Dalam kekalutan kehidupan hari ini, kadangkala kita memerlukan "escapism" untuk meleka atau melupakan diri daripada masalah dan tekanan. Berbeza dengan negara lain yang bergolak dengan peperangan, konflik politik dan keganasan, Malaysia yang aman damai ini, turut diancam pelbagai masalah. Salah satu daripadanya yang kritikal sekarang ialah ancaman inflasi.
Ancaman inflasi ini bukan cerita rekaan, ia satu kenyataan yang sedang menghantui semua rakyat. Walaupun kerajaan cuba menutup isu ini dengan menggambarkan keadaan ekonomi yang stabil dan rancak, namun di bilik-bilik mesyuarat, para pemimpin negara, masalah ini hangat dibicarakan.
Baru-baru ini, penulis difahamkan, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah memberi taklimat kepada pihak media berhubung isu ini. Semua media cetak dan eletronik diarahkan menyediakan minda rakyat untuk menerima kenaikan harga minyak. Media massa juga diminta menyedarkan rakyat bahawa kenaikan harga barangan keperluan tidak boleh dielakkan apabila berlaku kenaikan harga bahan api berkenaan.
Majlis taklimat itu juga diberitahu bahawa kerajaan sekarang terpaksa bergantung pada Petronas untuk menanggung perbelanjaannnya, termasuk membayar gaji kakitangan awam. Lalu media massa kita menjalankan tanggungjawabnya dengan menyiarkan rencana yang menjustifikasikan
kenaikan harga minyak. Menceritakan rasional subsidi dikurangkan bagi menjamin pembangunan sektor lain.
Sebenarnya, rakyat sudah lama merasai keperitan kenaikan harga barangan keperluan. Harga ayam, ikan dan sayur-sayuran, telah melambung naik sejak tiga bulan kebelakangan ini. Nilai Ringgit begitu kecil di pasar malam, pasaraya atau di pasar tani...
Kalau kita di Kuala Lumpur yang sebahagian besarnya tergolong sebagai berpendapatan sederhana begitu terasa kesan kenaikan harga barangan ini, bagaimana agaknya saku para nelayan, petani, peneroka dan buruh di luar bandar?