Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Memasuki mandala tamadun kita temukan dua elemen yang berimbang: Kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran atau intelektual yang tinggi. Itulah neraca peradaban yang sebenarnya. Tiada neraca lain yang setara dengannya.

Tamadun dibina dan dikembangkan  demi  kemaslahatan umat manusia, kerana akhirnya manusialah yang memberi rupa dan makna kepada sesuatu tamadun.

azlan Kemajuan kebendaan yang tidak diimbangi perkembangan pemikiran atau intelektual yang tinggi, akan membentuk rupa bangsa yang cela.

Rupa bangsa yang cela, akibat meremehkan pemikiran tinggi, akan berada jauh dari titik pusat falsafah, budaya, seni, moral dan kemanusiaan itu sendiri. Banyak negara di mana penguasanya melakukan opresi menyekat perkembangan pemikiran dan intelektual rakyatnya, secara dramatik melihat kerusi kekuasaannya lenyap dalam masa yang singkat.

Masalah bagi sesetengah penguasa ialah mereka menganggap cara yang kuno dan tidak manusiawi itu sebagai sesuatu yang masih relevan dengan zaman ini.

Watak dan struktur sesuatu masyarakat biasanya diramu dan diteguhkan daripada hubungan elemen-elemen sosial yang alamiah, kerana dinamika sosial selalu mengharapkan kemaslahatan umat manusia yang dicipta melalui pendekatan serta dasar-dasar yang betul lagi manusiawi.

bersih rally july 9 crowd face-off with police 1 Dengan ayat yang lain, mana-mana penguasa yang menanganinya  secara salah dan tidak manusiawi, akan berhadapan dengan kegagalan.

Mencipta masyarakat bertamadun akan lebih mudah setelah anggota masyarakat mempunyai atau memiliki (bukan lagi tiga, tetapi) lima keperluan asas: makanan, kediaman, pakaian,  pendidikan, dan peluang pekerjaan yang sewajarnya  dalam suasana negara  yang aman pula.

Sesudah itu, jalan terhampar untuk setiap anggota masyarakat, atau organisasi sosial, atau institusi sosial,  bergerak secara sukarela untuk memperbaiki lagi pelbagai aspek kehidupan anggota masyarakatnya.

Akan tetapi jika penguasa gagal menyediakan lima keperluan asas tersebut dengan latar belakang negara bersuasana aman, watak yang dicipta oleh penguasa ialah watak pincang yang memberontak.

selangor water demo - water cannons Watak-watak yang memilih jalan lain untuk mengatur masa depan kumpulannya tanpa mengendahkan undang-undang serta nilai moral ̈C kerana tiada harapan lagi terhadap penguasa.

Menekan kumpulan ini dengan tujuan untuk melumpuhkan atau menghapuskannya, bukanlah penyelesaian yang baik bagi kerangka masyarakat bertamadun. Kerana opresi akan membangkitkan lebih banyak penentangan.

Jalan alternatif yang terbaik ialah kembali ke pangkal  pemikiran oleh para intelektual dan pakar, serta memanfaatkan sumber ekonomi yang ada di dalam sesebuah negara.

Zaman telah berubah. Rakyat mahu keperluan-keperluan asas mereka dipenuhi. Rakyat mahu berganding bahu membina tamadun bangsa yang lebih baik dan kukuh. Jom ke mandala tamdun.

       


Datuk Dr Anwar Ridhwan merupakan sasterawan negara ke-10. Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Antara karyanya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto.

Tulisan ini bahagian pertama daripada siri artikel pendek bertemakan'Masyarakat Bertamadun"yang akan diterbitkan setiap dua minggu.

Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

       

        


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS