Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BERSIH 4 baru sahaja melabuhkan tirai dengan jayanya. Tapi hari ini sekali lagi saya membawa ayat-ayat songsang. Sekali lagi saya membawa ayat-ayat sesat.

Sekali lagi saya membawa berita buruk. Najib tidak akan berundur. Kemusnahan negara ini akan berterusan. Ini hakikat.

Sebenarnya dari fakta sejarah, sayalah sosok yang seharusnya bergembira dengan BERSIH4. Seharusnya saya merayakan satu kejayaan peribadi.

Pada tahun 1998 – lebih tepat lagi pada petang Sabtu 24 Oktober 1998 – lebih kurang jam 5 petang saya telah ditangkap di sebelah bangunan Kompleks Pertama Jalan Tunku Abdul Rahman.

Saya dibawa ke rumah pasung Dang Wangi untuk ditahan. Kamera SLR Nikon AE saya telah dirampas sahingga hari ini tidak dipulangkan.

Esoknya – pagi Ahad 25 Oktober 1998 – saya telah dibawa ke PULAPOL di Jalan Semarak. Di sana saya dikumpulkan dengan puluhan lagi penunjuk perasaan yang kelihatan telah dibelasah.

Ramai yang kelihatan cedera, bengkak-bengkak dan kelihatan berdarah dan luka yang telah kering. Dalam sejarah, ini digelar Malam Reformasi Kampung Baru.

Pada Ahad 25 Oktober 1998, induk berita di muka depan Mingguan Malaysia, ada kenyatan resmi Perdana Menteri Mahathir Muhamad yang mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa dalang demonstrasi yang menyokong Anwar Ibrahim telah berjaya ditangkap.

Ditangkap Mahathir

Dalang yang dimaksudkan oleh Mahathir Muhamad ialah Hishamuddin Rais. Ini terpampang di muka depan Mingguan Malaysia.

Pada ketika itu saya bukan dalang. Tetapi saya memang memiliki pandangan dan garis politik yang mengajukan tunjuk perasaan jalan raya sebagai wadah politik.

Demonstrasi membantah pemenjaraan Anwar Ibrahim diteruskan. Dari segi fakta sejarah, saya terlibat secara langsung menyusun dan mengatur gerakan menentang Mahathir dan United Malays National Organisation. Akhirnya, Mahathir Muhamad menahan saya di bawah ISA pada tahun 2001.

Pada era ini Mahathir Muhamad adalah perdana menteri. Dia telah berkali-kali membuat kenyataan: Demonstrasi bukan budaya kita. Demonstrasi adalah budaya asing.

Mahathir Muhamad juga memperlekeh Gerakan Pelajar Demo Baling 1974. Garis Mahathir – demo bukan budaya kita – telah disambut oleh tukang bodek dan tukang cari kontrek untuk menjadi naratif nasional. Tetapi Hishamuddin Rais meneruskan garis politik jalan raya tanpa henti-henti.

Akhirnya pada Sabtu 29 Ogos 2015 jam 7.37 petang Mahathir Muhamad telah datang turun ke persimpangan Jalan Tun Perak dengan Jalan Raja Laut. Mahathir telah turun ke jalan raya.

Mahathir muncul untuk memberi sokongan kepada BERSIH4. Sebelum ini Mahathir telah ada dilaporkan berkata bahawa demo ialah adalah jalan akhir untuk menjatuhkan Najib.

Hakikatnya garis politik jalan raya Hishamuddin Rais telah berjaya. Jalan raya kini telah menjadi budaya politik Malaysia. Hakikatnya Mahathir Muhamad kini tunduk dan akur dan mengikut jejak langkah Hishamuddin Rais.

SB polis setia pada Mahathir

Ini kemenangan peribadi untuk saya. Tetapi politik jalan raya bukan tentang kemenangan pribadi. Politik jalan raya ialah satu pendekatan untuk menumbangkan kezaliman dan menegakkan keadilan.

Justeru, bukan kemenangan pribadi yang hendak saya rayakan. Saya mahu menganalisis dan mencari sebab musabab kenapa Mahathir Muhamad akhirnya menerima politik jalan raya – yang satu ketika dahulu amat-amat dibenci.

Pada hemat saya Mahathir memiliki maklumat dalaman yang amat tepat. Contohnya, bekas pegawai nombor dua Cawangan Khas PDRM amat-amat setia kepada Mahathir.

Pastilah Mahathir mendapat maklumat tepat lagi tuntas. Pastilah Mahathir mendapat penerangan dari masa ke masa tentang apa yang sedang berlaku dalam negara.

Berpandukan maklumat ini Mahathir kini cukup yakin Mohd Najib bin Abdul Razak tidak akan meletakan jawatan. Najib akan meneruskan kuasanya. Malah Mahathir kini yakin Najib akan mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

Saya juga menerima hakikat bahawa Najib tidak akan berundur. Datanglah apa sahaja, Najib akan terus berkuasa. Untuk memperkukuhkan dan menghalalkan kuasa maka Najib akan menggunakan PRU14.

Saya cukup yakin dalam PRU14 ini United Malays National Organisation dan Najib akan mendapat kemenangan yang amat cemerlang – land slide victory – durian runtuh. Saya juga yakin Najib akan mendapat kembali sokongan dua pertiga dalam Parlimen.

Apabila kemenangan PRU14 berlaku maka Najib Razak dengan angkuh dan bangga akan berkata kepada Mahathir Muhamad ‘...$#@! you Mahathir... Lihat aku dapat sokongan majoriti rakyat... Kamu nak cakap apa?’

Najib akan menang besar

Mahathir sedar bahawa ayat-ayat sebegini akan dihamburkan oleh Najib sesudah PRU14 maka Mahathir sanggup turun dua kali ke jalan raya untuk memberi sokongan kepada para penunjuk perasaan. Mahathir hanya berkata, teruskan lagi!

Kemenangan besar gerombolan bani Ketuanan Melayu dalam PRU14 ini akan diheboh-hebohkan sebagai kejayaaan pimpinan Najib Razak. Kemenangan besar dalam PRU14 ini akan digunakan untuk menutup semua mulut pengkritik Najib Razak.

Maka akan dikeluarkan hujah kenapa United Malays National Organisation menang besar dalam PRU14:

  • Kerana Pakatan Rakyat tidak wujud
  • Kerana parti PAS telah pecah
  • Kerana dalam PKR tanpa Anwar dan ada jalur pandangan yang berterlagah
  • Kerana tidak ada kerjasama antara parti pembangkang
  • Kerana orang Melayu sedar jika mereka tidak sokong parti Ketuanan Melayu maka parti Cina DAP akan berkuasa.

Hujah ini akan dijaja ke hulu ke hilir sebagai naratif politik untuk memperlihatkan keunggulan dan ketrampilan pimpinan sosok yang bernama Najib Razak.

Apakah kemenangan ini betul? Sebenarnya tidak. Semua ini adalah dongeng.

Yang tepat dalam PRU14 nanti gerombolan parti Ketuanan Melayu akan menang besar. Yang betul, United Malays National Organisation dan konco-konconya akan terus berkuasa. Yang tepat dan betul ialah Rosmah Mansor akan terus mengendalikan negara.

Dari sekarang saya beri tahu bahawa kemenangan Najib Razak dalam PRU14 nanti adalah hasil penipuan. Lagi besar kemenangan yang dicapai lagi besar penipuan. Lagi banyak undi diterima lagi licik penipuan.

Tindakan licik Najib

Ini bukan fitnah. Apa yang saya lakar ini berasaskan fakta dan babak politik yang telah terjadi. Apabila saya berkata dalam PRU14 Najib akan menang besar, ini adalah satu pandangan yang saintifik – yang berasaskan data dan maklumat.

Fakta dan data telah muncul bagaimana Najib dikatakan akan mendapat surat dakwaan kes pecah amanah. Surat dakwaan telah disiapkan oleh peguam negara dan hanya menunggu masa untuk diserahkan kepada Najib.

Ia didakwa melibatkan kes penyaluran duit sebanyak 42 juta ringgit dari Syarikat SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun pribadi Najib.

Sebelum surat dakwaan sampai Najib telah ‘menerajang senyap’ peguam negara. Najib memandulkan Badan Petugas Khas Parlimen dengan mengambil empat anggota badan ini untuk jadi Menteri.

Saterusnya Najib memaksa Ketua Pengarah SPRM Abu Kassim Muhamad terbang ke Amerika untuk dipotong buah pinggang – atas nama cuti berehat. Seramai empat orang saksi penting telah diatur untuk menghilangkan diri. Ini bukan fitnah. Ini fakta sejarah.

Jika semua ini boleh dilakukan oleh Najib Razak tanpa menghitungkan salah benar. Tanpa mengambil kira hukum hakam. Semua ini dilakukan hanya untuk memastikan Rosmah Mansor akan terus menjadi teraju utama negara ini.

Maka mustahil Najib tidak boleh mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk bersedia dari sekarang. Arahan yang cukup senang bunyinya – ‘PM mahu menang besar’.

Mahathir jilat ludah

Mustahil ahli lembaga SPR berani mengingkari arahan Najib. Pasti mereka sayangkan buah pinggang dan tidak mahu dipaksa pergi bercuti ke Amerika. Ini hakikat. Ini bukan fitnah.

Justeru, atas kesedaran inilah maka Mahathir Muhamad sanggup menjilat air ludahnya dan mengikut mazhab Hishamuddin Rais turun ke jalan raya sebelum ke pilihan raya.

Mahathir pasti dapat melihat langkah dan tindakan yang akan diambil oleh Najib. Dia bekas PM selama 22 tahun. Mahathir tahu peranan semua alat dan jentera daulah. Mahathir tahu bagaimana semua jentera boleh digunakan.

Mahathir kenal hati perut dan psikologi penjawat awam dari Tan Sri hinggalah ke pencuci lantai. Mahathir tahu juga sikap feudal dan kebebalan fikrah ahli United Malays National Organisation. Malah wujudiah kekebalan Najib hari ini adalah hasil kerja Mahathir sendiri.

Kebelakangan ini Mahathir telah menyebut beberapa kali tentang pilihan raya. Malah pada petang Sabtu BERSIH4, Mahathir telah meminta pengundi kawasan Pekan untuk tidak lagi mengundi Najib.

Dalam masa yang sama pada hari kedua BERSIH4, Zahid Hamidi pula telah berkata agar parti-parti komponen BN bersedia untuk menghadapi PRU14.

Setelah memerhatikan semua ini dan apabila selesai sahaja BERSIH4, saya berani berkata bahawa PRU14 akan menjadi titik tolak sejarah pilihan raya. PRU14 ini nanti akan berjalan dengan penuh penipuan terancang.

Najib takkan berundur

BERSIH pernah membuktikan penipuan melalui Tribunal Pilihan Raya yang dibuat sesudah PRU13. Expose – pendedahan berita dari Wall Street Journal – telah membuktikan bagaimana duit sebanyak RM2.6 bilion masuk untuk menipu PRU13.

Hanya sekarang ianya terbocor. Ini penipuan yang terbocor – berapa banyak lagi penipuan yang kita tidak akan tahu.

Secara terbuka saya katakan bahawa penipuan yang amat-amat besar sedang dirancang untuk PRU14. Pemimpin United Malays National Organisation sedar bahawa Najib dan Rosmah adalah dua biawak hidup yang wajib mereka pikul.

Beban memikul biawak hidup ini ialah kekalahan dan kemusnahan parti United Malays National Organisation. Pemimpin parti Ketuanan Melayu sedar bahawa dua ekor biawak hidup ini tidak akan mengundur.

Justeru, untuk sama-sama selamat, kuasa wajib terus dipegang. Dalam PRU14 kuasa seperti dalam semua PRU hanya didapati melalui penipuan undi. Kali ini bezanya dalam PRU14, penipuan mega akan dijalankan.

Jika PRU14 adil dan bersih, Pakatan Rakyat Perjuangan (PKR-DAP-HARAPAN BARU) akan mengambil alih Putrajaya. Tetapi ini tidak akan berlaku.

Kepada para politikus dalam PKR, DAP, PAS, HARAPAN BARU – sila jangan ada ilusi untuk menang dalam PRU14. Semua akan lungkup hangus dipukul oleh Najib Razak.

Maka pada petang dan malam keputusan PRU14 diumumkan secara spontan, BERSIH 5 akan meledak.

BERSIH 5 adalah ledakan spontan rakyat tanpa memerlukan Ambiga, Pak Samad, Mat Sabu, Maria Chin, Tian Chua, Hishamuddin Rais mahu pun Mahathir Muhamad. Kemarahan rakyat telah sampai ke hulu hati.

BERSIH 5 adalah ‘le grande finale‘ – ledakan kemarahan rakyat spontan kerana mereka tidak mahu lagi terus ditipu. Anak muda wajib bersedia dari sekarang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS