Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dataran Merdeka pada Sabtu 28 April ini akan menjadi sasaran 500,000 penunjuk perasaan. Lima ratus ribu warga Malaysia akan berkumpul di Dataran Merdeka untuk "Duduk Bantah".

Duduk Bantah di Dataran Merdeka adalah ibu segala tunjuk perasaan. Ini adalah ibu segala demo. Ini adalah ibu segala bantahan. Duduk Bantah di Dataran Merdeka ini adalah tanda bantahan rakyat.

Rakyat membantah kerana pilihan raya yang akan datang ini terbukti sebagai satu projek penipuan.

Pada 9 Julai tahun lalu, BERSIH 2.0 yang menjadi payung kepada lebih dari 60 buah NGO telah mengajukan lapan tuntutan. Dari lapan tuntutan ini hanya penggunaan dakwat kekal yang telah diterima.

Tujuh lagi tuntutan BERSIH telah dibakulsampahkan. Penggunaan dakwat kekal ini pun masih belum ada kepastian lagi.

Rakyat pada ketika ini sedang naik darah apabila dikatakan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang merancang dengan licik untuk terus menipu orang ramai.

Kepada mata orang ramai, lembaga SPR dilihat sebagai satu jabatan yang sedang bekerja keras untuk memastikan kuasa kekal di tangan United Malays National Organisation.

Dalam bahasa lingo anak muda, SPR ini adalah ‘kaki kencing'. Dalam bahasa yang lebih tepat - SPR ini adalah budak kepada United Malays National Organisation.

Salah satu dari cara menipu terbaru yang sedang disusun oleh SPR dikatakan dengan mewujudkan tiga bentuk pengundian. Pertama undi awal, kedua undi pos dan ketiga mengundi di hari membuang undi.

Apa bendanya yang dipanggil undi awal ini? Ini sebenarnya hanyalah taktik penipuan baru yang akan diguna pakai pada PRU-13 nanti. Sebelum ini sistem ‘undi awal' tidak wujud, yang wujud undi pos.

Undi pos telah dibuktikan sebagai undi tipu. Perkara ini tidak ada dakwa 'dakwi' lagi. Tetapi, siapakah ‘pengundi awal' ini?

Orang ramai diberitahu bahawa pengundi awal adalah pekerja media yang akan membuat laporan pada hari mengundi. Tetapi sebenarnya semua ini hanya satu sandiwara. Di belakang undi awal ini ialah satu rancangan sulit yang diwujudkan oleh SPR.

Pada pilihan raya yang lepas lepas SPR telah menggunakan 100,000 orang lebih tenaga kerja untuk menjalankan pilihan raya di seluruh negara. Kali ini SPR telah menambah tenaga kerja untuk menjadi 200,000 orang lebih. Jumlah pekerja SPR yang naik mendadak inilah yang akan menjadi pengundi awal.

Cis. Cis. Cis. Bagaimana pengundi awal boleh menipu? Ha, ha, ha! Penipuan berlaku kerana semua pengundi awal ini, mengikut SPR tidak perlu dihitamkan jari mereka dengan dakwat kekal.

Mereka mengundi mungkin sehari lebih awal tetapi tidak pakai dakwat kekal. Tidakkah para pembaca terhidu betapa busuknya rancangan jahat SPR ini? Juga, mustahil kita akan tahu di mana 200,000 orang ini akan bertugas. Kerana orang ramai tidak tahu di mana mereka bekerja dan tidak ada tanda dakwat hitam maka.... Maka apa?

Maka mereka akan bebas ke hulu ke hilir mengundi untuk berpuluh kali. Kalau tidak, kenapa pekerja SPR ini tidak diwajibkan pakai dakwat kekal?

Mungkin masih ada pembaca yang kurang yakin tentang rancangan jahat SPR untuk memastikan United Malays National Organisation terus berkuasa. Mungkin ada pembaca masih was-was dengan apa yang saya tuliskan di sini. Jika tidak yakin, sila tanya diri sendiri, apa maknanya kenyataan YB Mahfuz Omar di Parlimen tentang pilihan raya?

Minggu lalu YB Mahfuz Omar telah mendakwa wujudnya 'task force' yang sedang membuat kerja jahat untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang haram dan warga asing. Dengan kad pengenalan baru ini dengan serta merta pendatang haram dan warga asing ini akan menjadi pengundi.

Kenyataan YB Mahfuz ini diperkukuhkan lagi dengan sidang akhbar Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu. Dalam sidang akhbar yang menyokong Duduk Bantah di Dataran Merdeka, Mohamad Sabu mendakwa bahawa parti PAS telah berjaya memiliki senarai nama-nama pegawai yang terlibat dalam ‘task force ‘ ini.

Mengikut Mohamad Sabu ini bukan kerja penipuan pegawai ‘kucing kurap' . Ini kerja bukan ‘kecik anak'. Ada di antara mereka yang bergelar datuk. Dakwanya, ada pegawai dari Majlis Keselamatan Negara, BTN, KDN dan Jabatan PM.

Malah menurut timbalan presiden PAS ini alamat tempat ‘operasi jahat' ini juga telah diketahui.

Justeru orang ramai dari sekarang perlu sedar bahawa PRU-13 ini nanti adalah yang paling kotor. Ini kerana parti United Malays National Organisation semakin dibenci oleh orang ramai.

Berita telah tersebar bahawa ‘Cina Johor' bukan lagi Cina Johor yang lama. Kini Cina di Johor yang dulu menjadi penyokong MCA totok kini telah cabut lari. Berkapal-kapal mereka pindah lari untuk menyokong Pakatan.

Umum membaca atau melihat Youtube tentang ceramah pemimpin Pakatan yang dibanjiri orang ramai. Kalau dulu hanya Melayu yang datang, kali ini - dari Segamat, Kluang, Batu Pahat, Mersing, Pagoh - apek, nyonya, amoi dan ah soo telah turun sama. Inilah tanda-tanda bahawa hari kiamat telah sampai untuk United Malays National Organisation.

Awas! Jangan terperanjat. Ini tidak menjamin kemenangan Pakatan dan penyokongnya walaupun ribuan membanjiri padang mendengar ceramah penerangan. Ini memang menandakan sokongan padu. Yang datang ke ceramah itu pasti akan memberikan undi mereka. Jadi kenapa tidak menang? Pakatan akan kalah?

Pakatan bukan dikalahkan oleh rakyat. Pakatan akan dikalahkan oleh tipu helah SPR, akan dikalahkan oleh undi hantu, akan dikalahkan oleh undi pos, akan dikalahkan oleh undi pendatang asing. Mereka akan dikalahkan kerana ramai penyokong Pakatan telah hilang nama dari daftar mengundi.

Kalau begitu mustahil untuk Pakatan mengambil alih pentadbiran di Putrajaya? Betul. Memang mustahil. Dalam keadaan hari ini memang mustahil.

Biar saya beri ingatan sejarah tentang Operasi Terengganu. Operasi ini didakwa telah mengalahkan kerajaan pimpinan Haji Hadi pada tahun 2004 dahulu.

Caranya cukup senang, sebelum PRU-11 satu ‘task force ‘ didakwa telah membuat kerja mendaftarkan ribuan pengundi baru. Mamat dan minah dari segala pelosok telah didaftarkan.

Hasilnya, peratus keluar mengundi naik mendadak kepada 92 peratus. Peratus ini lebih hebat dari peratus mengundi rakyat Korea Utara di bawah Kim Il Sung atau rakyat Iraq di zaman Saddam Hussein. Operasi Terengganu ini berjaya menyingkirkan PAS dan Hadi Awang.

Pengalaman Operasi Terengganu sedang digunakan di Selangor. Malah tim yang sama juga dikatakan sedang bergerak di Selangor dan di seluruh negara. Semua ini dilakukan untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus berkuasa. Ini sahaja tujuannya?

Tidak. Dalam rangka strategi gerombolan yang dipimpin oleh Najib Razak selain dari menang di PRU-13 ini ada lagi satu agenda tersorok. Ada agenda besar berjangka panjang. Kalau pembaca tidak bijak memerhati maka agenda ini tidak akan kelihatan. Apakah dia agenda ini?

Agenda ini untuk memastikan politik Malaysia kembali ke era politik Cina melawan Melayu. Agenda ini akan mewujudkan persepsi politik di mana parti politik Cina dan bukan Melayu sedang melawan kerajaan Melayu di bawah United Malays National Organisation.

Justeru, semua penyusunan - pengundi baru, pengundi yang dipindahkan, pengundi yang dihilangkan, pendaftaran pengundi pos, pendaftaran pengundi kad pengenalan baru - semua menjurus kepada agenda ini. Lembaga SPR dan ‘task force' sedang membuat semua penyusunan yang menghala ke arah agenda ini.

Jika agenda ini berjaya maka akan wujud kerajaan Melayu di bawah United Malays National Organisation dan pembangkang dari parti DAP yang mewakili Cina dan bukan Melayu.

Persepsi Cina lawan Melayu ini bertujuan menakut-nakutkan manusia Melayu. Manusia Melayu yang takut akan mencari perlindungan. Bomoh dan pawang bekerja menaburkan kisah, hantu dan polong menakut-nakutkan orang ramai.

Gerombolan United Malays National Organisation juga akan menakutkan orang ramai dengan 'hantu Cina'. Bila Melayu takut maka United Malays National Oganisation akan datang membantu.

Tidak percaya? Kalau tidak percaya sila berlaku jujur dan tanya diri sendiri kenapa tidak ada ‘gerakan gila-gila' untuk menambah pengundi baru di Pulau Pinang? Kenapa penambahan mendadak hanya berlaku di Selangor?

Malah kes klasik untuk menyokong agenda ini sedang berlaku di Subang. Kawasan Subang ini bersempadan dengan Petaling Jaya Utara. PKR mengusai Subang. Pendaftaran undi baru di Subang naik mendadak kepada 35,000.

Manakala wilayah Petaling Jaya Utara - kawasan DAP - hanya ada 5,000 pendaftaran pengundi baru. Dua kawasan ini sebelah menyebelah tapi jumlah pengundi baru yang mendaftar cukup mencurigakan.

Jadi apa maknanya? Maknanya musuh utama United Malay National Organisation ialah PKR di bawah pimpinan sosok Melayu yang bernama Dr Wan Azizah Ismail. Manakala, pada ketika ini DAP tidak dianggap musuh utama oleh United Malays National Organisation.

Malah DAP termasuk dalam strategi untuk memperlihatkan Cina melawan Melayu. Justeru, minggu lalu secara terbuka akhbar gerombolan telah menuduh DAP sebagai agen parti Cina PAP dari Singapura.

Justeru setelah membaca semua fakta ini, setelah melihat semua kerenah SPR, setelah mengetahui kerja jahat ‘task force' . Maka orang ramai akan naik minyak. Orang ramai tidak ada pilihan.

Rancangan licik untuk menipu dalam PRU-13 ini hanya dapat dihentikan jika pada 28 hari bulan April nanti 500,000 rakyat Duduk Bantah di Dataran Merdeka.

Duduk Bantah ini adalah ibu segala demo. Jika kita tidak turun memainkan peranan kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab maka Malaysia akan hancur.

Malaysia yang dirancang oleh gerombolan lanun United Malays National Organisation akan memainkan kembali politik pecah dan perintah. Kita akan dipaksa kembali ke politik lama - politik Cina lawan Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS