The house I live in sebuah filem dokumentari arahan Eugene Jarecki, menang anugerah Grand Jury Festival Filem Sundance 2012 yang lalu. Filem itu membawa pengkisahan kegagalan moral, ekonomi dan sosial dasar perang terhadap dadah di Amerika Syarikat (AS), yang berlangsung selama lebih 40 tahun.
Ia turut mengkritik dasar dadah AS, sistem kehakiman, penjara dan kesannya kepada golongan minoriti. The house I live in merupakan filem kedua Eugene yang memenangi anugerah yang sama di Festival Sundance itu. Filem pertamanya yang menang di Festival Sundance berjudul “Why we fight?” yang menceritakan tentang industri ketenteraan, terbit pada tahun 2005.
Dalam “The house I live in ” penonton diberitahu, sejak 40 tahun lalu, perang dadah AS telah menghasilkan 45 juta tangkapan, perbelanjaan kerajaan sebanyak lebih 1 juta trilion AS dolar serta peranan AS sebagai pemenjara paling besar di dunia. Namun hasil perang dadah tersebut tidak membuahkan sebarang hasil sepertimana yang diharapkan - dadah larangan semakin murah harga, semakin asli kandungan dan semakin lebih mudah dibeli.
Filem ini juga merakamkan kisah-kisah dari lebih 20 buah negeri di AS, kisah tokan, kisah ibu kehilangan anaknya akibat masalah dadah, pegawai polis narkotik, hakim mahkamah persekutuan. Rumusannya, perang dadah mengakibatkan pelanggaran hak asasi manusia yang banyak. Perang dadah AS membantu penubuhan industri swasta penjara yang paling besar di dunia, bertanggungjawab memenjara kira-kira 2.3 juta manusia, dengan kesan langsung terhadap masyarakat kulit hitam AS.
Filem itu bermula dengan gangguan yang timbul akibat tragedi yang menimpa pembantu rumah keluarga Jarecki bernama Nannie Jeter. Anak lelaki Nannie berdepan dengan masalah ketagihan dadah. Di sinilah titik mula pencarian Jarecki mempertanyakan keberkesanan dasar perang terhadap dadah AS. Bagi Jarecki masalah Nannie Jeter bukan ketagihan dadah tetapi perang dadah.
Oleh yang demikian, saya mencadangkan para pembaca untuk menonton filem ini. Ini kerana tulisan saya tidak bertujuan membuat ulasan filem, tetapi ulasan kandungan yang dibawa oleh filem tersebut – perang dadah dan perlunya pendekatan berbeza untuk menangani masalah ketagihan dadah, khususnya di Malaysia.
Saduran dasar Nixon
Saya tidak menafikan, perbezaan konteks, keadaan dan syarat-syarat sosial budaya masyarakat, politik ekonomi antara AS dan Malaysia. Tetapi ia tidak bermakna, kita tidak ada persamaannya sama sekali. Buktinya hari ini di Malaysia, masalah penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah masih tetap ada, meskipun setelah lebih 30 tahun peperangan terhadap dadah.
Dasar perang dadah di Malaysia, bermula sewaktu zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, awal 1980an dahulu. Ia merupakan polisi saduran yang dicedok daripada Presiden Richard Nixon, yang menang besar pilihan raya presiden kali kedua, dengan membawa dasar perang dadah sebagai agenda utama kempennya pada tahun 1971. Perang dadah AS itu digembar-gemburkan, sewaktu AS mengalami kekalahan teruk di Vietnam.
Berbalik kepada perang dadah di Malaysia, pada bulan Jun 2013, berlaku sesuatu yang memeranjatkan saya. Ia berkaitan suatu kenyataan yang dikeluarkan menteri Malaysia pada sebuah persidangan High Level Meeting on Drug Policy and Public Health yang ditaja Global Commission on Drug Policy (GCODP). Sidang yang dianjurkan bersempena Persidangan Aids Antarabangsa 2013 itu berlangsung di Kuala Lumpur. GCODP merupakan suruhanjaya antarabangsa, para anggotanya terdiri daripada negarawan dunia, seperti bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Kofi Anan dan bekas Presiden Mexico Ernesto Zidello.
Pada sidang tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Syukri menyebut Malaysia sedang bergerak ke arah tidak menjenayahkan ( decriminalization ) pengguna dadah. Maksudnya menggunakan dadah bukanlah menjadi suatu masalah jenayah tetapi masalah kesihatan.
“Pengguna dadah tidak patut lagi dilihat sebagai penjenayah tetapi sebagai pesakit,” begitulah yang disebut Nancy.
Sememangnya, Malaysia telah pun melaksanakan polisi pengurangan kemudaratan ( harm reduction ) bagi masalah ketagihan dadah ini sejak tahun 2006 lagi, menerusi program pemberian dan pertukaran jarum bersih percuma kepada para pengguna dadah heroin. Ia memberi kesan langsung penurunan kadar jangkitan HIV/ AIDS melalui perkongsian jarum di Malaysia.
Sementara itu, pada sidang yang sama juga, dilaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Narkotik PDRM, Jamaludin Kudin berkata:
“Statistik Malaysia menunjukkan keutamaan kita sebanyak 70 peratus untuk pengguna dadah dan 30 peratus lagi kepada pengedar dadah. Kita sedang mengubah hal ini sekarang.”
Dasar berubah ikut menteri
Menurut International Harm Reduction Association (IHRA) , “dasar pengurangan kemudaratan merujuk kepada polisi, program dan pendekatan dengan tujuan utamanya untuk mengurangkan kemudaratan kesihatan, sosial serta ekonomi dalam penggunaan dadah psikoaktif yang dibenarkan dari sisi undang-undang atau yang haram tanpa mewajibkan pengurangan pengambilan dadah. Strategi pengurangan kemudaratan memberi manfaat kepada pengguna dadah, ahli keluarga mereka serta komuniti sekelilingnya.”
IHRA merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang paling terkehadapan yang bekerja dalam menggalakkan sokongan terhadap pengurangan kemudaratan ini, dengan anggota lebih 8,000 NGO di seluruh dunia.
IHRA berpendirian pengurangan kemudaratan bertindak sebagai pelengkap kepada strategi-strategi lain yang menjurus kepada pencegahan atau pengurangan penggunaan dadah. Strategi pengurangan kemudaratan adalah berasaskan kepada pengiktirafan bahawa di seluruh dunia, ramai orang tetap menggunakan dadah psikoaktif walaupun telah diambil tindakan berat dalam usaha mencegah serta menghentikan penggunaan dadah.
Masalah di Malaysia, kita sering bertukar-tukar polisi yang dibentuk. Bertukar pengarah atau menteri, maka bertukarlah sesuatu polisi. Ia memerlukan penggubalan mekanisme perundangan, perdebatan dan perbahasan para pembuat undang-undang di parlimen.
Berkenaan perkara ini, saya menemubual Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd Yunus Pathi. Ia akan saya sambung pada tulisan saya yang akan datang.
Memetik kata-kata Yunus, “Kami di Pengasih, kita percaya bahawa manusia ini harus diberikan pilihan. Kalau engkau guna dadah, engkau tidak mudarat orang lain, itu lantak engkaulah!”
RAHMAT HARON seniman outsider .