Pertama kali dalam sejarah Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja, persatuan mahasiswa dan parti-parti pembangkang - yang bergabung dalam Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) - mengambil inisiatif untuk bersungguh-sungguh memperjuangkan pilihanraya yang bebas, telus dan adil.
Bersih akan menganjurkan Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 10 November 2007 di Dataran Merdeka bagi menuntut agar pilihanraya di Malaysia dijalankan dengan bebas dan adil. Perhimpunan yang bertemakan "Selamatkan Malaysia" itu dijangka dihadiri 100 000 rakyat dari seluruh negara.
Malahan perhimpunan ini dikatakan bakal mengulangi sejarah 20 September 1998 di mana 100,000 rakyat berkumpul di Dataran Merdeka sewaktu pemecatan Anwar Ibrahim. Yang lebih menarik ialah Perhimpunan 100,000 Rakyat yang dianjurkan pada kali ini, akan menyaksikan satu lambang penyatuan. Warna kuning telah dipilih sebagai warna penyatuan pada hari tersebut.
Warna kuning yang turut digunakan sebagai warna untuk memperjuangkan kebebasan media, diharap akan dapat menarik sokongan aktivis media untuk bersama-sama dalam perhimpunan ini. Penggunaan warna kuning telah menaikkan semangat rakyat untuk bersama-sama menyertai perhimpunan tersebut, sehinggakan ada pihak yang mengatakan bahawa Perhimpunan 100,000 Rakyat yang akan dianjurkan pada 10 November 2007, adalah "Revolusi Kuning".