Rakyat Malaysia yang budiman bakal dianugerahkan hadiah paling besar daripada kerajaan Umno-BN yang merajai kita hari ini. Ia lebih besar daripada bencana barang naik; kamera AES, cukai GST, harga minyak, gula, jalan tol dan lain-lain.
Namanya Trans Pacific Partnership Agreement (TPP). Baru-baru ini di Lima, Peru pada 15-24 Mei yang lalu, telah berlangsung rundingan TPP pusingan yang ke 17.
TPP dijangka dapat diselesaikan menjelang sidang APEC di Indonesia, Oktober 2013 ini.
Inilah perjanjian paling rahsia pada abad ke 21.
Rundingan bermula 2010 melibatkan Amerika Syarikat dan sembilan buah negara rantau pasifik iaitu, Canada, Chile, Peru, Mexico, Australia, New Zealand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Malaysia. Jepun baru-baru ini ikut serta dalam rundingan, manakala kelibat China tidak kelihatan.
Ia bertujuan mewujudkan blok ekonomi yang akan menyeimbangkan kekuatan ekonomi, dan nantinya kedudukan strategik geo politik China di Asia Timur.
TPP membolehkan 600 buah syarikat gergasi dunia (Multi National Corporations-MNCs) menilai atau memantau rundingan perjanjian ini dengan hanya satu klik - dan mendapat aksesnya dalam talian internet. Para pelobi MNCs ini, boleh mendapatkan akses terhadap dokumen, membuat ulasan serta mempengaruhi isi perjanjiannya.
Manakala wakil-wakil Kongres AS pula tidak punya akses terhadap isi perjanjian ini. Waima Senator Ron Wyden sendiri yang menjawat Pengerusi Senate Subcommittee on Trade.
Senator Ron Wyden dan para senator lainnya telah menuntut ketelusan dalam proses rundingan perjanjian. Pada Jun 2012, seramai 132 orang perwakilan Kongres AS (1/3 jumlah ahli Kongres) telah menulis, menandatangani dan mengedarkan surat bantahan menuntut ketelusan dalam proses rundingan. Mereka mencatat dalam surat itu:
"Jika Kongres dan orang awam tidak dimaklumkan mengenai terma-terma syarat sebenar perjanjian itu sehingga berakhirnya proses tersebut, maka ia bermakna, apa-apa peluang untuk memberi masukan input telah hilang. Suatu perjanjian perdagangan yang tidak boleh berdiri untuk penelitian awam tidak boleh dirundingkan atas nama warganegara Amerika Syarikat. "
Salah satu kemenangan tenaga bantahan terhadap pensejagatan kuasa korporat-MNCs adalah kekalahan Free Trade Area of The Americas (FTAA). Selepas lulusnya Perjanjian Wilayah Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) pada 1995, FTAA seharusnya diperluas ke seluruh wilayah Barat.
Bantahan meluas
Namun demikian, cadangan perjanjian tersebut secara telus telah didedahkan kepada umum. Bantahan meluas disusun dan rundingan dibatalkan sebelum tarikh tamat pada 2005. Salah satu sebab tewasnya rundingan FTAA tersebut kerana teks dokumen perjanjian dibenar untuk didedahkan ke pengetahuan umum.
Itu di AS yang punya demokrasi, hak asasi manusia, pilihanraya adil, media bebas dan Akta Kebebasan Maklumat. Di Malaysia, apatah lagi dengan Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan lain-lain lagi perundangan tidak demokratik, TPP terus lenyap daripada wacana umum.
Peliknya, cerita bodoh Red Bean Army yang menjadi kepala berita akhbar arus perdana, bukannya TPP.
Kalau ia dibincangkan, ia dibicarakan secara sempit, di ruangan pinggiran tanpa rujukan luas, kritikal dan ilmiah. Konon, TPP hanya melibatkan kepentingan ekonomi orang Melayu. Begitulah ceteknya hujah yang diberikan. Masih menusuk jarum perkauman.
Tidak pasti hujah ini untuk menarik lebih ramai orang lagi bagi membantah TPP. Ataupun ianya sekadar melepaskan batuk di tangga agar agenda membodohkan orang Melayu terus bergerak lancar. Seterusnya menenggelamkan isu TPP ini.
Sebenarnya, seluruh rakyat Malaysia yang akan mendapat bala bahana TPP, antaranya:
- Menghakis hak-hak pekerja di seluruh dunia (pekerja Malaysia akan ditambah aniaya lagi)
- Menukar atau membuang peraturan-peraturan institusi kewangan negara, termasuk di Wall Street (apatah lagi Malaysia dengan pecah amanah dan rasuahnya)
- Mengutamakan keuntungan korporat keparat MNC daripada hak rakyat (Malaysia telah lama dirundung sistem kapitalis monopoli oleh segelintir kroni Umno-BN, akan ditambah lagi)
- Menghapuskan pekebun, peladang, penternak, petani dan nelayan kecil, memaksa perpindahan dan memusatkan bekalan makanan dunia ke tangan 1% penguasa kekayaan dunia
- Membataskan kebebasan dan daya cipta inovasi terhadap Internet.
Kempen melawan TPP
NGO Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) telahpun berkempen melawan TPP ini atas sebab ia menyekat penggunaan ubatan generik yang lebih murah. Ia akan mengakibatkan rawatan penyakit kronik seperti tuberculosis, malaria, HIV/AIDS, sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain lagi menjadi sangat mahal.
Pada rundingan ke 15 di Auckland, New Zealand, Disember tahun lalu, pihak perunding Malaysia yang diwakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengesyorkan untuk menyekat jumlah maklumat berkenaan isi kandungan dan formula makanan yang diproses.
Walhal undang-undang hak kepenggunaan hampir di negara-negara maju memerlukan syarikat-syarikat pengeluar makanan memberikan maklumat tepat formula dan bahan-bahan kandungan produk makanan keluaran mereka.
Pastilah cadangan ‘bernas' Malaysia ini disokong kuat oleh AS. Ataupun barangkali Malaysia telah menjadi sarana MNCs untuk menyuarakan kepentingan mereka. Kita tertanya-tanya, pada waktu itu antara peneraju MITI ialah anak Dr. Mahathir sendiri.
Masalahnya TPP dirundingkan kerajaan Malaysia tanpa ketelusan, dengan kebanyakan syarat-syarat perjanjian dipaksakan tanpa pembuatan keputusan yang demokratik.
Bagaimana kerajaan yang hanya mendapat mandat 46 % undi popular ini, berhak untuk merundingi dan menandatangani perjanjian yang akan memberi kesan buruk untuk seluruh penghidupan di tanah air ini - alam, manusia dan segala harta milikan awam yang masih tersisa?
Jikalau kita membaca dongengan atau kisah mitos Melayu kuno, seperti kisah Sultan Mahmud dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu berkenaan kejatuhan Melaka, atau kisah Raja Bersiong dan kerajaan Langkasuka, kita akan mendapati kemusnahan empayar-empayar Melayu kuno (Hindu-Budha dan Islam) ini berpunca daripada serangan dan penguasaan asing.
Melaka jatuh akibat serangan Portugis pada 1511. Manakala Langkasuka dan Srivijaya di rantau Nusantara melemah akibat serangan Raja Rajendra Chola (negara moden Tamil dan Lanka) pada 1025.
Tetapi kita tidak boleh menolak hakikatnya dengki khianat, tamak haloba, kezaliman, rasuah dan pecah amanah di kalangan pemerintah tempatan menjadi punca utama faktor dalaman yang merobohkan tembok pertahanan daripada ancaman luar.
Inilah akibatnya, serakah dasar penswastaan serta rakus pemerintahan zalim, rasuah, pecah amanah pentadbiran Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun (dirujuk sebagai Mahathirisme). Inilah kesannya hegemoni United Malays National Organization selama lebih 55 tahun.
Bagi penyokong tegar Umno-BN, pada hari ini dan mendatang, sehingga termeterainya Perjanjian TPP ini, teruskanlah sokongan anda kepada Umno-BN. Nanti rasailah nikmat kehancuran dan kehilangan itu.
Bagi mereka yang telah lama hancur penghidupan dan harapannya, kehilangan telah sebati menjadi zat yang menyihatkan - itulah hikmat kekosongan!
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .