Menanti pagi untuk ke Kobenhavn pada jam 9.27 dengan gerabak 72 di kerusi 22, Mads Kjoergard (disebut dengan Mas tanpa dibunyikan huruf D) menggesaku untuk tidak tidur.
“Kau kan perlu solat Subuh?” Seorang Lutheran mengingatkanku.
“Ya itu wajib, tetapi berjaga malam tidak difardukan. Camar Aarhus juga tidur bukan?” Aku bercanda.
Dia menggeleng kemudian tertawa, “Mereka terbang dari Greenland, menempuh ais dan hinggap di Jutland. Kalau esok waktu pulang, biarlah aku menemankan kamu, camarAsia. Kita mungkin hanya bertemu 11 tahun lagi!”
Mads Kjoergard aku kenali hampir 30 tahun lepas. Ia hanya bermula dengan program sahabat pena yang diusahakan oleh cikgu bahasa Inggerisku di Sekolah Rendah Jalan Dato Palembang.
Mendiang Cikgu Joseph Savari Naidu memadankanku dengan seorang anak Denmark untuk memantapkan bahasa Inggeris. Teman-teman lain ada yang dipasangkan dengan anak Australia, Inggeris, Amerika Syarikat, atau Kanada tetapi aku mendapat teman yang jarang sekali. Ramai memutus hubungan di tengah jalan.
Tentu sekali sukar menulis surat setiap sebulan sekali untuk anak dua belas tahun. Tetapi kami, berjaya memelihara persahabatan melampaui dekad ketiga. Sejak dari era pejabat pos ke kafe siber, komputer riba dan kini gajet Android, syukur terima kasih kepada Facebook kerana membolehkan seorang Muslim, seorang Lutheran menjalin persahabatan yang menakjubkan.
Kami pernah bercuti sama di Phuket sebelas tahun lalu dan ketika itu masih mencari lapangan akademik yang cocok buat masing-masing. Kali ini bertemu, kami disatukan oleh satu kata; manusia.
Mads Kjoergard kini pensyarah di Aarhus University, Denmark dalam bidang falsafah Perancis abad ke-17 dan 18. Ia sudah menjadi seorang lelaki kacak berambut kuning halia ciri Scandinavia yang menggiurkan; dengan janggut pandak rambut tercacak, kulit pucat berlesung pipit dan bermata biru kehijauan.
Mads masih mengenakan seluar dengan saiz pinggang 30, sedang aku sudah menggandakannya. Ia ingin sekali mengahwini seorang perempuan Asia; “Melayu atau Thai, atau Jepun.”
8 tahun selepas insiden kartun
Tetapi jodohnya terikat dengan seorang wanita Estonia yang juga menggeluti sejarah Perancis dengan pengkhususan Revolusi Perancis.
Seminggu lalu setelah 7 jam penerbangan dari Kuala Lumpur, 10 jam transit di Dubai dan 7 jam lagi penerbangan ke Kobenhavn; kepenatan, kantuk, tercangak lantas terlepas tren ekspres dan terpaksa menaiki kereta api rentas kota selama 5 jam; aku tiba di kota pelabuhan Mads Kjoergard yang dihembus angin dingin menikam tulang punggung di bawah sifar selsius.
Kini, sebagai ahli akademik kami boleh bekerjasama, dan aku merupakan salah seorang ahli bersekutu grup ‘Negotiating Human Rights’ yang berpangkalan di Aarhus. Universiti Aarhus ternama sejak 1997 apabila menghasilkan dua orang penerima Nobel, Profesor Jens Christian Skou dalam bidang kimia dan Profesor Dale T Mortensen yang kebetulan mengajar di Universiti Aarhus ketika menerima anugerah tersebut pada tahun 2010.
Sejak itu ia dikunjungi sarjana besar antara lain ahli teori sastera Terry Eagleton, dan sosiologis Robert Putnam; itu dua nama yang pernah mampir di sini menjadi pensyarah undangan. Pada hari khamis aku bersyarah tentang ‘Malay Orature and Human Rights’ sebagai bahan sumbanganku untuk grup kami dalam satu seminar kecil. Projek terbaru ini juga untuk mengisi geran penyelidikan FRGS-ku di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Di antara sela-sela cangkir kopi pahit yang panas, angin dingin mencekam urat, kek lobak dan croissant coklat kami selalu berbual seputar hak asasi manusia. Grup ini dianggotai sarjana pelbagai disiplin dan meski varian, perlu menghubungkan bidang asal kami dengan hak asasi manusia.
Sehingga pada hari Sabtu lalu, apabila Mads Kjoergard menemankanku mencari buku-buku di tengah Aarhus dan menukar wang krone di Banegardspladsen, aku bertanyakan perkembangan Islam pasca dua belas lukisan kartun Nabi Muhammad SAW pada tahun 2005 yang terbit di akhbar-majalah Jyllands-Posten.
“Lebih setahun lalu, kumpulan pelampau menganjur demonstrasi anti-Islam di kota Aarhus ini. Provokatif sekali. Apabila mereka, kumpulan kanan memilih kota kami yang tenang; ramai di sini yang baran. Umat Islam di Aarhus kecil sekali. Terdapat tunjuk perasaan balas untuk membantah tunjuk perasaan penghasut itu. Mereka mensasarkan lebih seribu demonstran dari seluruh Eropah dan Scandinavia.
“Yang datang kurang seratus orang, dan mereka terkial terpekik sesama sendiri menuntut hak untuk bebas menghamun maruah dan kehormatan agama orang lain.”
Mads Kjoergard membuka kisah. Ia merenungku, dan aku merenungnya kembali. Dalam retina mataku memang ada wajah Mads, tetapi perlahan-lahan ia bertukar menjadi wajah pelampau-pelampau kanan - radical cultural relativists – di tanah airku, yang perkasa dan terikat sebagai Muslimin mengikut tafsiran sempit.
“Hak asasi digunakan untuk menekan hak asasi.” Ujarku dan kemudian aku teringat kata-kata Profesor Sten Schaumburg Muller dalam sembang pagi kami, “Ya, hak asasi di Eropah dan Amerika Syarikat kan prakstisnya berbeza, beritahulah kami bagaimana kamu mahu melakukannya tetapi janganlah menggunakan alasan hak untuk menafikan hak orang lain, itu bukan lagi hak asasi.”
Bukan kerana kubah Masjid
Sejak insiden gila kartun menghina Nabi Muhammad SAW pada tahun 2005, Kobenhavn akan menyaksikan dua buah lagi masjid di kota tersebut. Satu untuk komuniti Sunni, dan kedua memandangkan 80 ribu masyarakat Syiah tidak dianggap Muslim oleh kumpulan kecil Salafi yang tidak toleran, mereka juga mahu punya masjid sendiri siap dengan menara dan kubah. Terdapat bantahan supaya masjid-masjid ini tidak didirikan.
Masjid Sunni dikhuatiri menjadi sarang Salafi yang tidak mengenal budaya lokal, apatah pula ia didanai Qatar maka prasangka orang awam Denmark semakin berganda. Sementara masjid Syiah dibantah oleh imigran dan pelarian Iran ateis yang merasakan ada campur tangan dari Qom.
Masjid Sunni bertempat di Nørrebroitu akan mempunyai menara 20 meter. Kompleks tersebut adalah seluas 6,800 meter persegi meliputi kawasan solat berkubah, restoran, sinema, kelas pengajian, pejabat, pusat khidmat untuk orang berusia, tadika, dan taman permainan kanak-kanak.
Kerimasan masyarakat Denmark bukan pada menara dan kubah. Aku sendiri menegaskan kepada Mads bahawa tanpa kubah dan menara, sebuah masjid masih dapat berfungsi. Malah sebaiknya, sebuah masjid perlu menyerap ciri budaya tempatan supaya tidak dicurigai.
Mads memandangku, “Jika kubah dan menara bukan tanda Islam, jadi apakah tanda Islam?”
Aku menekankan dengan suara serak melawan angin dingin berhembus di muka, “Tanda Islam ialah akhlak mulia. Nabi Muhammad SAW diutus untuk meneguhkan kesempurnaan akhlak.
“Baginda datang bukan untuk memberi hak-hak eksklusif kepada umat Islam bahawa hanya dengan melafaz dua kalimah syahadah mereka kini sudah terjamin keselamatan di akhirat dan beroleh syurga lantas orang lain layak ke neraka.”
Kata Mads mencelah, “Kecurigaan orang juga berasas kerana bekas emir Qatar Hamad bin Khalifa al-Thani menyumbangkan wang”.
Aku tahu jumlahnya besar, iaitu 150 juta kroner. Hal ini membuka pelbagai pertanyaan, antara lain apakah Islam yang akan diajarkan di masjid ini adalah Islam Salafi yang menegaskan lagi sifat-sifat cultural relativism sehingga melebarkan lagi jurang antara masyarakat Denmark yang kuat identiti Lutheran-Viking dengan umat Islam yang mahu menjadi
Arab atau Turki lebih dari seorang Islam.
Kebimbangan masyarakat Denmark ialah Dansk Islamisk Råd (Danish Islamic Council) dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimin yang masih membaca karya Syed Qutb di tanah Tivoli. Hal yang sama terjadi dalam kalangan masyarakat Syiah, masjid Imam Ali yang bertempat di Vibevej akan memiliki dua menara setinggi 32 meter dengan keluasan 2000 meter persegi.
Meluat menjadi marah
Khabar angin mengatakan ia dibiayai oleh kerajaan Iran meskipun sebenarnya ia adalah wang dana khumus yang disalur menerusi Yayasan Ahlul Bait Sedunia. Meskipun penganut Syiah terkenal dengan kemahiran melakukan peribumisasi (atau menyerap budaya lokal dalam cara hidup mereka) tetapi kebolehan dan bakat itu semakin pudar kerana mereka juga sibuk bersaing dengan kumpulan Salafi untuk menunjukkan tanda-tanda siapakah lebih Islam pada menara, kubah, jubah dan biji tasbih.
Ajaran ahlul bait yang mereka banggakan terbenam dalam Mafatih Jinan yang mereka uliti dan tidak lagi terjelma dalam hidup seharian.
Apa yang menjadi duri dalam daging bukanlah masjid atau kartun Nabi Muhammad SAW tetapi ialah sikap umat Islam baik Sunni mahupun Syiah yang tidak mahu bergaul dan tidak mahu melakukan formula tiga A iaitu adaptasi, akomodasi dan akulturasi dengan tempat baharu mereka.
Mereka lupa, mereka bukan lagi dari Iraq, Syria, Mesir, Lubnan atau Iran. Itu kini hanyalah status tempat lahir. Islam adalah suatu agama, tetapi ia mesti boleh hidup dan bernafas dalam pelbagai persekitaran menggunakan pendekatan 3 A tersebut. Inilah ciri istimewa Islam yang dibunuh Wahabi lebih seratus tahun lalu dan disebar ke merata dunia.
Lebih memburukkan keadaan ialah apabila umat Islam bertengkar, berkelahi dan bertumbuk (juga ada insiden bertembak) sesama Sunni (misalnya antara Arab dan Turki, atau Somali) dan antara Sunni dengan Syiah (yang diparahkan oleh krisis di Syria).
Akibatnya fatal sekali, masyarakat Denmark merasa meluat, benci, terganggu dan berkembang menjadi marah. Kartun menghina Nabi Muhammad SAW melampaui budaya suka berjenaka orang Denmark, ia adalah manifestasi rasa di pihak mereka. Ia bukan mengenai kiri tengahnya Helle Thorning-Schmidt atau kanan hujungnya Carl Christian Ebbesen lagi. Kedua-duanya pemimpin Denmark yang perlu berpolitik dan membahas isu Islam dan umatnya untuk survival masing-masing.
Ia mengenai Denmark, sebuah negara kebajikan yang memberi wang sara hidup untuk para penganggur. Kini, komuniti di Denmark bertanya mengapakah perlu cukai direbut daripada mereka untuk membiayai biawak hidup seperti umat Islam di Denmark yang tidak tahu berterima kasih? Umat Islam dilayan sama rata malah diberi ruang kebajikan yang setara tetapi mereka berak kotor di sana sini dengan bersengketa sesama sendiri, bertumbuk dan berkelahi dan saling menyalahkan.
Akibatnya pemerintah di negara-negara Scandinavia ini menjadi bingung kerana amat jelas umat Islam yang ditolongi gagal menjaga persatuan, suka mencari pasal dan tidak menghargai peluang, kesempatan dan kebaikan yang mereka tawarkan. Bukan itu sahaja generasi pertama umat Islam sudah tidak berfungsi kerana usia renta (mereka tidak menguasai bahasa tempatan), sementara generasi kedua dan ketiga pula kurang bergaul dan tidak sedia bersama masyarakat Denmark yang majoritinya adalah Lutheran.
Bukanlah satu cerita rekaan bahawa kebanyakan pemuda-pemuda Islam di Denmark malas belajar, bercita-cita untuk meniduri gadis Danish dan hanya gadis-gadis Islam yang kelihatannya mampu, rajin dan berjaya di alam persekolahan.
Mereka masuk ke universiti dan akhirnya berkahwin dengan pemuda-pemuda Islam yang sebenarnya jantan tidak guna yang tidak pula menyelesaikan sekolah tinggi. Oleh kerana isteri lebih berpendidikan, timbul pula masalah sang isteri bekerja dan suami bertumpu di masjid menjadi ‘Salafi yang baik’, krisis rumahtangga meletus kerap, kadar perceraian mencanak tinggi, anak-anak ramai tersepit antara budaya lantas lingkar yang sama dilalui oleh umat Islam tanpa kesudahan. Tidak ada tekad untuk merubah nasib.
Islam marak berkembang
Doudou Diene, pelapor khas untuk UNCHR merasakan penerbitan kartun Nabi Muhammad SAW itu berakar dari perkauman, diskriminasi ras, xenophobia dan ketidakcekapan kerajaan Denmark mengurus konflik tersebut. Namun muhasabah dalam kalangan diri umat Islam lebih diperlukan berbanding komentar memihak sedemikian.
Sesungguhnya perkembangan Islam di Scandinavia amat marak sekali. Di Sweden sebagai contoh, empati untuk umat Islam semakin berganda walau perlahan.
Jika ada kelihatan undang-undang di Scandinavia yang ternampak mencampuri tradisi Islam seperti halangan untuk berkhatan, berhijab atau cara mengasuh anak sesungguhnya ada sesuatu yang tidak kena pada pengamalnya itu sendiri dan kisah sebenar disembunyi atau dibesar media massa.
Ini kerana hak asasi manusia untuk orang seperti Mads Kjoergard itu amat tinggi. Mereka bersaksi sesungguhnya, aku, dia dan kamu adalah ‘manusia pertama atau human first’ dan identiti (baik agama, gender, atau pilihan seksual) kita adalah perkara kedua.
Ini membolehkan mereka melihat manusia sebagai manusia dan bukan sebagai seorang Muslim atau Hindu atau Lutheran, melihat ‘manusia pertama’ bukan kerana warna kulit dan rambut, bukan kerana tempat asal. Tetapi tentu sahaja ada pra-syaratnya, Mads telah menggugurkan beberapa bahagian dalam diri untuk bertolak ansur dan menerima umat Islam yang amat asing, tetapi mengapakah umat Islam tidak mahu melakukan hal yang sama supaya ada perdamaian di antara mereka?
Mengapa umat Islam di Denmark perlu berlagak mereka sahaja yang empunya syurga? Seperti kata Mads Kjoergard, umat Islam juga perlu bertanggungjawab dan siuman di mana mereka perlu berpijak di bumi nyata bahawa mereka kini hidup dalam lingkungan yang baharu.
Pagi itu Mads mendakap aku erat. Serasa debar jantungnya berdetak di jantungku. Mata itu berkaca. Mungkin kerana angin dingin menerpa masuk ke dalam matanya yang cantik. Mungkin dia benar-benar bersedih kerana entah bila lagi kami akan bertemu.
Dia membisik kepadaku, “Jangan kalah, jangan sampai terbunuh...kita mahu merubah dunia.” Mads mengeluarkan satu bungkusan dari tas dan menghulurkan kepadaku.
“Ini apa?”
“Hadiah.” Balasnya ringkas.
Ketika aku terbenam di kerusi dalam gerabak 72 memandang Mads ke luar jendela, ada rasa sayu sekali. Dunia boleh begitu gila di luar. Tetapi kami hanya sepasang sahabat yang benar-benar waras. Seorang Muslim seorang Lutheran; manusia.
Setelah tren melampaui kincir angin agam serta kampung-kampung yang sudah mulai ditimpa salji dalam perjalanan ke Kobenhavn, aku membuka hadiah yang diberikan Mads; sebuah al-Quran dengan terjemahan Danish.
Aku memandang ke luar. Langit keharuan keruh. Ada camar melayah terbang rendah dari baruh. Ada sungai tertahan alir membeku. Ada tangis pecah sayu.
FAISAL TEHRANI atau nama sebenarnya Dr Mohd Faizal Musa pengarang terkenal dan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).