Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Saya, yang menandatangani ini dengan penuh kesedaran adalah ahli Perhimpunan Nasional untuk Rakyat Mesir, dengan ini mengumumkan tidak lagi percaya kepada Presiden Republik, Dr Mohamed Morsi Isa al-Ayyat, dan meminta diadakan pilihan raya presiden secepat mungkin.

"Saya berpegang teguh dengan garis revolusi. Berusaha untuk menjayakan revolusi. Akan menyebarkan garis revolusi kepada orang ramai.

"Ini bertujuan untuk mendirikan sebuah masyarakat yang bermaruah, adil dan merdeka."

Dengan ayat-ayat ini anak-anak muda Mesir memulakan kempen tanda tangan untuk menuntut presiden Morsi letak jawatan. Kempen ini berpayung bawah kumpulan yang memanggil diri mereka Tamarod atau "melawan"atau "berontak".

Minggu lalu saya cuba menerangkan latar tentang apa yang sedang berlaku di Mesir. Masyarakat dunia telah menerima hakikat bahawa telah berlaku rampasan kuasa di Mesir. Kutukan demi kutukan telah diterima.

Presiden Morsi telah dan masih ditahan oleh tentera. Kerajaan sementara ditubuhkan. Perlembagaan baru sedang dibuat. Pilihan raya presiden dijanjikan akan dijalankan secepat mungkin. Tentera berjanji akan berundur.

Ketika saya menulis ini kumpulan penyokong Morsi masih lagi berhimpun di sekitar Masjid Rabiah Al-Asdawiyah. Dalam masa yang sama berpuluh ribu anak muda Tamarod masih juga berhimpun di Dataran Tahrir.

Jumlah warga Mesir yang gugur terus bertambah. Ada yang menjadi mangsa soldadu. Ada yang terbunuh dalam pergaduhan antara penyokong dan penentang Morsi.

Hakikatnya keadaan politik Mesir dan ekonomi Mesir masih belum stabil. Suasana masih cair dan tegang. Bulan puasa ini disambut oleh warga Mesir dengan tidak ketentuan. Ditambah pula dengan melonjaknya harga bahan makanan.

Pada hemat saya, bukan sesuatu yang senang untuk memahami apa yang berlaku di Mesir. Negara ini salah sebuah negara tertua dan penuh dengan sejarah. Mesir - seperti China dan India - salah sebuah negara membawa tamadun dan pencerahan kepada umat manusia.

Mesir selain dari memperkenalkan bir dan alkohol juga memperkenalkan konsep Tuhan dan konsep Yang Maha Esa kepada umat manusia. Ribuan tahun dahulu tamadun ini diperintah oleh Firaun, diperintah oleh Raja, pernah dijajah oleh Rom kuno.

Napoleon pada tahun 1798 datang menakluk Mesir. British, Itali dan Perancis - kuasa imperialis Barat ini - semuanya pernah menjadi tuan kepada Mesir.

Politik Mesir moden bermula dengan Revolusi 1952 apabila soldadu merampas kuasa dari raja. Kumpulan tentera yang memanggil diri mereka Free Officers Movement menghalau Raja Farouk dari bumi Mesir.

Rampasan kuasa tentera ini melahirkan Republik Arab Mesir.

Dekri tak boleh dakwa presiden

Gamal Abdel Nasser menjadi presiden kedua pada tahun 1956. Nasser, sama seperti Presiden Sukarno adalah kaum nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan dan bangun melawan penjajah.

Nasser bekas kolonel antiimperialis yang membawa garis politik progresif ke dalam politik Mesir dan bumi Arab. Justeru kita akan gagal memahami peranan soldadu dan tentera Mesir jika kita hanya berupaya mengambil contoh tentera-tentera dari negara bekas tanah jajahan British.

Contohnya, dari segi sejarah Askar Melayu ditubuhkan oleh British bukan untuk melawan British tetapi untuk menjaga kepentingan British. Askar Melayu bukan melawan British tetapi melawan "orang yang melawan British".

Ini tidak berlaku dalam budaya soldadu dan tentera Mesir. Tentera Mesir bangun 'bertamarod' menentang British.

Tentera Mesir bertamarod menghalau kaum feudal. Apa yang saya maksudkan ialah soldadu Mesir ini memiliki sejarah menyebelahi rakyat.

Mari kita lihat apa yang terjadi sehingga menyebabkan tentera Mesir merampas kuasa. Semuanya bermula apabila anak-anak muda Mesir sedar bahawa revolusi pertama mereka telah dibajak.

Cita-cita untuk mendirikan Mesir yang lebih demokratik gagal. Presiden Morsi dari parti Ikhwan Muslimin gagal menunaikan janji pendemokrasian.

Tuntutan utama anak muda untuk mengenal dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian lebih dari 100 orang dalam revolusi pertama.

Menuntut agar dilakukan dasar ekonomi yang membantu kaum miskin. Mengambil dasar pro-Palestin dan memutus hubungan dengan Israel. Tetapi Morsi tidak ambil 'pot'.

Bagaimanapun, ada satu langkah politik Morsi yang cukup memeranjatkan Mesir. Morsi meluluskan dekri yang mana sang presiden tidak boleh didakwa 'dakwi'.

Ini mengejutkan seluruh rakyat Mesir dan meyakinkan orang ramai bahawa revolusi mereka telah dibajak. Dekri ini ditentang habis-habisan. Tidak dapat tidak Morsi yang menunjukkan sikap antidemokrasi terpaksa memansuhkan dekri ini.

Dekri seperti ini tidak pernah wujud walaupun dalam pemerintahan Mubarak. Semua ini menjana gerakan pendemokrasian untuk menyingkirkan Morsi.

Pada pertengahan bulan April 2013, anak-anak muda memulakan kempen tandatangan menuntut Morsi berundur. Kempen bawah payung Tamarod ini hanya bercadang untuk mendapatkan 15 juta tanda tangan.

Angka 15 juta diambil sebagai menganjing. Ini kerana Morsi mendapat sokongan 13 juta pengundi.

Justeru Tamarod mahu dilihat mendapat dua juta sokongan yang lebih banyak dari apa yang Morsi dapat dalam pilihan raya presiden.

22 juta tandatangan tolak Morsi

Presiden Morsi pada awalnya memperlekehkan kempen ini. Sama seperti yang sering berlaku dalam politik Malaysia, Subhi Saleh, seorang pemimpin Ikhwan Muslimin menyifatkan kempen Tamarod sebagai ‘gerakan cemburu' .

Tidak cukup dengan agenda ‘cemburu', Ahamad al-Mughayyir ketua Pemuda Ikhwan mencadangkan agar anak muda di belakang Tamarod dilucutkan kerakyatan.

Presiden Morsi akhirnya mengarahkan polis menahan pemimpin pelajar dan anak muda yang melancarkan kempen Tamarod. Penangkapan berlaku.

Sepuluh orang pelajar dari Universiti Kaherah dan empat dari Universiti Sohag ditahan. Mereka ditahan menggunakan undang-undang yang sering digunakan Mubarak untuk menggodam anak muda dan mahasiswa.

Ini sama seperti yang berlaku di Kedah - bekas negeri Pakatan Rakyat - pada tahun 2011 yang lalu. Menteri besar ketika itu, Azizan Razak mahu menggunakan AUKU - yang ditentang Pakatan - untuk membuang lima anak mahasiswa dari pelajar Kolej Universiti Insaniah Kedah.

Tanpa disangka-sangka, kempen tandatangan Tamarod ini melimpah ruah ke seluruh Mesir. Dari bandar ke pekan, dari pekan ke kampung.

Akhirnya 22 juta tanda tangan dikumpulkan. Dengan ini Tamarod merasa bahawa masanya telah sampai untuk presiden Morsi mengundur.

Pada 30 Jun 2012 yang lalu, warga Mesir sekali lagi turun ke jalan raya. Sama ada 10 atau 15 atau 30 juta warga Mesir turun ke jalan raya menuntut Morsi mengundur akan terus menjadi tajuk bualan dan terus dibincangkan.

Untuk saya ini tidak penting. Apa yang penting, Tamarod - gerakan anak muda - mengambil garis politik yang tepat. Tamarod mengambil wadah jalan raya untuk membuka ruang demokrasi.

Presiden Morsi diberi tarikh berundur. Dalam ucapan terakhirnya sebagai presiden, Morsi berkata hampir 30 kali tentang haknya sebagai presiden.

Sayangnya tidak sekali pun presiden Morsi menyentuh tentang keadaan ekonomi rakyat atau menyentuh tentang tuntutan jutaan anak muda yang sedang berkumpul di Dataran Tahrir.

Justeru, tiga hari kemudian tentera masuk untuk mengambil alih kuasa.

Dari sini timbul persoalan apakah peranan tentera itu demokratik atau antidemokratik. Dalam bab ini perbincangan masih diteruskan. General Abdel-Fattah el-Siss berkata tentera Mesir mencelah masuk untuk memastikan daulah Mesir tidak runtuh.

Kita wajib sedar, walaupun tentera Mesir memiliki sejarah prorakyat, lembaga ini juga berjaya dirasuah oleh Hosni Mubarak selama 30 tahun.

Tentera Mesir kini menjadi elit politik dan elit ekonomi di negara itu. Pembaca mungkin susah untuk melihat jelas tentang peranan tentera Mesir ini.

Ini kerana di Malaysia, peranan soldadu kita hanya satu - mempertahankan negara dari serangan musuh luar.

Tentera Malaysia belum pernah menjadi kuasa penentu arah politik tanah air dan belum pernah berperang.

Saudi pertama iktiraf rampasan kuasa

Tentera Mesir lain coraknya. Dalam konteks politik Timur Tengah, Mesir adalah negara Arab terbesar dengan 84 juta penduduk. Tentera Mesir terulung di bumi Arab.

Tentera Mesir pernah berjaya memerangi Israel pada Oktober 1973 untuk mendapatkan kembali Semenanjung Sinai.

Hanya Perjanian Camp David 1978 yang membatalkan permushan antara Mesir dengan Israel.

Tentera Mesir wajib dimandulkan. Amerika melihat tentera Mesir sebagai bala tentera yang berpontensi melawan Israel. Justeru tentera Mesir telah, sedang dan akan terus dipersenjatai dan diberi dana oleh Amerika.

Bukan bertujuan untuk menyerang Isreal. Mereka diberi dana agar tentera Mesir sentiasa tunduk setia untuk menjadi budak suruhan kepada kuasa imperial Anglo-Amerika.

Kuasa imperialis Anglo-Amerika tahu bagaimana pada satu ketika dahulu bawah Presiden Nasser, bukan sahaja Mesir menjadi progresif malah politik Mesir yang antifeudal mempengaruhi Syria untuk bersatu dengannya pada tahun 1958.

Pengaruh Mesir di Iraq membawa kepada rampasan kuasa pada tahun 1958 dan dihapuskan kuasa raja. Di Libya, Kolonel Gadaffy merampas kuasa pada tahun 1969 dan menghalau Raja Idris - sama seperti yang telah dilakukan Gamal Abdel Nasser pada tahun 1952.

Fahaman nasionalis antifeudal dari tentera Mesir jelas mengancam kepentingan kuasa politik dan ekonomi ekonomi Anglo-Amerika.

Sistem ekonomi kapitalis yang berpaksikan bahan bakar petroleum akan runtuh jika telaga minyak ini dimiliki dan dikawal oleh kaum nasionalis progresif.

Jangan hairan apabila Presiden Obama terus memberi sokongan senjata dan lambakan dana kepada tentera Mesir.

Harus dihitamputihkan di sini bahawa bahawa negara pertama yang mengiktiraf rampasan kuasa di Mesir datang dari Arab Saudi.

Ini diikuti dengan berbilion dolar yang dijanjikan oleh Saudi, Kuwait dan Qatar kepada rejim baru di Kaherah. Apa makna semua ini? 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS