Gelombang Biru layak untuk nama bagi sebuah kugiran. Bunyinya penuh "glamour" dan sensasi. Namun "Gelombang Biru" yang digembargemburkan sekarang bukannya sebuah kugiran atau trio penyanyi veteran, tetapi satu gelombang politik yang kononnya sedang melanda Terengganu.
Angin perubahan khabarnya sedang melanda negeri yang menjadi tempat penyu bercanda itu. Heboh dicanangkan rakyat Terengganu kini mahukan perubahan tampuk pemerintahan. Dilaporkan juga mereka sudah bosan dan serik dengan karenah kerajaan PAS yang gagal membawa pembangunan.
Turut digembar-gemburkan ialah kononnya orang Terengganu merasa tertipu oleh janji-janji manis yang ditabur oleh PAS sewaktu pilihanraya umum tahun 1999 dahulu.
Media massa arus perdana melaporkan rakyat Terengganu rindukan Barisan Nasional (BN) dan tidak sabar-sabar lagi menunggu tibanya pilihanraya umum 2004 untuk mengubah kerajaan yang ada.
Telah dua kali acara besar "Gelombang Biru" diadakan di negeri ini. Beberapa bulan lalu, gelombang ini melanda bandar Kemaman dan pada 17 Julai lalu ia membanjiri Hulu Terengganu.
Angin perubahan
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap di majlis itu dengan yakinnya menyatakan Terengganu akan jatuh semula ke tangan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Menurutnya, rakyat Terengganu sudah insaf dan serik kerana melakukan kesilapan dalam pilihanraya umum yang lalu. Menurutnya angin perubahan atau "Gelombang Biru" ini cukup kuat dan tidak mungkin ditangkis lagi oleh PAS.
Datuk Seri Abdullah juga dengan lantang menegaskan pemimpin yang hanya pandai bercakap mengenai agama tetapi tidak mampu melakukan pembangunan ummah, tidak layak untuk memimpin.
Berdasarkan kata-kata dan keyakinan Datuk Seri Abdullah itu menunjukkan seolah-olah hayat kerajaan PAS Terengganu sudah boleh dihitung. Menteri Besar, Datuk Seri Haji Hadi Awang dan barisan exconya sepatutnya sudah berkemas untuk kembali menduduki kerusi pembangkang selepas 2004 kelak.
Namun adakah ini senario sebenarnya di negeri penyu menangis itu? Benarkah ada " Gelombang Biru" yang maha kuat seperti yang digembar-gemburkan atau sekadar retorik dan perang psikologi? Atau pun ia sekadar riak-riak kecil atau setakat ombak-ombak yang memukul mesra pinggiran pantai?
Riak biru
Itulah persoalannya sekarang. Tandatanya ini hanya boleh dijawab oleh mereka yang berada di Terengganu. Kita yang sekadar membaca berita dan rencana yang berat sebelah di media massa arus perdana tidak akan mendapat gambaran yang sebenarnya.
Namun khabar dan cerita-cerita yang diperolehi dari akar umbi negeri itu menggambarkan "Gelombang Biru" yang melanda Kemaman dan Hulu Terengganu baru-baru ini tidak lebih daripada satu sandiwara politik dan perang psikologi untuk memulihkan moral Umno Terengganu menjelang pilihanraya umum akan datang.
Satu sumber memberitahu, walaupun ribuan orang mengunjungi majlis itu, sebagaimana biasa ia dipenuhi penyokong Umno yang diimpot untuk memenuhi ruang majlis. Menurutnya ahli Umno Pahang dan Kelantan memenuhi majlis itu bersama budak-budak sekolah, kakitangan agensi dan jabatan kerajaan Pusat di negeri itu. Ahli Umno dari seluruh negeri pula diangkut dengan bas khas untuk menukar "Riak Biru" menjadi "Gelombang Biru".
Seorang teman wartawan yang bertugas sepenuh masa di negeri itu menyatakan, "Gelombang Biru" yang dicipta Umno itu tidak mungkin menumbangkan kerajaan Haji Hadi dalam pilihanraya umum akan datang.
Katanya, luka yang dialami Umno negeri ini belum pulih. Walaupun Datuk Idris Jusoh dan orang-orangnya begitu bersemangat untuk merampas kembali negeri ini, namun kata rakan wartawan itu, mereka ibarat "nafsu lebih tenaga kurang".
Luka lama
Umno Terengganu, menurutnya, walaupun tidak berpecah belah seteruk Umno Kelantan, masih belum mempunyai kekuatan untuk memenangi semula hati rakyat kerana keburukan dan penyelewengan yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno lalu, masih segar dalam ingatan orang Terengganu.
Tambahan pula, katanya, para pemimpin PAS begitu bijak memainkan isu-isu lama, termasuk isu royalti minyak yang digambarkan sebagai "rompakan di siang hari" kerajaan Pusat.
Walaupun Umno negeri cuba mendedahkan keburukan dan kelemahan kerajaan PAS, seperti isu duit zakat dan konsesi balak, namun ia gagal mengabui mata hati rakyat.
Malah kerajaan PAS berjaya menggunakan balik isu-isu itu untuk membanding kelemahannya dengan penyelewengan yang dilakukan di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dahulu. Perjalanan kembali Umno Terengganu ke tampuk pemerintahan negeri masih jauh.
Maklumat dari akar umbi menunjukkan sentimen "Gelombang Biru" tidak sekuat mana. Berdasarkan "pemulihan"yang dialami oleh Umno di seluruh negara dan di Terengganu sekarang, paling-paling hebatpun yang dapat dicapai oleh Umno Terengganu dalam pilihanraya akan datang ialah menambahkan bilangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Harapan cerah Umno ialah di sekitar Kemaman, Kuala Terengganu dan daerah Besut. Umno Terengganu hanya memenangi empat kerusi DUN dan tewas semua kerusi parlimen di negeri itu dalam pilihanraya umum lalu.
Gerhana
Teman wartawan itu yakin Umno mampu menambah bilangan kerusinya dalam pilihanraya umum akan datang, tetapi tidaklah sampai menumbangkan kerajaan "Ayah Chik".
Menurutnya, pengaruh dan personaliti Haji Hadi masih kuat. Walaupun beliau tidak menyerlah dari aspek pembangunan material, namun rakyat nampak keikhlasan pemerintahannya.
Umpamanya dalam isu pegawai polis melindungi maksiat di negeri itu baru-baru ini, simpati rakyat terhadap beliau makin kuat. Isu ini telah menyedarkan rakyat terhadap "siapa sebenarnya musang berbulu ayam di negeri itu".
Kita yang berada di luar Terengganu kini memerhati dengan penuh minat dan debaran apa akan berlaku di negeri itu pada tahun depan. Adakah "Gelombang Biru" ini benar-benar berlaku atau sekadar di atas kertas sahaja?
Mampukah "Gelombang Biru" menggerhanakan "Bulan Purnama"? Benar-benar gagahkah Haji Hadi Awang atau sekadar boleh bertahan sepenggal sahaja? Jawapannya ada dalam tangan rakyat Terengganu dan akan diketahui pada tahun depan.