Di kalangan aktivis politik agama dan kelompok dakwah sekarang, label 'Islam Liberal' semakin menarik perhatian. Bulan ini sahaja, ada dua pertemuan yang meninjau 'cabaran' dan 'ancaman' aliran ini, diadakan di Johor Bahru dan di Kuala Lumpur.
'Islam Liberal', atau sebutan ringkasnya 'Islib' sahaja, dianggap sejenis lagi masalah (mungkin 'masalah terbesar'?) dalam tubuh umat Islam yang perlu diketepikan dan diawasi. Islib itu, seperti digambarkan di negara kita, sekumpulan wacana yang seakan-akan atau berdekatan dengan sekelompok aktivis di Komunitas Utan Kayu (KUK), Jakarta yang dikenali Jaringan Islam Liberal (JIL).
Pada mulanya ia muncul dalam bentuk kumpulan diskusi senarai e-mel pada awal 2001. Dipimpin, antaranya oleh Ulil Abshar-Abdalla, JIL juga menerbitkan beberapa buku, misalnya Wajah Liberal Islam di Indonesia.
Awal Mac lalu, JIL baru menyambut ulang tahun keempat dengan daya tarik yang luar biasa, jauh lebih ramai daripada acara-acara lain di KUK. Beberapa ratus orang hadir setiap hari. Saya dimaklumkan diskusi falsafah, antaranya agama, sering menarik perhatian golongan muda dan aktivis di kota ini berbanding, misalnya, diskusi sastera atau media.
Walau JIL masih muda tetapi reformasi pemikiran agama di republik ini tidaklah baru, malah sentiasa wujud sejak beberapa dekad lalu lagi. Republik ini didirikan bersama kesedaran intelektual yang serius (kalau pun tidak mendalam), tidak seperti sejarah negara kita.
Sejumlah debat politik, kebudayaan, pemikiran nasionalisme dan kenegaraan, tidak terkecuali perbahasan hubungan agama dengan negara, muncul dari pejuang-pejuang muda kemerdekaan sama ada ketika mereka di Eropah atau pulang ke tanahair. Misalnya, 'Polemik Kebudayaan' 1935 atau Sumpah Pemuda kurang lebih sedekad sebelumnya.