Mukadimah saya kali ini ialah menerangkan sejelas mungkin: bahawa dalam PRU14 nanti Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan tidak akan menang. Saya ulangi: tidak akan menang. Jangan sesekali menyimpan harapan. Jangan sesekali ada mimpi. Jangan sesekali ada angan-angan. Mustahil Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan akan menang dalam pilihan raya.
Saya telah memberi pencerahan berkali-kali bahawa sistem pemilihan di Malaysia ini berat sebelah. Sistem pemilihan ini telah direka dan telah dibuat dengan niat berat sebelah. Sistem pemilihan yang berat sebelah ini telah dicantikkan dan dihalalkan oleh parlimen.
Sistem PRU yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini diwujudkan untuk memastikan parti United Malays National Organsiation akan terus menang. Ini hakikat. Ini bukan fitnah atau tohmah.
Kita tidak perlu pergi jauh. Ingat kembali tuntutan BERSIH yang mahu dakwat kekal. Betul dakwat kekal ini disediakan. Betul SPR menerima pakai cadangan BERSIH. cuma dakwat kekal yang disediakan oleh SPR dalam PRU13 didakwa tidak kekal. Satu Malaysia kena tipu. Terang-terang rakyat ditipu.
Tidak ada 'dakwa-dakwi'. Satu tindakan pun tidak diambil kerana dakwaan penipuan ini. Malah yang membuat laporan dakwat kekal yang tidak kekal ini - Mejar Zaidi - telah dibuang kerja. Ini fakta, bukan tohmah. Bukan fitnah.
Untuk sosok yang rasional dan berfikir, episod dakwat kekal ini sahaja telah membuktikan bahawa pilihan raya di Malaysia ini satu sandiwara yang disusun untuk memastikan United Malay National Organisation akan terus menang dan berkuasa.
Tetapi pasti ada yang tidak yakin dengan bukti peranan SPR yang menipu hanya melalui episod dakwat kekal. Justeru saya cadangkan sila baca Laporan Tribunal Rakyat BERSIH. Dalam Tribunal Rakyat PRU13 yang diumumkan oleh BERSIH kepada dunia pada 24 Mac 2013, kita akan bertemu bukan berpuluh, malah beratus-ratus dakwaan penipuan yang dijalankan secara terancang untuk memastikan United Malay National Organistaion menang.
Kita telah melihat apa yang berlaku dalam PRU13. Kita melihatkan apa yang sedang berlaku kepada Najib-Rosmah. Kita sedang melihat dan membaca tentang tim FBI yang sedang menjalankan siasatan ke atas ke 1MDB. Kita membaca bagaimana beberapa ‘orang suruhan’ Najib mula menghilangkan diri. Kita membaca bagaimana Wall Street Journal – media besar dari Amerika – terus menyerang Najib-Rosmah. Rakyat Malaysia juga diberitahu melalui media Amerika bagaimana melibatkan Riza Aziz dan Jho Low berkaitan 1MDB. Riza ialah anak Rosmah.
Kita juga membaca bagaimana Ghani Patail diberhentikan. Kita juga membaca bagaimana ketua SPRM berhenti tiga tahun lebih awal. Kita juga membaca tentang kes Zeti di Bank Negara. Kita juga membaca bagaimana pegawai tinggi SB ditukarkan dari PDRM ke Jabatan Perdana Menteri. Kita juga membaca bagaimana Kevin Morais dibunuh.
Kita juga membaca dan menilai suasana politik negara terutama dengan tersingkirnya Muhyiddin dan Mukhriz. Kita semua sedang membaca bagaimana ratusan cawangan United Malay National Organisation telah meluluskan resolusi menuntut Najib meletak jawatan.
Semua berita ini, semua babak-babak politik ini, adalah latar belakang PRU14. Semua ini mempengaruhi PRU14. Semua ini meyakinkan saya bahawa PRU14 akan dijalankan nanti adalah PRU yang paling kotor – lebih kotor daripada kotor. Lebih jijik daripada jijik yang menjijikkan. PRU14 adalah titik tolak pemilihan dan pengundian di Malaysia akan berlandaskan kepada dua perkara.
Pertama, kuasa duit. Kedua, penipuan.
Dalam PRU14 ini nanti kita bimbang duit dan tipu diguna untuk memastikan United Malay National Organisation terus menang berkuasa.
Mustahil Najib-Rosmah akan membenarkan Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan memenangi apa apa. PRU14 ini adalah PRU yang Najib-Rosmah bukan hanya boleh memperlekeh Mahathir Muhamad, malah Najib boleh berkata kepada Mahathir Muhamad: f*** you, Mahathir. Aku menang besar. So shut the f*** up.
PRU14 yang akan datang ini akan membuktikan kepada Mahathir bahawa Najib Razak - Mugabe Malaysia - masih popular, masih disanjung dan diangkat oleh rakyat Malaysia sebagai pemimpin negara.
Pada ketika saya menggarap tulisan ini Najib-Rosmah tidak lagi memikirkan tentang kesejahteraan rakyat Malaysia. Tidak lagi menghitung dasar yang terbaik untuk umum. Najib-Rosmah tidak lagi berfikir bagaimana hendak membuat dasar dalam dan luar negara yang akan membawa laba kepada negara.
Tidak. Tidak. Tidak. Semua ini bukan dalam perkiraan Najib-Rosmah. Ketika ini, yakinlah, Najib- Rosmah hanya berfikir untuk terus berkuasa. Jika Najib hilang kuasa, jawapannya ialah Najib dan Rosmah akan ditangkap. Najib akan didakwa dalam dan luar negara. Tim FBI hanya menunggu masa Najib tidak lagi dilindungi oleh kuasa negara atau hubungan diplomatik. Ini hakikat. Ini fakta, bukan fitnah atau tohmah.
Justeru, jika menggunakan duit dan penipuan, gerombolan tertentu boleh menang besar.
Mustahil pembaca tidak memahami latar yang saya lakar ini. Dari latar ini saya mencadangkan kita - Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan melakukan persejajaran semula atau realingment.
Tujuan persejajaran semula ini ialah menggalang satu perserikatan yang maha besar untuk satu tujuan. Bukan untuk memenangi PRU14. Bukan untuk mengagih-agih kerusi. Ini kerja kemudian. Persejajaran semula ini bertujuan untuk menyingkirkan Najib-Rosmah dari kuasa. Ini satu agenda induk yang akan merungkai kekalutan politik ekonomi Malaysia.
Daripada persejajaran semula akan timbul persoalan Parti Islam PAS. Di mana letaknya parti ini dalam persejajaran semula ini.
Pada hemat saya, parti PAS pada ketika ini sedang bersedia dan telah bekerjasama dengan United Malay National Organisation. Jika saya Najib, maka PAS akan saya jadikan alat yang cemerlang untuk menghuru-harakan pihak yang menentang.
PAS tidak akan masuk ke dalam BN. Peranan PAS lebih cantik dan indah di luar Barisan.
Najib akan menggula-gulakan dengan kesah nabi, bidadari dan syurga. Najib akan berwirid dan 'berhanana' dengan Haji Hadi sambil Hadi bersurah tentang hudud dan potong tangan. Semua ini akan memberahikan nafsu Haji Hadi Awang.
Apabila PRU14 sampai, seorang Tok Arab akan mengeluarkan zakat kepada parti PAS atas nama Islam. Atas nama 'Sunnni wal Rasuah'. Atas nama kesatuan ummah. Duit zakat yang bertimbun-timbun ini akan membolehkan parti PAS bukan sahaja membeli bendera baru, bukan sahaja membeli pejabat baru, malah PAS akan bertanding di seluruh negara. Jika Najib meminta Hadi bertanding di Paris atau Brixon pun Hadi dan parti PAS akan angguk kepala bersetuju.
Saya pernah menambah pandangan Karl Marx. Mengikut pandangan Karl Marx, sejarah manusia ialah sejarah perjuangan kelas. Saya tambah sedikit, sejarah perjuangan manusia ialah sejarah perjuangan kelas dan sejarah pembelotan.
Hakikatnya PAS bawah pimpinan Hadi telah belot. Ini bukan tohmah. Ini bukan fitnah. Ini fakta.
Apakah ini bermakna dalam persejajaran semula ini PAS tidak bersama? Tidak. Dalam persejajaran semula ini sesiapa sahaja yang mahu menyingkirkan Najib-Rosmah dari tampuk kuasa akan diajak bersama.
Hadi yang melantik dirinya sebagai penasihat Najib-Rosmah pastilah dibaca sebagai musuh. Begitu juga Nik Abduh dan beberapa benggolan lagi yang amat bersedia membuka seluar dan jubah untuk bersama dengan United Malay National Organisation.
Hakikatnya bukan semua pemimpin PAS setuju dengan apa yang dibuat oleh Hadi. Bukan semua ahli parti PAS menyokong langkah Hadi berbaik baik dengan Najib. Tidak semua ahli PAS mendapat dedak.
Hari ini parti PAS bukan lagi monolitik. Parti ini tempang, berdarah dan terumbang-ambing. Keputusan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar jelas membuktikan PAS tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu seperti dalam PRU13. Parti AMANAH sedang bersedia untuk menjadi wadah perjuangan baru kepada ahli PAS yang bosan dan kecewa dengan Hadi.
Dalam persejajaran baru ini bukan hanya dijemput PKR, DAP, AMANAH, PSM, PRM, malah kita menjemput semua parti politik termasuk PAS, MCA , MIC, Gerakan dan juga United Malay National Organistion sendiri. Kita juga menjemput semua NGO dan 'NGI'.
Saya cukup yakin ramai ahli MIC, MCA, Gerakan, PAS yang sedar akan jenayah yang telah dilakukan oleh Najib-Rosmah. Ramai dari ahli parti ini yang berfikir dan rasional. Mustahil kesemua ahli parti-parti ini bebal bodoh dan makan dedak.
Lihat bagaimana United Malay National Organisation sedang retak bukan hanya dengan penyingkiran Muhyiddin dan Mukriz. Kewujudan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) pada ketika ini sedang membara. Jika dikipas dan dibubuh minyak, kemungkinan GCKM ini berpotensi untuk membawa satu perubahan dalam United Malay National Organisation.
Hakikatnya jika penggalangan baru ini dapat diwujudkan, maka satu ombak rakyat yang maha besar dapat bergerak dengan induk singkirkan Najib.
Pada tahap ini kerusi apa untuk siapa? Berapa kerusi aku? Berapa kerusi kau? Siapa bakal PM? Siapa jadi menteri adalah cakap-cakap bodoh yang tidak berpijak di bumi nyata.
Berpijak di bumi nyata ialah menerima hakikat bahawa Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan tidak akan menang dalam PRU14 - yang akan dijalankan dengan penipuan. Dalam sejarah negara dunia ketiga tidak ada - saya ulangi lagi sekali - tidak ada pertukaran kerajaan melalui pilihan raya.
Di Malaysia ini, telah saya buktikan dengan rujukan kepada pilihan raya kerajaan tempatan. Terbukti, jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa, pilihan raya akan diharamkan. Selamat hari Raya.