Perkara 1, Pengistiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menyebut, “semua manusia lahir bebas dan saksama dalam maruah dan hak-haknya.” Maruah merujuk rasa kemuliaan diri dan kehormatan peribadi. Ia merujuk kepada perihal nama baik dan harga diri.
Penggunaan frasa harga diri membayangkan suatu jenis urusniaga perasaan – mahal, murah atau sampah (seperti saya!). Ia mengukur makna kehinaan – penghina, orang yang dihina dan penghinaan.
Ia permainan kejam si kuat ke atas si lemah – yang tuan dan yang hamba, yang kalah dan yang menang, yang mulia dan yang hina, yang ularmak dan yang profesorsional, yang mencakar dan yang terluka, parah serta dalam kedukaannya.
Dalam politik, maruah (nama baik dan kehormatan diri) amat penting untuk dijaga. Misalnya, ahli parlimen Jeli, Mustapha Mohamad merasa terhina dengan niat suci DAP mahu membina masjid buat para mangsa banjir.
Ataupun golongan pro ulama Pas merasa terhina dengan ucapan Lim Kit Siang yang mengangkat hak-hak kemanusiaan, menolak pelaksanaan perundangaan deraan fizikal dan hukuman mati yang kejam.
Makanya, hasrat Muktamar PAS yang meluluskan usul tanpa bahas anjuran sayap teras Dewan Ulamanya untuk memutuskan hubungan dengan DAP telahpun menjadi kenyataan.
Sekarang, puaslah hati kalian. Pakatan Rakyat (PR) akhirnya gagal membawa harapan perubahan, menghapus rasuah, menegak hak asasi dan pendemokrasian di Malaysia.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telahpun mengumumkan Pakatan Rakyat Sudah tidak wujud lagi.
Makanya kini jalan keindahan yang dihasratkan golongan konservatif Melayu Islam, untuk melihat perundangan hudud terlaksana semakin terbuka luas.
Umno lemah, Pakatan gagal
Tiada lagi halangan golongan sekular – liberal – plural – pro demokrasi – pro hak asasi manusia – pro negara berkebajikan – dengan label-label Anwarinas, anai-anai, munafiq, barua, tolol dan jebon.
Anwar Ibrahim pula sedang melalui pemenjaraannya untuk lima tahun lagi. Jika hukuman ini berjaya dilalui saudara Anwar, maka dia telah menghabiskan kira-kira 15 tahun usia dewasanya untuk dipenjarakan rejim zalim Umno-BN.
Doktrin kejiwaan yang mendasari pemerintahan Malaysia selama ini secara tanpa sedar – atau barangkali dengan sepenuh pengetahuan – mengajar umat Melayu Islam Malaysia untuk memperakui diri mereka sebagai makhluk pilihan tuhan yang paling mulia.
Bukan sahaja paling mulia di muka bumi, malah di serata alam semesta mayapada.
Ya, segerakanlah urusan perpaduan umat Melayu-Islam dibawah kepimpinan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Najib Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang – hingga tertubuhnya Negara Islam dan terlaksananya hudud.
Saya ulangi, puaslah hati kalian. Pada saat Umno-BN berada dalam kedudukannya yang paling lemah, Pakatan Rakyat gagal menjadi jawaban penyelesaiannya.
Saya cuma sekadar yakin, siapa yang berkhianat, dia pasti akan mendapat laknat Yang Maha Esa. (Jangan risau, doa seorang pendosa seperti saya tidak makbul.)
Sejarah PAS bukanlah sejarah kopiah dan serban semata-mata. Di sebalik kopiah dan serban itu, mereka bukan setakat pernah dilutut dan disiku Umno-BN.
Di atas sejadah, sejarah PAS bergenang dengan darah, keringat dan air mata rakyat tertindas di Malaysia. Sejarah Memali berdarah.
Sejarah Lubuk Merbau berdarah. Sejarah demonstrasi padi di Kedah. Sejarah pemenjaraan ratusan pemimpin dan aktivisnya dibawah akta-akta zalim, seperti ISA dan Akta Hasutan.
Cita-cita yang tertunda
Umno-BN berjaya dibuktikan sebagai perampas maruah dan hak rakyat. Ironinya ia kini disebut sendiri oleh bekas Presidennya sendiri, Dr Mahathir Mohamad yang merujuk kepada kes skandal kehilangan puluhan bilion ringgit, duit syarikat milik kerajaan 1MDB dan pembunuhan Altantuya.
Cita-cita murni kerap kali tertunda. Retak Pakatan Rakyat telah terbelah. Dalam suasana perubahan cuaca, ditambah tragedi gempa bumi di Sabah, Pakatan turut ikut bergegar lantas harapan rakyat hancur berkecai.
Ia pasti akan menumbuhkan sesuatu yang baru untuk perubahan ke arah cita-cita murni Malaysia yang demokratik, adil, setara dan saksama, berbahagia damai sentosa.
Sementara cita-cita murni itu tercapai, Umno-BN telah dinobatkan sebagai parti politik yang paling lama memerintah di dunia, yang dipilih melalui pilihan raya (yang tidak adil, tidak bersih dan tidak amanah).
Apabila kepimpinan politik konservatif Umno-BN-Pas-Isma-Perkasa bercerita tentang maruah, seolah-olahnya mereka menggambarkan ketinggian martabat mereka di sisi Tuhan. Sudah tiba masanya kita merenung kenyataan, di mana pula hakikat kedudukan kita di sisi dunia.
Apakah makna maruah, jikalau Malaysia yang kononnya hebat berjuang untuk Palestin, tetapi tanpa segan silu berdagang dengan Israel, serta memakai khidmat perunding Apco misalnya?
Apakah makna maruah, jikalau di sebalik retorika antiimperialisme Amerika Syarikat (AS), kapal-kapal perang AS dibenarkan berlabuh di pelabuhan Malaysia?
Apakah makna maruah, jikalau perairan kita dicerobohi armada kapal-kapal perang Tentera Pembebasan Rakyat China (TPRC)? Kalau tidak silap sebanyak dua kali dua kali , pada Mac dan April 2013, malah beritanya juga berjaya digelapkan media Malaysia pada waktu itu.
Jalan kehinaan
Silalah tonton video TPRC mengangkat sumpah mempertahan wilayah (saya sangat takut).
Apakah makna maruah, jikalau ruang udara kita diceroboh pesawat tentera negara jiran lebih 2,000 kali? Apakah makna maruah, jikalau di sempadan kita wujud kem-kem pemerdagangan manusia?
Apakah makna maruah, jikalau enjin jet pejuang TUDM, kapal terbang MAS dan kini kapal tangki pembawa minyak Petronas boleh hilang?
Saya sedar semangat saya tidak sehebat anda semua, teramat kerdil dengan kelemahan dan kekurangan diri, untuk merasakan saya lebih dekat kepada Tuhan berbanding orang lain, atau pun saya lebih mulia, lebih baik daripada orang lain.
Bukankah kita semua sama sahaja sebenarnya, hamba abdi kekuasaan modal global?
Lantaran itu, saya sedang perlahan-lahan menghakis retorika kepahlawanan dunia ketiga, doktrin kemuliaan moral yang terbit daripada ilusi keagungan yang dikhayalkan dan disebarkan propaganda sistem pemerintahan ala Korea Utara dengan struktur edaran maklumat negara secara berkuku besi.
Namun antara kesemua itu, seperti saya, Najib Razak sedang membuktikan maruah tidak penting lagi dan kalian juga sebenarnya tidak ketinggalan, terimalah bahawa kita sama-sama melalui jalan kehinaan!
RAHMAT HARON seorang seniman ‘outsider’ .