Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tulisan ini disiarkan dalam tempoh lima hari sebelum 28 April nanti. Inilah tulisan akhir sebelum kita semua turun ke jalan raya untuk bersama merayakan ibus egala tunjuk perasaan di Dataran Merdeka. Justeru tulisan ini cuba merakam detik-detik dan saat gelombang kebangkitan rakyat mendobrak gerombolan United Malays National Oganisation.

Tuntutan orang ramai untuk membawa Malaysia menjadi sebuah wilayah yang damai, bebas, demokratik dan adil tidak dapat dibendung. Abang, adik, ibu ayah dan anak-anak muda sedang berjuang untuk menjadikan Malaysia kita ini sebagai wilayah di mana anak semua bangsa boleh merayakan kehidupan tanpa tekanan dan kekangan.

Untuk memahami apa makna semua ini saya ingin membawa para pembaca melihat kembali sejarah lampau, memahami perkara yang lalu untuk kita dijadikan panduan. Ilmu itu sebenarnya pengumpulan pengalaman. Kita belajar dan melihat jalan dan liku yang direntasi oleh orang terdahulu dari kita.

Mari kita kembali melihat gerakan-gerakan politik yang lebih awal. Mari kita memahami ke mana arah mereka dan apa yang mereka laungkan. Justeru saya berani memanggil zaman kita ini zaman pengulangan kembali era Perlembagaan Rakyat 1947. Kita kembali ke era AMCAJA-PUTERA.

Saya pernah menulis tentang zaman Perlembagaan Rakyat 1947. Saya menulis tentang sejarah perserikatan dan setiakawan anak semua bangsa dalam AMCAJA-PUTERA yang berjuang menuntut merdeka melawan British. Saya hanya menulis pemahaman saya dari apa yang saya baca. Saya belum lahir ketika gelora Perlembagaan Rakyat mengampuh Tanah Melayu. Ketika itu saya masih lagi di Laut Kalzum.

Dari apa yang saya baca saya kagum melihat gerak laku orang-orang yang terdahulu dari kita. Mungkin masih ada lagi mereka ini di kalangan kita. Maka apa yang saya cuba tulis ini tanda penghormatan kita kepada mereka.

Di sinilah , di bumi inilah pada tahun 1947 dahulu anak semua bangsa bertekad, bersetiakawan dan berjuang untuk melahirkan garis politik baru, pembudayaan baru yang mengarah kelahiran satu negara bangsa. Perlembagaan Rakyat 1947 adalah dokumen sejarah perjuangan negara bangsa.

Setiakawan anak semua bangsa dalam AMCAJA-PUTERA telah disabotaj dan digagalkan oleh penjajah British. Penjajah melihat setiakawan antara Melayu, China dan India ini sebagai satu ancaman. Pemimpin dan pemuka hadapan gerakan nasionalis ditangkap, dipenjara, dihalau dari Tanah Melayu. Dan ada yang digantung mati.

Penjajah British yang licik telah menggunakan perundangan untuk menumpaskan gerakan rakyat ini. Melalui pelbagai jenis hukum dan akta, penjajah British telah menekan gerakan menuntut kemerdekaan ini. Penjajah British dengan licik telah merancang untuk mengagakkan tuntutan Perlembagaan Rakyat dan tuntutan kemerdekaan.

Akhirnya pada 20 Jun 1948 British melancarkan serangan ke atas kaum nasionalis, kaum agama, kaum sosialis dan kaum komunis dari anak semua bangsa. Dengan menggunakan Akta Darurat penjajah British telah menangkap ribuan anak semua bangsa dari pelbagai jalur politik. Mereka dipenjarakan kerana kesalahan melawan British.

Pemimpin politik ditangkap. Pemimpin agama di tangkap. Pemimpin kesatuan sekerja ditangkap. Pemimpin pelajar di tangkap. Sesiapa sahaja yang menentang British akan ditangkap. Maka pada 20 Jun 1948 bermulalah sejarah perjuangan bersenjata melawan penjajah British.

Saya telah mengulangi kisah ini berkali-kali. Ini kerana musuh kita United Malays National Organisation adalah anak didik British. Gerombolan yang berslogankan "Hidup Melayu" ini diwujudkan oleh British untuk menjadi benteng menangkis gerakan nasionalis yang telah bangun melawan.

Akhirnya, British terpaksa mengundur diri kerana serangan gerila dari Gerakan Rakyat Malaya Menentang Tentera British yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya. Kerajaan kolonial British hampir jatuh bankrap kerana berbelanja besar dalam ketenteraan untuk memerangi rakyat di Tanah Melayu.

British telah memilih United Malays National Organisation untuk menggantikan mereka. Justeru - jelas dan tepat jika kita mentakrifkan gerombolan United Malays National Organisation ini adalah boneka buatan British.

Apa sangkut pautnya boneka ini dengan "Duduk Bantah" BERSIH 3.0? Apa hubungannya dengan ibu segala demo di Dataran Merdeka pada Sabtu 28 hari bulan ini?

Biar saya terangkan sejelas mungkin bagaimana semua ini ikat mengikat. Bagaimana semua babak babak ini kait berkait, hubung berhubung.

Ahli-ahli United Malays National Organsiation sedar akan sejarah peranan jahat mereka bersekongkol dengan penjajah British. Gerombolan Hidup Melayu ini juga sedar mereka dipandang hina oleh orang ramai. Di mata anak semua bangsa warga Tanah Melayu gerombolan ini dilihat lebih rendah nilainya lagi dari bangkai biawak yang hanyut dalam Sungai Klang. Inilah suasana budaya politik sebelum Merdeka.

Kini budaya dan suasana politik itu telah berulang lagi. Gerombolan United Malays National Organisation kini dipandang begitu hina dan haprak. Anak semua bangsa melihat mereka seperti kondom terpakai yang tersadai dalam tong sampah di lorong belakang Bukit Bintang. Mereka dilihat jijik seperti 'pampers'.

Selama 54 tahun mereka berkuasa akhirnya kebencian rakyat yang terpendam selama ini telah menggelora untuk meledak. Anak semua bangsa yang selama ini ditipu telah tidak mahu lagi ditipu. Manusia Melayu yang telah dibodohkan selama 54 tahun telah tidak mahu lagi menjadi bodoh. Anak muda, pelajar dan mahasiswa yang selama ini dikongkong telah mula bangun melawan.

Budaya melawan telah mengampuh seluruh negara. Budaya menentang kezaliman menjadi cool dan trendy . Budaya memperlekeh United Malays National Organisation telah menjadi fesyen untuk yang tua dan muda. Yang tinggal bersama United Malays National Organisation hanya yang 'poyo' dan kaki bodek.

Apakah yang saya tulis ini hanya angan-angan saya? Atau ia mimpi harapan saya? Tidak saya tidak bermimpi. Bukti sahih kenyataan saya ini ialah hasil pilihan raya tahun 2008 di mana United Malays National Organisation telah dinyahkan oleh rakyat. Kebosanan dan kejelikan rakyat telah diterjemahkan ke dalam peti undi.

Sebenarnya, ahli-ahli dan pemimpin gerombolan United Malays National Organisation ini sedar bahawa dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini orang ramai akan membakulsampahkan mereka. Mereka sedar pertubuhan mereka dibenci rakyat. Justeru kini mereka merancang. Mereka sedang merancang untuk menipu dalam PRU13.

Perancangan jahat lagi licik ini sama seperti perancangan strategi British untuk terus berkuasa agar dapat memunggah harta kekayaan Tanah Melayu - balak, bijih dan getah. Bagitu juga tindak tanduk gerombolan ketika ini. Mereka ingin terus berkuasa. Dengan kuasa mereka akan merembat dan memunggah harta kekayaan negara untuk anak, bini dan kroni.

Penjajah British telah menggunakan pelbagai akta dan rang undang-undang. Gerombolan United Malays National Organisation juga sedang menggunakan pelbagai akta dan undang-undang untuk terus menipu. Undang-undang dan akta ang diluluskan oleh Parlimen ini digunakan untuk menindas rakyat. Pelbagai macam akta akta dan undang-undang diwujud dan digubal khusus untuk meneruskan kuasa, khusus untuk menipu di PRU13.

Minggu lalu seperti 40 orang 'penyamun tarbus', para YB United Malays National Organisation dengan senyap-senyap telah masuk ke Parlimen dan meluluskan lapan undang-undang tipu.

Betulkah undang-undang yang diluluskan pada Khamis/Jumaat jam 2 atau 3 pagi itu undang-undang tipu? Atau saya membuat fitnah?

Untuk saya sahih ini akta tipu. Saya ingin bertanya - kalau ini bukan undang - undang tipu kenapa tidak dibincangkan secara terbuka. Kenapa tidak ada usaha untuk mencari atau mendengar pandangan orang ramai.

Kenapa Parlimen tidak diberi masa yang lama untuk mengkaji rang undang undang ini. Kenapa dilulus secara tergesa-gesa. Ini undang-undang bukan mee segera. Paling memeranjatkan undang-undang tipu ini diluluskan d iawal subuh pada jam 2 atau 3 pagi.

Sahih undang-undang ini bertujuan untuk menipu dalam pilihan raya. Akta kesalahan piliha raya telah dilupuskan. Barong untuk wakil parti politik telah dilupuskan. Hak parti politik untuk memeriksa kad pengenalan bakal pengundi telah dilupuskan. Pemerhati dari parti politik tidak lagi dibenarkan dalam bilik mengundi.

Biar saya kupas akta yang melupuskan hak wakil parti untuk memeriksa kad pengenalan bakal pengundi. Amat jelas akta ini digubal untuk memastikan berpuluh ribu Mat Pilipina, Mat Bangla dan Mat Indon yang telah diberikan kad pengenalan dapat menyeludup untuk mengundi. Pengundi hantu ini bolos tanpa dipantau.

Kalau dalam pilihan raya yang lepas-lepas wakil parti boleh berada dalam barong/khemah untuk memeriksa kad pengenalan bakal pengundi. Di pondok panas bakal pengundi boleh melihat nama mereka dan saluran mereka. Tanpa barong/khemah semua ‘hantu' akan datang mengundi. Tanpa barong/khemah wakil parti bakal tidak wujud untuk membantu bakal pengundi.

Pasti ramai nama-nama pengundi Pakatan Rakyat telah sengaja dialih dan diubah tempat. Ini dilakukan untuk memastikan mereka gagal mengundi. Tanpa barong/khemah maka bantuan dari pekerja parti untuk mencarikan tempat mengundi adalah mustahil. Ramai pengundi Pakatan akan tidak mengundi kerana nama telah dihilangkan.

Amat jelas akta ini direka dan diluluskan di Parlimen dengan tujuan untuk mengalahkan Pakatan. Seperti tulisan saya yang lalu Pakatan rakyat akan dikalahkan bukan kerana tidak ada sokongan tetapi kalah kerana ditipu. Penipuan ini memang dirancang dengan licik dan teratur.

Penjajah British telah menggagalkan cita-cita Perlembagaan Rakyat 1947 untuk mendirikan Tanah Melayu yang merdeka. Kali ini boneka peninggalan British yang bernama United Malays National Organisation juga sedang merancang untuk menggagalkan projek mendirikan Malaysia sebagai wilayah yang adil, demokratik dan bertamadun. Mereka ingin menggagalkan setiakawan anak semua bangsa yang wujud dalam Pakatan Rakyat - sama seperti di zaman Perlembagaan Rakyast 1947 dahulu. Gerombolan ini mahu kembali membawa politik adu domba Cina-Melayu.

PRU13 ini adalah tali gantung untuk United Malays National Organisation. Perhatikan kebelakangan ini betapa para kroni sedang merembat harta negara yang bernilai berbilion-bilion ringgit. Projek lebuh raya, projek MRT, projek wifi dan projek ini dan itu yang nilainya berbilion ringgit sedang digasak oleh para kroni.

Awas! Kita jangan duduk melopong tertonggeng buntut untuk terus ditipu. Masanya telah tiba untuk kita bangun dan menggagalkan niat busuk dan rancangan jahat United Malays National Organisation.

Justeru 500,000 anak semua bangsa yang berhimpun di Dataran Merdeka pada Sabtu 28 hari bulan ini adalah amaran kita. Ini adalah amaran dari orang ramai. Ini adalah tanda bahawa rakyat Malaysia tidak mahu ditipu lagi. Ayuh! Kita berjumpa di Dataran Merdeka!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS