Kalau kita hanya ada pendapatan 100 ringgit sebulan maka secara logik kita akan berbelanja 70 atau 80 ringgit. Kalau boros sekali pun kita berbelanja 90 hingga ke 99 ringgit sebulan. Masih ada niat menyimpan sekurang-kurang seringgit untuk masa depan.
Dalam rumah tangga jika anak isteri kurang makanan, kurang pakaian atau kurang dana perubatan dari segi lojiknya sang ayah akan cuba sedaya upaya menyelesaikan agenda rumah tangga dahulu. Bukan pergi ke hulu ke hilir membantu jiran tetangga. Ini logik manusia seantero alam.
Logik manusia bermakna perkara yang kita lakukan itu masuk akal. Perbuatan atau hujah yang diberikan masuk akal dan di yakini. Ini berlainan dari logik mat pet. Mat pet, mat dian, mat candu atau sang pemadat mempunyai logik yang tidak masuk akal. Logik mat pet tidak dapat kita terima pakai kerana kita manusia rasional yang memiliki fikrah.
Mat pet lagi berdengung lagi di cucuk badan dengan dadah. Lagi kurang sedar lagi ditelan pil atau disedut asap candu. Akhirnya badan tidak sanggup lagi menerima. Darah dalam badan sang pemadat enggan bergerak akhirnya mat pet ini mati tegak dalam khayalan.
Sabar. Logik mat pet ini adalah juga logik empayar. Logik ini telah diguna pakai oleh Kublai Khan dari Mongolia ketika menjajah separuh dunia ini. Logik Mat Pet ini juga di gunakan oleh empayar Sepanyol, empayar Belanda dan empayar British. Kesemua sejarah empayar ini berakhir dengan empayar mati tegak.
Kalau mat pet giankan dadah untuk berkhayal. Empayar ada juga dadahnya. Empayar giankan dadah yang lebih spesial. Dadah untuk empayar ialah kuasa. Kuasa untuk berkhayal dan berkhayal untuk berkuasa. Berkhayal untuk berkuasa mendominasi dunia ini adalah dadah kepada semua empayar dari dulu hingga ke empayar Amerika hari ini.
Amerika Syarikat memiliki sejarah antifeudal dan antikolonial. Warga imigran dari eropah memanggil diri mereka American. Mereka bangun angkat senjata, 200 tahun dahulu melawan kuasa kolonial Baginda Queen. Awalnya orang kulit putih ini menjarah tanah Orang Asal. Kemudian ekonomi Amerika berkembang dengan kemasukan hamba abdi yang tangkap dari Afrika.
Siapa tak kenal Mek Donal?
Dari sini bermulalah sejarah perkembangan empayar Amerika. Mexico mula dijajah pada tahun 1846. Kemudian menjalar ke benua Amerika Latin menggantikan kuasa Sepanyol, ke Amerika Utara menggantikan kuasa Baginda Queen, kemudian ke Eropah, kemudian menjarah ke Afrika dan ke Asia sesudah kejatuhan Hitler, contohnya sesudah Perang Dunia Kedua.
Dari 1776 hingga ke 2013, empayar Amerika telah menakluk dunia. Tidak ada siapa dalam dunia ini yang tidak kenal Mek Donal. Tidak ada siapa yang tidak tahu apa itu apa itu Hollywood. Siapa yang menduduki Rumah Putih dilihat sebagai sosok yang paling berkuasa dalam dunia ini - melebih kuasa Firaun. Melintasi kuasa Shah Reza Pahlavi.
Tapi dunia ini ada hukum alam. Yang naik akan turun. Yang di atas tidak akan selama-lamanya di atas. Ini hukum alam yang tidak ada siapa dapat mengubahnya. Apa yang bermula pasti akan berakhir. Selagi ada penindasan selagi itu akan ada perlawanan. Sekuat mana pun sesebuah empayar itu, ia akan berakhir. Dari zaman kuno kita mendengar empayar Inca, Empire Firaun, empayar Iskandar Zulkarnain atau empayar China, empayar Uthmaniah - semuanya terkubur.
Bilakah agaknya empayar Amerika atau kuasa imperialis Amerika ini akan punah musnah? Persoalan bila tarikhnya bukan mudah untuk dijawab kerana perjalanan tamadun manusia bukan seperti pertunjukan wayang ada tarikh dan waktu. Empayar bukan sesuatu yang dapat dipegang. Justeru apa yang dapat kita baca hanyalah tanda-tanda bahawa kuasa imperialis Amerika ini sedang menjunam jatuh.
Logik empayar ialah logik mat pet. Hari ini sistem kapitalis ekonomi Amerika sedang dalam keadaan nazak. Dolar Amerika nilainya semakin susut. Keyakinan dunia semakin merosot terhadap nilai dolar. Lihat dan perhatikan apa yang dilakukan oleh mat pet AKA empayar Amerika ini?
Ketika duit tidak cukup, ketika ekonomi kelam kabut, ketika inilah Amerika membuka medan perang di Afghanistan, di Iraq, di Syria dan di Libya.
Data 2013 dari Dewan Kongres Amerika menyatakan 43 juta warga Amerikaditakrif hidup bawah tahap kemiskinan. Jumlah 43 juta ini adalah warga Amerika yang menerima bantuan food stamp atau bahan makanan dari kerajaan untuk hidup. Dalam keadaan ini mat pet ingin ke hulu ke hilir menyebarkan ‘demokrasi'. Bunyinya lawak tetapi inilah logik mat pet.
Syria langkah garis merah
Bulan September 2013 telah berlalu. Pasti ramai yang tidak ambil pot tentang apa yang telah berlaku dalam bulan itu. Sebenarnya ada dua perkara yang amat penting telah berlaku. Kedua-dua perkara ini adalah tanda bahawa kuasa imperial Amerika sedang menuju keruntuhan.
Babak pertama mengambil tempat di Damsyik. Tim PBB sedang menyelidik letupan bom kimia dalam pentas perang Syria. Tiba-tiba di wilayah di mana tim PBB sedang menjalankan siasatan satu lagi bom kimia dikatakan meledak. Dunia menjadi heboh.
Kuasa imperialis Amerika berulang kali berkata: Senjata kimia adalah garis merah yang tidak boleh dilintasi. Jika dilintasi maka Syria akan diserang. Justeru pada minggu ledakan itu berlaku dunia menjadi tegang. Kuasa imperialis Amerika akan menyerang Syria, hanya menunggu arahan dari Obama.
Laporan dan penyelidikan dari Rusia dan NGO antarabangsa membuktikan bahawa ledakan bom kimia ini dilakukan oleh gerila-gerila upahan Saudi. Gerila upahan Saudi datang dari pelbagai negara. Mereka sedang berkeliaran melakukan keganasan atas nama Islam. Untuk gerila upahan ini ledakan bom kimia ini diharapkan akan menjemput Amerika dan kuasa bala tentera NATO untuk menyerang Syria, sama seperti yang telah dilakukan di Libya.
Seperti biasa juru heboh kuasa imperial dari Obama ke Hillary ke John Kerry memberi amaran keras. Syria akan diserang kerana garis merah telah dilintasi. Bukti siapakah sebenarnya yang meledakkan bom kimia ini tidak penting. Dalam falsafah mat pet salah benar tidak mustahak.
Armada Amerika mula belayar ke Laut Teduh. Kapal terbang penyerang Amerika mula memanaskan enjin di sana sini. Dunia menunggu bilakah Tomahawk dan Cruise Missile akan meledak di Damsyik. Tup tup semuanya kecut. Semua jadi lembik apabila Rusia memberi kata dua bahawa tindakan Amerika ini salah. Malah Rusia memperbaharui niat untuk menghantar senjata ke Syria.
Tetiba kuasa imperial Amerika tidak lagi gah. Tetiba kuasa empayar ini mengundur dari menyerang Syria. Sah bahawa kuasa imperialis ini hanyalah ‘harimau kertas'. Gagalnya menyerang Syria ini menjadi tanda pertama bahawa kuasa imperialis Amerika tidak lagi memiliki kekuatan.
Budak-budak suruhan Amerika
Tanda kedua juga amat jelas. Tetapi mungkin ramai yang tidak melihat. Pada satu ketika dahulu Amerika Latin dijadikan kawasan belakang rumah oleh kaum pemodal Amerika. Jeneral dan kolonel diturun dan dinaikkan untuk menjadi presiden. Kesemua presiden dan kepala negara Amerika Latin menjadi budak suruhan Amerika.
Tetapi pada bulan September lalu di PBB untuk pertama kali setiap presiden dan ketua negara dari Amerika Latin yang berucap di podium PBB mengutuk Amerika. Kutukan ini berpunca kerana Amerika melakukan risikan melalui teknologi yang telah dibocorlkan oleh Edward Snowden. Alat risikan CIA ini telah ‘dibogelkan' untuk dunia oleh Snowden yang bekerja di Jabatan Pertahan Amerika sendiri. Pemimpin negara Amerika Latin ini berani menunjukkan kemarahan mereka terhadap Rumah Putih. Ini cukup bersejarah. Dalam istilah anak muda, ini rare.
Untuk pertama kalinya dalam sejarah Amerika Latin, Presiden Brazil Dilma Rousseff telah menolak jemputan Barack Obama untuk bertemu di Rumah Putih. Bayangkan Mahathir Muhamad dan Najib Razak sanggup menghabiskan berjuta dolar untuk melobi agar dapat bergambar dalam Rumah Putih. Tetapi presiden wanita pertama Brazil yang juga bekas gerila Marxis ini secara terbuka menolak jemputan Obama. Ini satu tamparan untuk presiden Amerika.
Babak kedua, dalam bulan September lalu bukan sahaja Obama dimalukan oleh seorang bekas gerila malah lidah rasmi media China Xinhua berkata, telah sampai masanya ekonomi dunia ini dibebaskan dari kuasa imperialis Amerika. Perkataan yang digunakan ialah de-Americanized ekonomi dunia. Ini bermakna jual beli dalam dunia TIDAK lagi bersandarkan dolar. Malah dalam tulisan Xinhua ini China mahukan satu tata cara ekonomi dunia yang baru.
Semua ini tanda-tanda bahawa hari-hari akhir untuk kuasa Pax Americana telah sampai. Bala tentera Amerika yang berselirat di seluruh dunia kini hakikatnya sedang menjadi beban yang amat sangat untuk ekonomi Amerika. Perbelanjaan perang di Iraq, Afghanistan dan Libya sedang menjerut leher Uncle Sam.
Obama gagal datang ke Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2013 yang lalu. Ini kerana seluruh pentadbiran kerajaan Amerika ditutup kerana hutang terlalu tinggi. Ini wajib dibaca sebagai satu lagi tanda keruntuhan kuasa imperial. Jika hutang kerajaan berterusan dan pentadbiran ditutup lagi,mustahil 43 juta warga Amerika yang hidup dengan food stamps akan menjadi wira Amerika untuk menjaja ‘demokrasi'.
Kalau mat pet ini makan pun susah mustahil akan bertenaga untuk menyerang dan menundukkan negara Dunia Ketiga yang bebas dan merdeka. Kuasa imperial Amerika akan terus gian untuk berkuasa. Mat Pet ini akan terus - berkhayal untuk terus mendominasi dunia. Tetapi hukum dunia telah berubah. Amerika bukan lagi tidak boleh dilawan. Kuasa imperialis ini hanyalah harimau kertas.