Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sedang berusaha untuk membentuk kurikulum yang sesuai bagi mewajibkan matapelajaran Hubungan Etnik di semua Institusi Pengajian Tinggi. Usaha ini patut dialu-alukan memandangkan hubungan etnik di negara kita masih tidak memuaskan meskipun negara sudah 47 tahun mencapai kemerdekaan.
Mungkin banyak puncanya mengapa hubungan etnik kurang baik dan perlu dikenalpastikan selanjutnya. Namun politik perkauman yang dicorakkan oleh pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang merupakan pakatan parti-parti perkauman, dan dasar-dasarnya yang bertunggakkan falsafah "Ketuanan Melayu" dan "Bumiputeraisme" sudah pasti merupakan punca yang terpenting.
Begitu jugalah halnya dengan sesetengah parti pembangkang yang masih meronta-ronta untuk menghakiskan sentimen perkauman atau keagamaan mereka yang sempit, sungguhpun reformasi politik yang berasaskan nilai-nilai sejagat seperti keadilan, demokrasi, kebebasan, keamanan dan hak-hak asasi manusia, telah dijadikan sebagai agenda bersama.
Tulisan pendek ini tidak bertujuan untuk mengkritik secara amnya aspek-aspek negatif dasar-dasar politik, ekonomi, pendidikan atau sosial kerajaan BN yang mungkin telah menjejaskan hubungan etnik di negara kita.
Tetapi hanya ingin meninjau semula Dasar Kebudayaan Negara kita dari perspektif multikuturalisme, kerana penggubalan Dasar Kebudayaan Negara yang baru melalui muafakat semua etnik terbabit, amat penting jika usaha memperkenalkan matapelajaran Hubungan Etnik di Institusi Pengajian Tinggi, mencapai matlamatnya.