Dunia ini benar-benar berubah. Jika seseorang yang hidup di kurun-kurun yang lepas kemudian dibangkitkan semula, tentu dia kehairanan melihat dunia ini. Ia benar-benar berubah.
Bukan sahaja kecanggihan teknologinya, tetapi juga nilai dan budaya yang dipegang oleh manusia pada zaman ini. Globalisasi. Satu kalimah yang memberikan pelbagai kesan dan makna.
Dunia tanpa sempadan yang gagal untuk dikawal oleh mana-mana kuasa pun. Kita sudah menjadi seperti sebuah kampung yang kecil. Segala yang berlaku di setiap ‘ceruk' diketahui oleh penduduknya dan menjaga ‘buah mulut' setiap orang.
Bahkan, kita lebih sempit dari kampung. Teknologi yang mewujudkan jaringan sosial manusia telah menjadikan setiap berita tersebar jauh lebih pantas dari sebuah kampung.
Tambahan lagi, bukan sekadar cerita yang dibawa, tetapi peristiwa yang dirakam. Maka budaya dan nilai kehidupan manusia berubah.
Suasana baru berlaku dan ia menentukan banyak gaya fikir dan pendekatan kita.
Pendekatan yang difahami
Saya menjadi ahli Oxford Union. Satu badan yang amat bersejarah di Oxford. Setiap minggu mereka ada debat yang membabitkan isu-isu yang menarik. Tokoh-tokoh dipanggil dan isu-isu tertentu dicadang dan didebatkan.
Pasukan pencadang dan pembangkang dibentuk. Kemudian undian dijalankan. Minggu lepas tajuk: " This house would recognise prostitution as a legitimate business".
Mungkin hal ini mengarut bagi kita. Apa cerita hendak mencadangkan seperti itu? Saya hadir untuk mendengar debat tersebut. Ternyata, di sudut ‘mata mereka' bukan sedikit alasan yang mendapat tepukan gemuruh.
Walaupun bagi kita masyarakat Muslim, hal itu jelas haram disebabkan nas-nas agama. Namun, jika kita ingin berdialog dengan mereka, kita patut berhujah dengan apa yang mereka percaya.
Kata ‘Ali bin Abi Talib: "Bercakaplah kepada manusia dengan apa yang mereka tahu. Apakah kamu suka didustai Allah dan Rasul-Nya" (Riwayat al-Bukhari).
Maksudnya, gunakan approach yang difahami kerana pendekatan yang salah, akhirnya agama ini menjadi mangsa tuduhan.
Simpati
Di Malaysia dikatakan heboh pasal lesbian, gay, bisekual and transgender (LGBT ). Apatah lagi dengan kehadirian Irshad Manji ( bawah ).
Sebenarnya, isu LGBT ini bukan sahaja heboh di Malaysia, di negara Barat seperti UK ini pun kebelakangan ini banyak berita tentang tuntutan-tuntutan mereka. Jumlah mereka bertambah, bukan sekadar pengamalnya tetapi juga mereka yang bersimpati.
Golongan yang bersimpati melihat di sudut ruang kebebasan individu yang patut diiktiraf. Perdana Menteri UK David Cameron antara penyokong hak berkahwin golongan gay di UK.
Walaupun kebelakangan ini ada bantahan dari MP partinya, tetapi pendirian asal Cameron ialah untuk menghalalkan perkahwinan golongan ini dari segi undang-undang.
Padahal David Cameron yang sama menyebut dalam bulan Disember tahun yang lalu " UK is a Christian country and we should not be afraid to say so ".
Itu ucapan beliau di Oxford sempena 400 tahun Bible King James. Di Amerika, Barrack Obama dua minggu lepas mengisytiharkan sokongan kepada golongan LGBT untuk berkahwin.
Beliau dalam temubualnya menyebut:
"I have to tell you that over the course of several years as I have talked to friends and family and neighbors when I think about members of my own staff who are in incredibly committed monogamous relationships, same-sex relationships, who are raising kids together, when I think about those soldiers or airmen or Marines or sailors who are out there fighting on my behalf and yet feel constrained, even now that Don't Ask Don't Tell is gone, because they are not able to commit themselves in a marriage, at a certain point I've just concluded that for me personally it is important for me to go ahead and affirm that I think same sex couples should be able to get married."
Pendirian mereka mungkin atas kepentingan politik, ataupun kepercayaan tentang hak kebebasan individu yang menjadi ‘rukun iman' dalam hidup mereka.
Dalam usaha menjaga perasaan penyokong, bukan sahaja politicians bahkan pihak gereja juga mula membuka ruang kepada golongan ini.
Bukan sekadar untuk berkahwin, tetapi untuk menjadi paderi sekalipun. Ini seperti yang sedang berlaku beberapa hari lepas di Church of Scotland.
Suasana baru
Nampaknya golongan LGBT ini mula membentuk komuniti yang mempunyai suara dan pengaruh dalam politik. Penentangan terhadap mereka dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tidak menghormati hak individu.
Dalam suasana yang seperti ini, umat Islam, sama ada golongan pemikir, ahli-ahli politik dan selain mereka terpaksa mencari ‘laras bahasa' yang baru dalam mengulas tentang golongan ini.
Di negara seperti Malaysia, mungkin belum cukup terasa, tetapi umat Islam di Barat terpaksa mencari satu pendekatan yang dapat difahami oleh akal manusia di sini.
Kita bersetuju bahawa the ground of politics is compromise, but the ground of Islam is principal , namun dalam masa yang sama pendekatan yang berkesan perlu dicari dalam menegakkan prinsip.
Amalan LGBT sebagai sesuatu yang haram di sisi ajaran wahyu adalah sesuatu yang pasti tanpa mungkin ada sebarang pentafsiran lain lagi. Ia termasuk dosa besar.
Ini jelas apabila Allah merakamkan ucapan Nabi Lut terhadap kaumnya (maksudnya):
"Dan (Nabi) Lut juga ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas". (Surah al-‘Araf 80-81).
Ayat ini menggambarkan kaum Lut memulakan amalan songsang ini. Sesuatu yang tidak dikenali sebelum itu. Namun, dunia hari ini lebih buruk, kerana hal ini telah dimulakan, telah berakar umbi dalam sesetengah masyarakat, di samping mendapat pengiktirafan pula di peringkat antarabangsa.
Nabi Lut sendiri mencari banyak pendekatan dalam membetulkan keadaan, termasuk menawarkan anak-anak perempuannya untuk mereka. Walaupun perkataan banati (anak-anak perempuanku) dalam al-Quran mengenai dialog Lut AS itu mempunyai pelbagai tafsiran, namun ia merujuk kepada tawaran Lut untuk mereka mengahwini perempuan-perempuan keturunannya ataupun pengikutnya.
Kata Lut: (maksudnya): "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu, oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku, tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?" (Surah Hud 78).
Dalam kerangka dunia hari ini yang tidak dapat menerima sikap yang keras dalam membawa mesej agama dan Islam pula dituduh agama yang ganas, maka dialog yang berkesan dan matang dalam menyampaikan dakwah amat diperlukan.
Islam itu indah, ia mesti disampaikan dengan cara yang berkesan dan indah. Ya, keindahan itu kadang-kala ia subjektif, tetapi kerangka masyarakat dan budaya yang mereka mengelilingi mereka juga menentukan keindahan itu.
Sudah pasti "senaman punggung" ( atas ) bukan keindahan. Jika ia hendak dijadikan saluran dakwah Islam, sudah pasti tidak dapat diterima oleh akal yang waras dan budaya yang ada. Mungkin ia diterima dalam masyarakat Zulu Afrika, tetapi tidak dalam masyarakat kita.
Dialog dan debat
Pada zaman ini manusia memerlukan dialog dalam menentukan setiap pegangan. Bahkan, berdebat juga adalah antara pendekatan yang diiktiraf oleh al-Quran.
Firman Allah (maksudnya):
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan h ikmah dan maui z ah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-Nahl: 125).
Kata al-Sa'di (meninggal 1376H):
"Hikmah maksudnya setiap individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan perlaksanaannya... adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka.
" Antaranya dengan cara memberi amaran kepada mereka mengenai balasan Allah di akhirat dengan pendekatan yang dapat menginsafkan mereka.
"Sementara: berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkinkan mereka menerimanya secara akal dan nas." ( Al-Sa'di, Tais i r al-Kar i m al-Rahm a n , 452, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Pendekatan baru perlu diambil. Golongan pendakwah dan umat Islam perlukan pendekatan yang lebih bersifat semasa dalam suasana yang ada.
Mungkin sesuatu perkara itu jelas bagi kita, tetapi ia kabur bagi banyak pihak. Dalam kes LGBT, kita bukan sahaja terpaksa berbicara dengan pengamalnya, tetapi juga mereka yang bersimpati walaupun tidak mengamalkan. Itu lebih ramai.
Dakwah Islam itu bertujuan memahamkan manusia dan menjadikan mereka taatkan Allah dalam keadaan sedar dan ikhlas.
Menghukum dan mencemuh tidak dapat menyelesaikan masalah jika tidak didahului dengan memahamkan dan menegakkan hujah.
Gerakan Islam, pendakwah dan badan-badan agama patut melihat isu-isu terkini dalam horizon yang baru, tanpa menggadaikan prinsip yang asal.
PROF MADYA DA TUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.