Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Tsunami politik yang mengombak pada 8 Mac 2008, bukan sahaja mengubah landskap politik tempatan, tetapi juga memberi kesan yang mendalam kepada semua parti politik Malaysia, termasuk pembangkang.

Sekali imbas, memang keputusan PRU12 melonjakkan pembangkang ke paras yang lebih tinggi, merapatkan jurang antara pemerintah dengan pembangkang; namun pada masa yang sama, kesemua parti politik terkesan dengan gelombang perubahan, lebih-lebih lagi parti politik yang mempunyai sejarah panjang.

PAS misalnya, menyaksikan pertentangan antara dua jalur politik yang bermula sejak zaman Reformasi 1998. Satu jalur mengajukan pendekatan yang lebih terbuka dan terangkum, disingkatkan dengan slogan PAS for All. Sementara satu jalur lagi mempertahankan prinsip perjuangan tradisi, meletakkan pelaksanaan hudud sebagai agenda keutamaannya. Gandingan dua fraksi utama ini berpadu ketika pembangkang di zaman kegemilangannya, dengan sumber kerajaan negeri, dan harapan untuk menawan Putrajaya.

Namun persaingan dua jalur politik ini semakin meruncing, selepas berkecainya harapan untuk memerintah di peringkat persekutuan. Ditambah pula dengan pemergian allahyarham Tok Guru Nik Aziz yang berkeras untuk menolak Umno, PAS akhirnya berpecah selepas muktamar pada 4 Jun 2015.

DAP temui titik pusingan

Di kalangan parti pembangkang, DAP dilihat paling selesa dilambung ombak tsunami, untuk satu dekad kebelakangan. Bermula dengan gelombang di pilihan raya negeri Sarawak 2006 (dengan lonjakan dari satu kepada enam kerusi DUN), disusuli PRU 12 pada 8 Mac 2008, hinggalah PRU13 pada 5 Mei 2013, DAP berjaya memperbaharui rekod bilangan kerusi parlimen dan DUN yang diperolehnya dalam sejarah, lebih-lebih lagi berjaya mempertahankan kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditunjangi DAP sejak tahun 2008.

Bagaimanapun, setiap kemuncak kegemilangan bakal menemui titik pusingannya. Loceng amaran pertama berdering selepas DAP kecundang dalam PRK Teluk Intan pada Mei 2014, disusuli dengan kehilangan lima kerusi DUN dalam PRN Sarawak dua tahun selepasnya. Tatkala semboyan PRU14 berbunyi dan pembangkang berhempas-pulas mencatur langkah untuk masuk ke gelanggang, tiba-tiba kita dikejutkan dengan pengumuman keluar parti oleh empat orang wakil rakyat DAP Melaka.

Mereka yang mengenali veteran-veteran DAP Melaka ini, sudah tentu tidak bersetuju dengan label “barah” yang dilontar terhadap mereka, sungguhpun tidak menyokong keputusan mereka. Untuk mereka yang tahu sejarah pergelutan fraksi dalaman DAP, kejadian keluar parti ini berlaku lantaran konflik antara fraksi yang gagal diselesaikan, menyaksikan pertembungan puak Sim Tong Him (anggota parlimen Kota Melaka) bersama Goh Leong San (ADUN Duyong), dengan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Tulisan ini tidak berniat untuk mengupas sejarah perselisihan ini, tetapi cuba menyentuh persaingan jalur politik yang mengambil tempat dalam DAP. Ini kerana Sim Tong Him menyebut ketidakselesaan mereka terhadap pimpinan DAP, yang menurutnya semakin terpesong dari prinsip perjuangan asal DAP. Sim merujuk kepada kerjasama antara DAP dengan musuh tradisinya, Mahathir Mohamad, di samping memohon maaf secara terbuka kerana dirinya pernah berkempen untuk PAS.

Sama ada perbezaan idea ini punca utama kejadian keluar parti, bukan tajuk yang ingin dibincangkan. Jauh lagi tuduhan bahawa keempat-empat wakil rakyat ini telah dibeli BN. Namun ketidakselesaan terhadap hala tuju perjuangan DAP yang dibangkitkan Sim Tong Him, mungkin meraih persetujuan sesetengah penyokong DAP. Mereka terpinga-pinga apabila pemimpin DAP sanggup bekerjasama dengan Mahathir Mohamad, yang selama ini dituduh sebagai diktator dan rasis. Mereka tidak berpuas hati, apabila DAP yang selama ini lantang menjuarai hak dan kepentingan bukan Melayu dan non-Muslim, semakin membisu dalam pertikaian yang melibatkan agama dan kaum.

DAP ulangi jejak langkah PAS?

Untuk berdekad-dekad Umno-BN bertahan di pertengahan gelanggang politik tempatan. DAP mengasak dari kiri, menuntut agar hak dan kepentingan bukan Melayu dan non-Muslim dibela; sementara PAS menyiku dari kanan agar kedudukan Muslim dan Islam diangkat lebih tinggi – dalam konteks hubungan kaum dan agama bagai zero-sum game. Dalam hubungan sebegini, hak Melayu akan terhakis apabila bukan Melayu diberi lebih, begitu juga dengan sebaliknya. BN kekal mantap dengan mengambil posisi di tengah-tengah, diselamatkan pengundi Melayu apabila bukan Melayu memberontak, disembah pengundi bukan Melayu apabila disanggah pengundi Melayu.

Dua parti pembangkang tradisi yang bertentangan tuntutan ini akhirnya ditemukan selepas 8 Mac 2008. Kedua-duanya sedar bahawa BN hanya boleh ditumbangkan apabila penyokong PAS mengundi DAP, dan penyokong DAP mengundi PAS. Maka kedua-dua parti ini terpaksa keluar dari kubu masing-masing, mengolah semula hujah perjuangan mereka agar diterima oleh kelompok yang lebih luas.

PAS seketika dahulu, mengangkat Negara Berkebajikan untuk memperbaharui imejnya, agar diterima pengundi non-Muslim. Lantas ia diambil kesempatan oleh Umno untuk menuduh bahawa PAS telah menggadai prinsip perjuangannya semata-mata untuk menyedapkan hati DAP. Begitu juga dengan DAP, melembutkan nadanya ketika berdepan dengan pertikaian agama dan kaum, agar tidak diambil kesempatan oleh Umno untuk mencungkil kegusaran masyarakat Melayu-Muslim. Namun musuh politiknya MCA dan Gerakan, sudah tentu tidak melepaskan peluang ini untuk menyerang bahawa DAP juga tunduk dan akur kepada pemimpin Melayu dalam PAS dan PKR.

Sudah tentu perubahan ini tidak disenangi sesetengah pemimpin PAS, atas apapun alasan. Untuk berdekad-dekad pemimpin ini berdakwah dan berpidato dengan retorik hududnya, tiba-tiba dikehendaki untuk mengulas isu ekonomi seperti GST, skandal kewangan 1MDB, PKFZ dan sebagainya dengan angka yang memeningkan. Bagi golongan pemimpin yang ikhlas dengan perjuangannya, sudah tentu mereka tersinggung kerana agenda Hudud perlu memberi laluan kepada isu lain agar tidak menimbulkan ketakutan pengundi non-Muslim.

Demikian juga dengan DAP. Slogan “Malaysian Malaysia” yang diwarisi daripada PAP (People's Action Party) sudah dikurangkan penggunaannya sedekad kebelakangan. Perlu diingatkan bahawa untuk sekian lama, DAP berjuang untuk menjuarai kepentingan kaum minoriti (terutamanya Cina), menentang hegemoni ketuanan Melayu dan Islam, mendukung nilai kesamarataan. DAP yang mendapat sokongan di kalangan masyarakat Cina khususnya, mengecam MCA dan Gerakan kerana terlalu pengecut untuk mempertahankan hak dan kepentingan bukan Melayu dan non-Muslim. Ringkasnya, DAP cuba menggilap imejnya yang lebih berani berbanding MCA dan Gerakan.

Dilema DAP

Namun demikian, penonjolan imej DAP sebegini sungguhpun meraih undi di kalangan masyarakat Cina, tetapi mengundang malapetaka untuk rakan sekutunya. DAP enggan mengulangi perwatakan MCA, tetapi ia ditonjolkan seolah-olah ia “Umno yang mendominasi” dalam Pakatan. Keadaan menjadi lebih keruh apabila DAP disamakan dengan Cina, untuk memberi laluan kepada propaganda Melayu PKR dan PAS ditunggang Cina DAP, lantas Cina akan mengambil alih kuasa politik dan ekonomi seandainya Umno tumbang.

Tidak kurang masyarakat Melayu-Muslim yang termakan dengan propaganda tersebut, sekurang-kurangnya ia terjelma melalui pola pengundian. Akhirnya DAP tersiku. Apabila dihebohkan DAP menuntut jawatan timbalan perdana menteri, lantas pimpinan tertinggi DAP menafikannya. Sudah tentu DAP akan dicabar dan disindir, apa bezanya DAP dengan MCA, sehingga sanggup merendahkan martabat diri (baca: Cina), seolah-olah Cina tidak berani untuk menyandang jawatan tersebut sungguhpun berkelayakan?

Lebih-lebih lagi, DAP semakin teragak-agak untuk bersuara lantang dalam isu yang melibatkan agama Islam. Misalnya kontroversi kek halal McDonald's, DAP dikritik penyokong tradisinya kerana takut untuk menentang diskriminasi terhadap non-Muslim. Dalam isu berus babi, tidak ramai pemimpin DAP yang tampil untuk membantah serbuan dan rampasan yang dijalankan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ia bagai minyak disimbah ke dalam api apabila DAPSY menyertai demonstrasi terhadap sekatan Donald Trump ke atas tujuh negara Muslim, di depan kedutaan Amerika Syarikat.

Bukankah ia double-standard (dwipiawaian) apabila pemimpin DAP membisu ketika ketidakadilan menimpa golongan non-Muslim di tanah air, sebaliknya terpanggil ke depan apabila Muslim di luar negeri ditindas? Inilah antara kritikan yang ditujukan kepada pemimpin DAP. Dalam senario sedemikian, pemimpin DAP dituduh menggadaikan prinsip perjuangan asal, semata-mata untuk memikat undi Melayu-Muslim. Keadaan menjadi semakin mengelirukan, apabila DAP mengambil keputusan untuk berdamai dengan diktator pencen, Dr Mahathir Mohamad, yang sehingga hari ini belum memohon maaf atas kerosakan yang dilakukan beliau terhadap institusi dan sistem negara.

Lebih ironi, mengapa musuh ketat seperti Mahathir Mohamad boleh dimaafkan, sedangkan rakan seperjuangan seperti Sim Tong Him yang mencurahkan 35 tahun untuk DAP perlu dipinggirkan, malah diambil tindakan disiplin sebelum ini?

Perubahan yang gagal diseimbangkan

Agak menarik seandainya soalan yang sama ditujukan kepada pimpinan utama PAS. Bagaimana Najib-Umno yang menjadi seteru tradisi PAS, boleh dipeluk dan didamaikan, tetapi rakan seperjuangan yang berkongsi wadah untuk berdekad-dekad, disingkir dan perlu dinyahkan, seandainya mampu?

Biar kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ke atas dua parti tradisi ini, di bahu persimpangan zaman. Sesungguhnya, agenda perjuangan tradisi yang menyatukan penyokong totok di bawah satu bumbung, di atas satu wadah, namun ia harus disesuaikan dengan peredaran zaman untuk meluaskan pengaruhnya. Kelemahan yang ada pada pembawa perubahan dalam parti adalah ketidakmampuan untuk membina akar umbi sendiri. Idea yang baru meskipun menarik, tetapi gagal meyakinkan penyokong tradisi parti.

Apa yang berlaku kepada golongan “Erdogan” dalam PAS? Mereka memiliki otak paling bijak, lidah paling petah, tetapi tewas kepada siku dan lutut dalam jubah. Mereka melontarkan idea yang terlalu segar untuk dihadam, terlalu ke depan untuk dihambat, tanpa menyedari bahawa akar umbi yang menentukan kedudukannya dalam parti, rupa-rupanya telah terlena dibuai irama lama.

Apakah DAP boleh mengelakkan diri dari mengulangi jejak langkah PAS yang berakhir dengan perpecahan? Apakah penyokong tradisinya boleh diyakini dengan pendekatan dan hujah politik barunya? Atau apakah satu formula baru ditemui, untuk menyeimbangkan tuntutan kedua-dua jalur politik? Apakah DAP mampu kekal sebagai kuasa progresif yang menjuruskan perubahan politik negara, atau kembali untuk mendendangkan lagu yang lama? Cabaran-cabaran ini akhirnya sampai di bawah kaki DAP pada tahun 2017, sebelum PRU14.


LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS