" Di kala semua kerajaan yang menentukan untung nasib rakyat; di depan semua negara ini, hampir semuanya memerintah dengan kuku besi muncullah satu ruang yang hanya wujud dalam minda kita hormatinya dengan nama Republik, kerana ia mempunyai semangat kebebasan, dan kerana intinya kedaulatan [diri]. Inilah ruang bakat dan ruang pemikiran ."
Menjelang 1780, di Eropah, orang faham apa erti kebebasan berfikir dan berkarya walau kerajaan-kerajaan masih lagi dikongkong penuh oleh raja (dan gereja) kecuali England dan Belanda. Ramai yang faham apa erti kebebasan ini dalam usaha menentang kebobrokan politik, kongkongan agama dan ketakadilan sistem bermasyarakat dalam 'era kemutlakan kerajaan'.
Kata editor tinjauan sastera Histoire de la Republique des Lettres en France , termasuk kutipan di perenggan pertama, anggota-anggota 'republik surat' membentuk kelompok terpelajar berdasarkan meritnya sendiri, dan "mendapat reputasi tinggi seperti memerintah [negara] kuasa besar di muka bumi ini." Penulis zaman itu, Zaman Pencerahan, selalunya disebut 'man of letters' dan golongan inilah yang disebut 'republic of letters'.
Penulis, ahli falsafah, saintis, seniman, aktivis politik dan pemikir melalui karya masing-masing dalam bentuk novel, buku dan akhbar juga debat umum di kedai kopi dan salon (rumah terbuka di kalangan jemputan khas) mempengaruhi masyarakat dan kerajaan.
Menurut Dorinda Outram, orang ramai waktu itu faham bahawa (a) penulis sebagai pembentuk fikiran masyarakat dan pengaruh golongan ini ('republik surat') seakan-akan kerajaan juga; wujud kesamarataan di kalangan anggota 'republik' ini; mereka menganut nilai kosmopolitanisme; ilmu dan ahli fikir tidak mengenal batas-batas perbezaan politik.
Bukan sahaja tokoh-tokoh pemikir besar, yang dikaji pemikiran mereka hingga saat ini, tetapi juga penulis-penulis kecil kini sudah dilupakan sama sekali memainkan peranan yang penting. Mereka, digelar 'Grub Street', menyebarkan 'sastera bawah tanah' dalam format buku murah dan samizat tentang skandal politik, pornografi, rencana akhbar, ulasan buku, cerita kanak-kanak, novel cinta, skrip teater, libreto opera (muzik), sains pop dan buku kembara.