mahupun NGO. Tujuannya adalah untuk mendapatkan bahan-bahan penulisan.
Pada 26 Januari 2008, Gabungan Protes menganjurkan satu perhimpunan untuk membantah kenaikan harga barang yang telah menyebabkan infllasi. Saya juga tidak ketinggalan untuk menghadiri perhimpunan tersebut dengan membawa buku nota dan kamera. Tidak sangka kehadiran saya pada hari tersebut telah menyebabkan saya turut ditahan bersama 58 orang yang lain termasuk seorang wartawan dari Malaysiakini.
Bermula pada pukul 2.30 petang, saya ke Stesen LRT Ampang Park kerana dikatakan Gabungan Protes akan memulakan perhimpunan tersebut. Di kawasan luar Stesen LRT Ampang Park, masih belum ada apa-apa perhimpunan. Tetapi hanyalah penahanan. Saya melihat sendiri bagaimana beberapa orang aktivis ditahan termasuk seorang wartawan dari Malaysiakini yang sedang bertanya soalan kepada polis mengapa mereka menahan aktivis-aktivis tersebut. Tak sangka sekarang ini di zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, wartawan juga boleh ditahan jika bertanya soalan kepada polis.