Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aku berasakan gerakan atau organisasi BERSIH akan mendapat perhatian jawatankuasa pencalonan Hadiah Nobel Untuk Keamanan tidak lama lagi.

Kenapa?

Lima tahun lalu, dalam bulan Ogos 2010, Cambridge University Press menerbitkan sebuah kajian yang sangat penting. Judulnya, Competitive Authoritarianism: Hybrid Regimes After the Cold War yang ditulis oleh dua saintis politik, Steven Levitsky dari Universiti Harvard dan Lucan A Way dari Universiti Toronto. Buku tersebut bagaimanapun bermula dengan sebuah artikel akademik The Rise of Competitive Authoritarianism di sebuah jurnal pada tahun 2002.

Apakah isi mustahak kajian tersebut yang berkait dengan BERSIH?

Kedua-duanya, meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara dibawah kategori ‘rejim hibrid’. Kelompok bersama Malaysia adalah Kemboja, Kenya, Nigeria, Peru, Rusia, Ukraine, Serbia dan Zimbabwe.

Apakah persamaan yang ada antara Malaysia dan negara-negara tersebut? Menurut Steven Levitsky dan Lucan A Way, negara yang disenaraikan di atas adalah pengamal ‘competitive authoritarianism’ atau secara mudahnya, negara yang mana kerajaannya adalah pengamal pilihan raya dengan elemen autoritarianisme.

Harus diingatkan, mereka berdua bukanlah satu-satunya kelompok saintis politik yang pernah menamakan Malaysia selaku pengamal ‘competitive authoritarianism’ ; bersama dengan mereka, Larry Diamond dengan artikel bertajuk Thinking About Hybrid Regimes turut menamakan Malaysia sebagai negara yang tidak mengamalkan demokrasi penuh di mana nama yang beliau gunakan adalah ‘pseudo democracy’; pada tahun 2008 Leonardo Morlino, seorang profesor sains politik dari Florence, Itali yang menulis Hybrid Regimes or Regimes in Transition? turut meletakkan Malaysia dalam rejim hibrid dengan Tonga, Djibouti, Gabon dan Ethiopia iaitu rejim hibrid yang kukuh dan telah mengalami kestabilan, atau sukar diubah menjadi demokrasi penuh.

Dalam tahun 2011, Jiri Holik dari Association for International Affairs berpangkalan di Prague mengelompokkan Malaysia dalam kategori tersebut menerusi kajian beliau bertajuk Malaysia: Between Democracy and Authoritarianism. Dalam erti kata lain, terminologi ini sudah cukup terpakai dalam bidang sains politik. Atau dalam bahasa yang menyedihkan Malaysia dikelompokkan dalam ‘negara bangsat demokrasi’ oleh ramai sarjana.

Sayugia diingatkan, kepincangan demokrasi di Malaysia bukanlah dibangkitkan oleh cendekiawan luar negara sahaja. Isu ini dibangkitkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dalam tahun 2007. Dalam satu persidangan sempena hari hak asasi manusia peringkat Malaysia pada 9 September 2007 di Kuala Lumpur, SUHAKAM telah menegaskan bahawa demokrasi bukanlah hanya pilihan raya tetapi ‘apa yang terisi antara pilihan raya tersebut’.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dalam ucap utamanya ketika persidangan itu mengatakan selepas 50 tahun merdeka, masanya sudah tiba untuk Malaysia melihat semula perjalanan sistem demokrasinya khusus melibatkan pilihanraya. Ia harus dilakukan menerusi dialog dan forum awam. Abu Talib melihat segala ketidakadilan dalam pilihanraya berlaku sehingga menjejaskan keadilan dan kesetaraan yang ditekankan dalam sistem ‘dari rakyat untuk rakyat ini’. SUHAKAM malah menegaskan, secara nyata ciri-ciri penting yang menunjangi ‘competitive authoritarianism’ wujud dalam sistem demokrasi negara ini.

Akan tetapi semua saranan SUHAKAM pada tahun 2007 itu jatuh ke telinga yang pekak. Dalam keadaan bangsat itulah BERSIH muncul untuk rakyat. Meskipun ia dilatari dan sering dijadikan tebusan oleh ahli politik berkepentingan seperti Anwar Ibrahim dan kini Mahathir Mohamad (being hijacked by opportunists politician like Anwar Ibrahim and Mahathir Mohamad) tetapi secara asasnya BERSIH sehingga ini yang keempat adalah gerakan dan milik rakyat atau orang awam.

Terlepas dari itu, sebelum peranan BERSIH dipanjangkan, apakah ciri penting yang mendasari ‘competitive authoritarianism’ yang diamal oleh rejim hibrid? Steven Levitsky dan Lucan A. Way, mengatakan pengamal ‘competitive authoritarianism’ adalah rejim hibrid yang mana, di negara mereka, pertandingan atau pilihanraya yang merupakan komponen paling utama dalam demokrasi tidak setara.

Tiga keadaan paling jelas adalah pertama, institusi kerajaan dicabul, dieksploit dan digunakan sewenang-wenangnya oleh parti yang sedang memerintah. Kedua, mereka yang sedang berkuasa mempunyai kelebihan dalam semua segi berbanding pembangkang hatta ke tarikh penentuan pilihan raya yang tidak pernah diseragamkan dan ketiga, gerakan dan usaha pembangkang sama sekali cacat kerana tidak punya akses kepada sumber awam, media malahan undang-undang digubal untuk memihak kepada parti yang sedang berkuasa.

Kedua-dua saintis politik itu juga mengatakan, dalam rejim hibrid, apa yang ada ialah demokrasi olok-olok di mana kelihatan seolah-olah parti politik boleh bergiat cergas tetapi sebenarnya mereka dikekang dan tidak dapat melakukan apa-apa kerana tangan sedang terikat ke belakang.

Dalam keadaan ilusi sedemikian, pembangkang mungkin memenangi pilihan raya dan percaya atau perasan boleh menang, tetapi hakikat sebenarnya ia tidak akan berlaku sama sekali. Yakni pembangkang tiada peluang untuk mengganti rejim sedia ada.

Steven Levitsky dan Lucan A Way dalam buku mereka, berkali-kali membuat contoh Malaysia termasuklah bagaimana terdapatnya monopoli akses kepada kewangan sektor swasta yang dicipta untuk mendanai pilihan raya.

Mereka malah menyebutkan perihal derma atau pendanaan yang tidak didedahkan sehingga jurang kebolehdayaan bertanding amat jauh. Kedua-duanya menyebutkan di banyak tempat, Mahathir Mohamad adalah antara pencipta, dan pengukuh ‘competitive authoritarianism’ di Malaysia .

Levitsky dan Way menyebut pada tahun 1998-1999, tekanan menerusi undang-undang, legal repression, dilakukan dan dimanfaatkan pentadbiran Mahathir dengan sasaran terhadap jurnalis, editor dan media independen.

Adalah satu yang penuh kebalikan, apabila Mahathir muncul di Dataran Merdeka ketika berlangsungnya BERSIH 4 dan mengatakan “teruskan” sementara isterinya pula menyebut, seperti dilaporkan media, “ini kuasa rakyat”.

Sarjana yang mengkaji fenomena atau gejala ‘competitive authoritarianism’ ini tidak menawarkan satu penyelesaian yang konkrit untuk rakyat atau warga yang menderita di bawah rejim hibrid. Tiada satu solusi yang dapat diguna pakai.

Ini kerana gejala ini masih dianggap baharu dan membingungkan. Para sosiologis masih berhempas pulas memberi penawar kepada ketidakadilan ini. Ini kerana untuk dihujahkan tiada demokrasi, pengamal rejim hibrid seolah-olah mengamalkan demokrasi; untuk mengatakan tiada pilihanraya yang adil, tampaknya ia semacam adil. Saintis politik dalam gagau menanganinya.

Maka dalam galau tersebut BERSIH boleh dikatakan satu fenomena yang juga menarik untuk pengkaji hak asasi manusia sepertiku. Ini kerana BERSIH menggunakan satu strategi yang tidak terfikirkan. Ia mengambil pendekatan aman, dan ia menggunakan pendekatan keingkaran sivil. Setiap larangan pemerintah untuk menghalang mereka akan disahut dengan keingkaran yang kreatif.

Dalam keingkaran sivil, moto terpakai adalah yang diketengahkan oleh Henry David Thoreau “government is best which governs not at all .”

Ia menjadi metode yang digunakan oleh penggiat hak asasi manusia seperti Martin Luther King apabila dengan sengaja dan degil menerokai kemungkinan demokrasi (hak pengundian) untuk bangsa kulit hitam di bandar Selma, Alabama, Amerika Syarikat pada 25 Mac 1965. Dr Martin Luther King mengetuai ribuan demonstran aman, nonviolent demonstrators, dalam satu perarakan berjalan kaki ke Montgomery, Alabama, iaitu selama lima hari. Hasilnya amat menarik, hari ini, hak pengundian untuk bangsa kulit hitam di Amerika diiktiraf malah mereka memiliki Presiden pertama dari bangsa berkulit hitam iaitu pemain golf tegar, Obama.

Tema melawan rejim hibrid pasti menarik minat jawatankuasa Hadiah Nobel tahun ini dan tahun-tahun mendatang. Ini kerana wacana tentang rejim hibrid sangat diminati di Eropah. Apatah lagi BERSIH juga mempunyai satu belahan lain iaitu Global BERSIH yang mana rakyat Malaysia di luar negara melakukan keingkaran sivil dan protes yang sama.

Sekiranya BERSIH mendapat pengiktirafan seumpama itu, iaitu Nobel, ia akan memberi satu jalan besar dan kekuatan moral untuk penentang rejm hibrid di seluruh dunia. Malaysia tentu tidak mahu berada di atas ‘peta yang tidak dikehendaki’. Tidak ada jalan lain untuk menahan ini dari terjadi.

Aku yakin kita perlu kembali kepada saranan SUHAKAM. Bahawa demokrasi adalah ‘apa yang terisi antara pilihanraya tersebut’ dan setelah 50 tahun merdeka, Malaysia perlu muhasabah kembali perjalanan sistem demokrasinya khusus melibatkan pilihanraya. Ia harus dilakukan menerusi dialog dan forum awam.

Oleh kerana cadangan ini masih dipandang sepi, malah dipersendakan, BERSIH menjelma dan menawarkan kepada rakyat yang bingung dan resah satu jalan keluar yang kreatif: keingkaran sivil lawan rejim hibrid. BERSIH akan terus kuat meskipun tiga kali haram difatwakan. Ia malah disahut secara aneh oleh pencipta rejim hibrid itu sendiri; Mahathir Mohamad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS