Barisan tokoh baru dalam senarai teratas barisan pemimpin PAS pasti menarik banyak orang. Minggu-minggu ke depan kita akan menyaksikan ulasan dan harapan tentang perubahan dalam parti agama ini. Tetapi apakah benar dan serius parti ini mahu perubahan dan demokrasi?
Saya ingin mengulas kenyataan tiga tokoh PAS presiden, ketua pemuda dan seorang tokoh muda yang dianggap berfikiran maju, Mujahid Yusuf Rawa. Ketiga-tiganya, pada hemat saya, sama ada memberikan isyarat yang bercampur-campur atau tidak benar-benar memahami demokrasi.
Kita mulakan dengan artikel Mujahid, ' Masa depan PAS di kaca mata rakyat ' ( Harakah , 1-15 Jun 2005) yang saya kira aktivis media Melayu seperti saya sangat menyejukkan jiwa dan membuka seluas-luasnya harapan.
Sewaktu diunjukkan naskhah Harakah cetak di Jakarta, selepas menemui tulisan Mujadid ini, saya menghubungi teman-teman di Malaysia melalui mesej telefon berteks (sms) dan e-mel agar membaca dan memberi perhatian serius pada rencana aktivis muda ini.
Hati saya melonjak-lonjak penuh kegembiraan selepas membaca perenggan-perenggan awal tentang perjuangan media dan sikap ' engagement ' yang parti ini harus (disarankan) ambil. Tidak jauh gembiranya saya sewaktu membaca saranan Hanipa Maidin tidak lama dulu.
Seolah-olahnya jika saya berdepan dengannya saat-saat itu, saya mungkin memeluknya kuat-kuat atau setidak-tidaknya berjabat tangannya dengan goncangan sekuat-kuatnya sebagai tanda gembira yang luar biasa.
Saya berniat saat itu untuk bertemu dengannya, apabila saya pulang, dan merencanakan kempen kebebasan media yang sudah lama tertangguh seperti Ahmad Lutfi Othman, saya dan teman-teman hasratkan.