Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Halai-balai belaka apabila pesta arak ‘Oktoberfest’ dipermasalahkan.

Pesta arak yang dinamai Oktoberfest itu telah bermula sejak 24 September 2014 di beberapa lokasi termasuk di Saujana Hotel Subang dan Berjaya Time Square Hotel, Selangor.

Acara kemuncak pesta tersebut dijadualkan pada 10 hingga 12 Oktober di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menafikan wujudnya papan iklan pesta arak Oktoberfest anjuran syarikat arak Carlsberg.

Sementara Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Norlida Kamaruddin dalam laman web rasmi ISMA pada 29 September 2014 telah menggesa pihak berwajib menghentikan pesta arak itu dengan alasan kesan buruk akibat amalan meminum arak tersebut akan menjerumuskan negara ke dalam pelbagai masalah lain.

Dalam pada itu, Amidi Abdul Manan ( bawah ), dari ABIM turut menolak penganjuran Oktoberfest, beliau menegaskan semua agama menolak kemudaratan yang mungkin timbul dari amalan meminum arak, hujah beliau dipetik di sini:

“Baik Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain agama mahukan penganutnya hidup dengan penuh kesejahteraan. Oleh itu, ‘kemabukan’ yang bermakna hilangnya fungsi akal adalah amat dilarang dalam mana-mana agama. Justeru justifikasi yang mengatakan bahawa ia perlu dibenarkan bagi mereka yang bukan beragama Islam adalah tidak berasas sama sekali’.

Beliau seterusnya mengaitkan ‘Oktoberfest’ dengan keruntuhan akhlak, gaya hidup yang tidak senonoh dan ‘pengaruh buruk budaya kehidupan Barat secara membuta tuli.”

Kedua-dua badan bukan kerajaan di atas, ISMA dan ABIM adalah berpaksikan kepada Melayu Islam.

ABIM sebagai misalan amat menitik-beratkan nilai Melayu dalam perjuangannya, dalam satu temubual antara wartawan Risalah ABIM dengan Presiden ABIM, Yusri Mohamad, beliau mengatakan:

“Dalam konteks Malaysia, realitinya adalah umat Melayu mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan agama” (1) .

Melaka di depan Jerman

ISMA pula pada laman sesawangnya menyatakan Islam dan Melayu adalah dua tunjang yang tidak terpisahkan, dipetik:

“Melakar pemikiran ummah dalam mendokong strategi dan seruan dakwah Islam yang syumul kepada terutama kepada masyarakat Melayu Muslim dan Muslim secara amnya.”

Kedua-dua pertubuhan ini juga menzahirkan Kesultanan Melayu Melaka sebagai kayu ukur contoh yang baik. Pada tahun 2011, dengan kerjasama ISMA dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) badan-badan bukan kerajaan ini telah menganjurkan sebuah konferensi iaitu Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka di Dewan Utama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan tema ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’.

Konvensyen tersebut diadakan bagi ‘memperingati peristiwa kejatuhan empayar Melayu Islam Melaka untuk mengembalikan ingatan orang Melayu kepada hakikat keperibadian dan sejarah mereka yang asal’ (2) .

Sementara itu, ABIM juga kelihatannya pernah menjadikan Kesultanan Melayu Melaka sebagai contoh murni ‘sebuah peradaban yang besar dan kuat’ (3) .

Hang Tuah, seperti yang dimaklum adalah wira Kesultanan Melayu Melaka, dan merupakan lambang keperwiraan Melayu-Islam. Justeru, menjadikan Hang Tuah sebagai tanda aras dan watak wakil kepada Kesulatanan Melayu Melaka adalah sentiasa utuh dan tidak terpesong.

Dalam hal ini, Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya lebih jauh ke hadapan berbanding budaya Bavaria, Jerman yang mula-mula menganjurkan pesta arak ini pada tahun 1811.

Hang Tuah, jaguh dan perwira Kesultanan Melayu Melaka yang didambai oleh kumpulan-kumpulan Melayu-Islam di negara ini sering terlibat dengan pesta arak. Malah Hang Tuah amat sinonim dengan arak.

“Aku ingin mengemukakan tiga insiden dari Hikayat Hang Tuah yang membuktikan Hang Tuah dan arak tidak dapat dipisahkan. Ini adalah insiden Hang Tuah untold .

Apa kata hikayat?

Insiden pertama melibatkan Hang Tuah dan Ratu Melayu:

“Setelah sudah maka diangkat orang pula hidangan minuman dan tambul pelbagai rupanya. Maka piala yang bertatahkan ratna mutu manikam itu pun diperedarkan oranglah. Maka sekaliannya pun minumlah terlalu ramai dengan segala bunyi-bunyian. Maka biduan yang baik suaranya pun bernyanyilah. Maka segala yang minum itu pun mabuklah; ada yang sempat berjalan; ada yang rebah di tengah jalan tiada khabar akan dirinya; ada yang menari, rebah tiada dapat bangun. Terbanyak pula yang tiada dapat pulang, tidur di balairung dan setengah tidur di balai gendang ( Hikayat Hang Tuah 2012, 109).”

Insiden kedua, pesta arak itu malah dimulai dengan khatib membaca doa seraya menadahkan tangan mengatakan Amin ya rabbul ‘alamin ( Hikayat Hang Tuah 2012, 118):

“Maka Tun Tuah, Tun Jebat, Hang Kasturi pun mengambil piala itu daripada tangan orang mengisi piala itu. Maka dipenuhinya dengan arak maka dibawanya menari. Maka dianggapkannya kepada Tun Ratna Diraja. Maka Tun Ratna Diraja pun tiada khabar akan dirinya lalu terduduk. Maka Tun Ratna Diraja pun terlalu suka serta tertonggeng-tonggeng. Maka Raja pun terlalu suka tertawa-tawa melihat Tun Ratna Diraja menari itu. Maka rebana pun terlalu ramai. Maka Raja pun memandang pada Tun Tuah dengan syarat menyuruh melarahkan Temenggung Seri Wak Raja. Maka Tun Tuah pun mengambil piala dipenuhinya dengan arak lalu dibawanya menari. Maka oleh Tun Tun Tuah dilarahkannya pada Temenggung serta katanya, 'Santaplah Datuk, titah Duli Yang Dipertuan Muda.' Demi didengar Temenggung maka diambilnya piala itu serta katanya, 'Daulat Tuanku.' Maka piala itu pun dijunjung oleh Temenggung lalu diminumnya.” ( Hikayat Hang Tuah 2012, 119).

Insiden ketiga, memaparkan betapa Laksamana Hang Tuah sememangnya seorang jaguh minum arak yang mana kebolehannya minum tanpa mabuk menghairankan Patih Gajah Mada:

Maka titah Seri Betara, “Hai Patih Gajah Mada ,mari piala itu barang empat lima piala, aku hendak berikan Laksamana.”

Ambiguiti ISMA, ABIM

Maka sembah Laksamana, “Daulat Tuanku.” Maka Patih Gajah Mada pun beranggap pada Laksamana empat lima piala. Maka Patih Gajah Mada pun berasa mabuk. Ada pun akan Laksamana berasa pun ia tiada. Maka Temenggung pun beranggap-anggapan dengan Laksamana. Maka disambut oleh Laksamana lalu diminumnya, tiada juga ia berasa mabuk. Maka Patih Gajah Mada pun heran melihat Laksamana itu tiada mabuk, lakunya pun tiada berubah. Maka segala raja-raja dan adipati pun mabuklah. Hanya Laksamana juga tiada mabuk.” ( Hikayat Hang Tuah 2012, 207).’

Terdapat beberapa insiden lain melibatkan Hang Tuah dan pesta arak tetapi tiga contoh mabuk sehingga tertonggeng di atas adalah memadai.

Untuk kebanyakan pihak yang mempertikaikan kewujudan Hang Tuah, sejarahwan dan arkeologis terkenal tanah air, Profesor Emeritus Dato Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, felo penyelidik utama Insitut Alam dan Tamadun Melayu telah menegaskan Hang Tuah adalah watak real dalam Kesultanan Melayu Melaka. Beliau menyatakan ini ketika Syarahan Tun Seri Lanang pada 26 September 2014 yang lalu dengan judul “ Hang Tuah: Antara Mitos dan Realiti” .

Apa yang dibantah dan diperjuangkan oleh ISMA dan ABIM ternyata menimbulkan ambiguiti yang amat ketara. Malah ia menunjukkan betapa kekalutan fikiran kumpulan kanan Melayu-Islam di mana apa yang diperjuangkan dan apa yang ingin dicapai kadang-kala saling bertentangan.

Kekeliruan ini memang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah . Watak yang diwirakan oleh orang Melayu sekian lama itu bukan sahaja kaki minum, tetapi juga kaki joli dan perempuan, dan hanya pada halaman-halaman akhir hikayat tersebut sahaja ditonjolkan betapa Hang Tuah akhirnya menunaikan haji. Satu gambaran tipikal orang Melayu.

Sekiranya Kesultanan Melayu Melaka diambil sebagai contoh serius maka Oktoberfest yang dikatakan menjadi batu tanda kerendahan akhlak dan moral peradaban tersebut harus ditolakansur oleh ISMA dan ABIM. Ini kerana di istana Melaka, pesta arak nampaknya bukan sahaja berlaku pada bulan Oktober, malah kelihatannya saban hari dan minggu. Bahkan secara jijiknya dimulai dengan bacaan doa.

Justeru, pandangan Amidi Abdul Manan, dari ABIM yang mengaitkan ‘Oktoberfest’ dengan “pengaruh buruk budaya kehidupan Barat secara membuta tuli” sama sekali tidak terpakai. Malah ternyata Kesultanan Melayu Melaka jauh lebih buruk berbanding kerajaan Bavaria, Jerman. Kesultanan Melayu Melaka yang disayangi kalian jauh lebih dahsyat.

Adalah benar Undang-Undang Melaka yang ditulis pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah telah menyatakan dengan jelas peruntukan tentang jenayah dalam undang-undang tersebut yang turut meliputi peminuman arak.

Namun demikian, jika Hikayat Hang Tuah dijadikan sandaran, Undang-Undang Melaka tersebut tidak diaplikasikan secara ketat, malah dalam banyak keadaan dilanggar secara semberono. Kemungkinan juga peruntukan undang-undang itu hanya diaplikasikan terhadap rakyat biasa dan ‘melepaskan’ kaum bangsawan Melaka ketika itu.

Seperkara lagi yang mesti diingati adalah, belum ada bukti tuntas Kesultanan Melayu Melaka benar-benar pernah melaksanakan undang-undang tersebut. Apa yang ada hanyalah di atas kertas, dengan mengambil kira, Melaka adalah sebuah empayar yang sungguh majmuk ketika itu.

Kesultanan Melayu Melaka yang dibanggakan oleh ISMA, dan ABIM adalah Islam bermazhabkan Syafie dengan pegangan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Adalah jelas, Islam, pada mazhab Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah melarang bahkan secara tegas mengharamkan pesta arak seperti yang terjelma dalam pelbagai dalil ayat suci al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Alasan lebih pandai

Oktoberfest adalah pesta arak. Dalam sebuah masyarakat yang majmuk, alasan yang lebih pandai dan rasional harus diberikan untuk mengharam, melarang atau mencegah penggunaan alkohol, berbanding alasan agama.

Pada tahun 2011, World Health Organisation menyatakan Malaysia membelanjakan US$500 juta (RM1.5 bilion) untuk alkohol dengan kadar penggunaan per kapita sebanyak 7 liter, manakala penggunaan bir di Malaysia pula mencecah 11 liter per kapita.

Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Malaysia, Datuk Heng Seai Kie ( kiri ) ketika itu menyatakan:

“Alkohol adalah antara punca kepada pelbagai isu, dari kesihatan kepada kemalangan.”

Justeru beliau menyeru supaya satu kawalan yang tegas dapat dilakukan oleh semua pihak.

Apa yang menyebabkan larangan terhadap Oktoberfest menjadi satu kemarahan buat sesetengah orang adalah kerana alasan agama telah digunakan untuk mencegah arak. Pandangan Islam telah dipaksakan terhadap masyarakat yang ternyata mempunyai sejarah sekular yang tepu. Jelas sekali, orang Melayu telah komited dengan sekularisme sejak era Kesultanan Melaka lagi.

Adalah lebih bijak sekiranya premis lain digunakan untuk mengekang pesta arak. Malah maksud yang sama iaitu kawalan terhadap penggunaan arak akan dapat dicapai, seraya sentimen serta keamanan dalam masyarakat dapat dicapai.

Sudah tiba masanya ISMA dan ABIM membetulkan kekeliruan pada batang tubuh mereka sendiri. Untuk itu mereka tidak boleh mengangkat sejarah dan slogan secara membuta tuli. Ini kerana Melayu-Islam yang diperagakan, paling tidak dalam contoh arak, ternyata bobrok sekali.

Alasan agama yang digunakan oleh mereka akhirnya hanya menjadi bahan senda. Bukan itu sahaja, alasan agama menjadikan masyarakat plural seperti di Malaysia tegang dan bergelora.

Jika ISMA dan ABIM berterusan tidak cerdik begini, keindahan Islam akan dipandang sepi. Bahkan Islam akan dipandang sebagai agama atau cara hidup yang penuh pemaksaan, kekerasan dan hukuman. Sedangkan Islam adalah sebaliknya, sebuah agama yang penuh kerelaan, meraikan hak-hak asasi manusia dan membawa kepada keselamatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS