Most Read
Most Commented
Read more like this

Jika ditanyakan satu perkataan dalam negara kita ini yang paling tidak difahami, selalu disalahertikan dan sering disongsangkan maknanya; maka saya akan menjawab, communist atau komunis.

Satu ketika dahulu, Wilfred Burchett, seorang wartawan Australia, telah dituduh sebagai komunis oleh kerajaan konservatif Australia. Hak kerakyatannya dirampas. Beliau kemudian diberi suaka politik oleh Republik Rakyat Vietnam.

Sebagai wartawan, beliau terus menulis dan memimpin The Guardian Weekly yang diterbitkan di Amerika. Mingguan bebas ini telah menjadi bahan wajib untuk sesiapa saja yang prihatin terhadap perang Vietnam pada 1960-an hingga 1970-an. Anak muda dan siswa dari Melbourne, London, Paris hingga ke Berkeley - semuanya akan cuba membaca akhbar berhaluan kiri ini.

Apabila kerakyatannya dirampas Burchett telah ditanya oleh seorang wartawan: ' Are you a communist ?' Tanpa berfikir banyak beliau menjawab ' I am an Australian, mate .'

Ini berlaku dalam suasana Perang Dingin, apabila pertempuran ideologi antara kapitalisme dan sosialisme sedang hebat berjalan. Amerika Syarikat yang mewakili kepentingan kaum pemodal antarabangsa sedang mengancam negara-negara Dunia Ketiga yang baru merdeka atau sedang berjuang menuntut kemerdekaan.

Negara-negara Dunia Ketiga pula dibantu oleh blok Soviet dan China yang menyokong hak rakyat tanah jajahan untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Dalam suasana siasah inilah munculnya kesongsangan takrifan makna perkataan komunis itu di dalam negara kita.

Perkataan communist atau komunis berasal dari perkataan Perancis commune . Perkataan ini membawa makna daerah tempat tinggal satu kumpulan manusia. Jika ditukarkan ke bahasa Melayu, istilah itu bermakna mukim atau kampung. Semua warganegara Belgium, Perancis dan Switzerland tinggal dalam sebuah commune yang kemudian menjadi daerah dan akhirnya negara.

Apabila mula sampai ke Belgium, saya tinggal dalam commune Braine-le-Comte. Ini bukan bermakna saya menjadi komunis Braine-le-Comte. Apa yang terjadi ialah saya menjadi sebahagian komuniti dan masyarakat di commune ini.

Makna songsang

Perkataan commune membawa konsep komuniti dan komunikasi - perhubungan sesama insan - secara luas membawa konsep kemasyarakatan. Makna komunis seperti ini sengaja disongsangkan oleh penjajah Inggeris dan diterus digunakan oleh Umno hingga ke hari ini. Inggeris menyongsangkan makna komunis ini untuk terus menjajah Tanah Melayu. Mereka sedar bahawa satu-satunya kuasa yang boleh menumpaskan kuasa penjajah dan imperialis Inggeris di Tanah Melayu ialah kekuatan politik dan ideologi Parti Komunis Malaya.

PKM memang mengangkat senjata untuk membebaskan negara ini daripada terus menjadi tanah jajahan Inggeris. Mereka memang menembak mati musuh mereka - kapitalis dan pemodal - yang menjajah dan memunggah harta kekayaan negara kita. Mereka menjalankan taktik revolusi bersenjata untuk mempertahankan diri dan melawan kekuatan tentera Inggeris dan tentera negara-negara Komanwel.

Bagaimanapun harus disedari bukan semua pejuang dalam PKM itu insan komunis. Dan bukan semua yang mengangkat senjata itu ahli Parti Komunis Malaya. Mereka sebaris bersatu berjuang kerana ingin membebaskan Tanah Melayu.

Penjajah Inggeris yang terdesak telah menjalankan perang saraf yang licik untuk menggambarkan bahawa komunis itu jahat dan ganas, pembunuh dan bandit . Kepada mereka yang mempunyai pegangan agama, komunis ditohmahkan anti-Tuhan dan tidak mempercayai agama.

Hingga ke hari ini, saya lihat takrifan ini masih digunakan oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional. Momokan komunis terus digunakan untuk menfitnah musuh-musuh politik Umno.

Kerana Perang Dingin telah selesai, maka menjadi kewajiban intelek saya untuk menerangkan kepada orang ramai apakah sebenarnya insan yang dipanggil komunis. Telah sampai masanya momok komunis itu dihapuskan. Kita sebagai rakyat tidak perlu lagi takut kepada perkataan komunis itu atau mudah ditakut-takutkan dengan momok komunis.

Bagi saya, seorang komunis itu adalah insan yang tinggi inteleknya, luas pembacaan dan luas bidang pemikirannya. Insan komunis adalah seorang internasionalis - berjuang bukan untuk bangsa tetapi untuk seluruh kemanusiaan. Insan komunis menolak kotak-kotak kecil yang memisahkan sesama manusia. Secara tidak sengaja dia dilahirkan di Tanah Melayu, maka kancah perjuangannya di bumi Melayu ini. Jika dia dilahirkan di Berlin maka di Berlin pula dia akan berjuang.

Insan komunis tidak mempunyai sikap dan nilai perkauman. Jika dia seorang lelaki dia akan menghormati wanita bukan sebagai objek seks tetapi sebagai manusia. Insan komunis adalah seorang feminis dan tidak sexist nilai hidupnya. Komunis tidak mempunyai nilai prasangka tanpa penelitian yang rapi. Seorang komunis menghormati budaya-budaya dan cara hidup insan lain.

'Tiga Abdul' bukan komunis

Insan komunis akan melangkah satu kilometer ke hadapan untuk melakukan kebaikan. Insan komunis tidak pernah berundur daripada berfikir, menulis dan bercakap tentang kebenaran. Insan komunis menghormati kepercayaan mereka yang beragama dan juga menghormati kepercayaan mereka yang tidak beragama.

Insan komunis mungkin beragama dan mungkin tidak beragama. Seorang komunis adalah intelek tulen yang mengabadikan hidupnya kepada kebenaran.

Pernah pada tahun 1977, saya ditanya oleh seorang anggota Parti Buruh di Australia, apakah 'Tiga Abdul' yang ditahan di bawah akta ISA itu orang-orang komunis. Jawapan saya cukup senang. Mereka bukan komunis kerana mereka tidak mempunyai nilai-nilai yang setaraf dengan nilai insan komunis. Adalah satu komedi absurd jika 'Tiga Abdul' ini diangkat ke taraf komunis.

Baru-baru ini Siqiu yang membuat rayuan pilihanraya untuk masyarakat Tionghua telah dituduh sebagai komunis. Tuduhan ini adalah salah dan tidak betul. Telah amat jelas bahawa Suqiu bukan komunis - mereka tidak mempunyai nilai-nilai komunis yang unggul, suci dan bersih. Mereka bukan mewakili golongan tertindas - mereka mewakili golongan pemodal pertengahan bangsa Cina. Berdolak-dalik bukan sifat insan komunis. Insan komunis pendiriannya teguh dan tidak pernah bergoncang. Datanglah apa saja, termasuk tali gantung - insan komunis tidak pernah mengundur.

Saya juga selalu ditohmah sebagai seorang sosialis dan komunis. Saya rasa ini adalah satu penghormatan yang terlalu tinggi untuk diri saya. Saya tidak sanggup menerima penghormatan ini. Saya terpaksa menolak kerana saya tidak mempunyai kualiti dan nilai-nilai hidup seorang insan komunis.

Menuduh saya sorang komunis samalah seperti mengangkat martabat saya ke satu tahap insan yang begitu suci.

Seminggu sebelum saya meninggalkan kota London setelah 20 tahun tidak pulang ke Malaysia, saya telah ditanya oleh seorang wartawan wanita Malaysia di kota itu - apakah saya seorang komunis?

Lalu saya menjawab 'saya bukan komunis - saya daripada suku Biduanda dari Jelebu, Negeri Sembilan'.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS