Nampak kebelakangan ini, perbezaan politik bukan lagi membawa kepada pertarungan minda dan tawaran khidmat pengurusan pentadbiran yang lebih baik, tetapi pertarungan siasah di negara ini telah menyuburkan akhlak yang buruk dan kehilangan adab sopan.
Ada yang kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula yang baling kasut ke dalam masjid, tarian punggung dan pelbagai lagi.
Para pemimpin politik kita ini mungkin terlalu sibuk berkempen sehingga lupa untuk mengajar adab sopan sebagai insan kepada para pengikut mereka.
Disiplin
Kehidupan ini bukan segala-galanya politik untuk kita menggadaikan segala adab dan kesopanan hanya kerana politik.
Insan itu walau apapun kelemahan peribadinya, tetapi dia sepatutnya memiliki ketertiban dan kesopanan pergaulan yang diwarisi sama ada dari agama ataupun budaya.
Bahkan dalam Islam, dalam medan perang yang saling bunuh membunuh itu pun, adab dan akhlak yang baik dipertahankan. Disiplin mesti dipatuhi.
Dalam hadis apabila Rasulullah SAW mengirimkan pasukan tentera maka baginda bersabda:
"Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kufur dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat". (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: "Sanad hadith ini hasan.")
Nilai pejuang rakyat itu apabila dia dapat mendisiplinkan dirinya dan menghiasi diri dengan budi dan sopan yang menyebabkan rakyat menjadikan ikutan.
Justeru, kawalan diri sekalipun di hadapan musuh yang hendak membunuh antara nilai peradaban yang diajar oleh Islam.
Lihatlah apa yang Allah tegaskan kepada orang Islam yang berperang dengan musuh-musuh yang menyerang dan ingin membunuh mereka.
Maksudnya: "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas." (Surah al-Baqarah ayat 190).
Apakah politik ini lebih buruk dari medan perang darah sehingga kita hendak berlebih-lebih dalam perangai dan budi. Kita jangan lupa apa yang Nabi SAW bersabda:
"Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Orang politik lupa, pengikut yang ‘kurang ajar' dan tidak beradab itu hari ini mereka biadap dengan musuh politik mereka, esok kebiadapan itu akan dihalakan pula kepada orang yang disokong pada hari ini.
Dalil agama ikut kehendak parti
Paling masalah apabila setiap pihak cuba bertindak membalas keburukan dengan keburukan.
Jika kita berikan nasihat "mengapa awak londeh seluar kepada gambar pemimpin tertentu" maka akan ada yang menjawab "mereka lagi teruk, ada macam-macam lagi yang mereka pun buat".
Demikianlah puak-puak politik itu saling menghalalkan tindakan masing-masing atas nama keburukan lawan mereka.
Apa yang pelik dalam masa yang sama masing-masing mendakwa mereka lebih baik dari lawan mereka.
Malangnya, apabila tiba masalah budi perangai, masing-masing memakai piawai yang setaraf dengan pihak lawan ataupun lebih teruk.
Itu belum lagi datang "geng agama" parti masing-masing yang akan mengeluarkan dalil untuk menghalalkan perangai buruk anggota dan penyokong masing-masing.
Dalil agama dibaca bukan mengikuti kehendak Tuhan, tetapi kehendak parti!
Ustaz muda
Apatah lagi jika ada pula ulama atau ustaz muda mana-mana parti yang baru kenal politik sehari dua, dan mungkin ghairah hendak menjadi calon maka segala dalil dibawa, segala sirah Salafussoleh dibaca seakan-akan yang dipertahankan itu Abu Bakar al-Siddiq dan Umar al-Khattab.
Dalil-dalil agama dipermainkan untuk kepentingan politik masing-masing. Apa yang terkena pada orang lain dibaca secara terang, yang terkena diri sendiri ditakwil dengan sejuta penafsiran.
Jika parti lawan berkumpul untuk bantahan maka mereka namakan tunjuk perasaan dan dihukum haram. Kononnya, bukan amalan salafussoleh.
Jika geng parti sendiri berkumpul dinamakan menyuarakan pendirian, hukumnya halal. Dimasukkan dalam amar makruf dan nahi mungkar.
Maka perhimpunan di Kuala Lumpur oleh parti lawan sibuk diharamkan dengan segala fatwa, tetapi di Jeli dan Gua Musang oleh parti sendiri didiamkan.
Jika pemimpin kerajaan parti lain yang buat silap, ditegur dalam media dan ditulis surat terbuka.
Namun jika pemimpin kerajaan parti sendiri buat salah, difatwakan haram bercakap kesalahan pemimpin di khalayak ramai, kena berbisik di telinga mereka.
Dalil-dalil agama dan nama salafussoleh dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama'.
Maka tidak pelik jika Allah menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing. Firman Allah:
"Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat.
"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (Surah al-A'raaf: 175-176)
Fatwa artis
Di celahan itu yang menarik hari ini artis-artis yang baru masuk politik sehari dua pun seakan sudah menjadi ‘sarjana Islam'. Mula mengeluarkan hukum ke atas orang lain. Sambutannya hebat.
Modalnya bukan ilmu, tapi ‘wajah dan penampilan' yang memikat penganjur. Jika ‘ustaz' dibayar seratus dua, tetapi artis yang bercakap Islam dibayar beberapa ribu ringgit satu ceramah.
Namun jika artis lelaki, ataupun artis wanita yang ‘kurang comel', tidaklah seberapa sambutan dan bayarannya.
Kita hendaklah tahu seperti yang disebut oleh para sarjana Islam, bab politik islami bukan mudah untuk dihuraikan. Politik memerlukan kefahaman tentang maslahah dan maqasid syarak.
Suatu ilmu yang memerlukan banyak latar pengetahuan yang baik. Namun, jika artis masuk parti politik, segala kesarjanaan itu seakan diberikan kepadanya. Ini memang tanda-tanda akhir zaman.
"Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal -dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu 'al-Ruwaibidoh'.
Para sahabat bertanya: "Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW: "Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)."
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya'la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.
Bukan salah artis berceramah dan berkongsi pengalaman. Mereka yang berubah memang dialu-alukan. Namun setiap orang kena tahu kadar pengetahuannya mengenai apa yang dia perkatakan. Jangan cepat simpulkan hukum sedangkan anda bukan ahlinya.
Apa pun, politik kita memang ajaib. ‘Macam-macam ada' dan semua boleh. Dulu ada orang cakap, asal barang jadi duit, kita ambil. Hari ini, asal barang jadi politik, kita angkut!
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .