Revolusi rakyat di Mesir menggerunkan pemimpin-pemimpin kuku besi diseluruh dunia. Bagi gerakan prodemokrasi, ia merupakan satu suntikan semangat yang hebat untuk meneruskan perjuangan merebut demokrasi.
Seperti yang dijangka, turunnya Hosni Mubarak dari takhta selepas berkuasa lebih 30 tahun akan mengoncang regim-regim kuku besi di Timur Tengah. Algeria, Bahrain, Libya, Iran dan Yaman berhadapan dengan demonstrasi demi demonstrasi.
Gerakan prodemokrasi di Timur Tengah mendapat inspirasi dari kejayaan Mesir dan tidak mustahil berberapa regim akan tumbang tidak lama lagi. Kini, diktator-diktator yang disokong oleh Barat tidak lagi dapat tidur lena.
Perkembangan internet memberikan peluang rakyat di seluruh dunia untuk menyaksikan sendiri revolusi Mesir. Al-Jazeera menjadi stesen televisyen yang popular kerana memberi liputan secara langsung revolusi rakyat di Mesir.
Seluruh dunia juga dapat menyaksikan sikap hipokrit Barack Obama yang pada mulanya menyokong Hosni Mubarak dan kemudian beralih menyokong revolusi rakyat.
Menurut Noam Chomsky, ini merupakan satu kebiasaan bagi dasar luar Amerika Syarikat. Satu ketika dahulu, Amerika Syarikat turut berada di belakang diktator-diktator seperti Ferdinand Marcos, Jean-Claude Duvalier, Chun Doo-hwan, Suharto dan ramai lagi yang berguna kepada mereka.
Sokongan AS bukan jaminan
Berbeza dengan situasi di Iran, awal-awal lagi Hillary Clinton sudah memberi sokongan kepada demonstran yang melawan kerajaan Iran. Seperti yang diketahui umum, semenjak revolusi 1979, hubungan Amerika Syarikat dan Iran sudah terputus.
Revolusi di Mesir telah membuka mata ramai pihak, terutama sekali bagi pemerintah dan kerajaan yang menjadi boneka Amerika Syarikat. Hubungan baik dengan Amerika Syarikat hanya akan terjadi selagi mereka menjaga kepentingan negara kuasa besar tersebut.
Tidak ada kesetiaan dalam hubungan tersebut. Sokongan Amerika Syarikat akan beralih selepas mereka berjumpa dengan boneka baru. Hosni Mubarak adalah contoh terbaru mangsa yang dikhianati Amerika Syarikat.
Diktator dan pimpinan negara yang sering berbangga mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat kini harus berfikir semula.
Hubungan rapat dengan Amerika Syarikat kadangkala menjadi liabiliti dan mempercepatkan lagi kejatuhan sesuatu regim itu. Lebih baik dapatkan sokongan rakyat dari bergantung kepada sokongan kuasa besar yang hanya mahu menjaga kepentingan perniagaan semata-mata.
Malaysia adalah negara yang amat berbangga mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat. Sewaktu perdana menteri dapat bertemu dengan Barack Obama dalam satu majlis di negara tersebut, berita tentang pertemuan tersebut dimainkan bertalu-talu dan dianggap sebagai sebuah kejayaan.
Realitinya, Amerika Syarikat tidak terlalu fokus pada Malaysia berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.
Pertama, dalam peta, Malaysia tidaklah begitu besar berbanding dengan kedua negara jiran tersebut.
Kedua, kepentingan perdagangan mereka sentiasa terjaga di Malaysia. Ketiga, kedua-dua BNd an Pakatan Rakyat mempunyai dasar mesra kepada Amerika Syarikat dan ekonomi neoliberal.
Demokrasi Tunku seperti langit
Di laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter, rakyat Malaysia antara yang seronok apabila regim Hosni Mubarak tumbang.
Puji-pujian dari warga Twitter dan Facebook diberikan kepada rakyat Mesir yang berjaya menurunkan seorang pemerintah kuku besi dari tampuk kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar jangan melakukan demonstrasi seperti di Mesir untuk menumbangkan kerajaan. Katanya lagi, kerajaan tidak akan membiarkan demonstrasi seperti di Mesir berlaku di Malaysia.
Sebenarnya, jika perdana menteri benar-benar tidak mahukan revolusi rakyat ala Mesir berlaku di Malaysia, langkah segera yang perlu beliau lakukan adalah menggunakan segala kuasa yang ada pada perdana menteri Malaysia untuk membuka ruang demokrasi.
Demokrasi yang ada di Malaysia pada hari ini terlalu sempit dan menjadi lebih teruk dari masa ke semasa. Jika kita bandingkan demokrasi yang ada pada hari ini berbanding dengan demokrasi pada zaman perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, ia seperti langit dengan bumi.
Baru-baru ini kita menyaksikan bagaimana demokrasi di kampus-kampus turut dikongkong. Sebagai respons, mahasiswa di beberapa universiti seperti di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia bangkit membantah tindakan pentadbiran kampus?
Yang menyedihkan lagi, anak-anak mahasiswa yang seharusnya melatih diri untuk berdemokrasi hanya diberikan masa tiga hari untuk berkempen. Itupun pada hari hujung minggu di mana kebanyakkan mahasiswa tidak berada di kampus.
Apakah ini contoh demokrasi yang diajarkan kepada mahasiswa oleh pemerintah kampus?
Penutupan ruang demokrasi dan menggunakan kekerasan terhadap bantahan dan kritikan akan mengundang tindakn balas keras?
Mubarak tutup internet
Baru-baru ini saya turut bersama dalam sebuah demonstrasi di Kuala Lumpur bagi menyokong perjuangan rakyat di Mesir. Pelik dan hairan apabila menyaksikan gas pemedih mata turut disembur kepada demonstran.
Semenjak berkecimpung dengan permasalahan demokrasi dan demonstrasi, seingat saya, jarang kekerasan dilakukan apabila demonstrasi isu-isu antabangsa.
Kebiasaannya, demonstrasi isu-isu antarabangsa akan berakhir dengan aman dan tanpa penangkapan. Dalam demonstrasi menyokong perjuangan rakyat Mesir baru-baru ini, kita dapat saksikan gas pemedih mata disembur dan penangkapan dilakukan.
Sudah sampai masanya kebebasan bersuara dan demokrasi yang dijamin oleh perlembagaan negara dikembalikan kepada rakyat Malaysia. Biarkan rakyat merasakan nikmat demokrasi sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Baru-baru ini terdapat usaha dari pemerintah untuk memperluaskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ke ruangan internet.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian.
Menteri berkenaan bagaimanapun menafikannya selepas itu.
Jika ini berlaku, demokrasi internet akan turut dirampas. Pada ketika itu, ruang demokrasi yang sedia sempit akan menjadi semakin sempit.
Hosni Mubarak juga menutup ruangan internet sebelum dia dihumban keluar dari pemerintahan. Jika ini dibenarkan berlaku, tidak mustahil apa yang berlaku di Dataran Tahrir di Mesir akan berulang di Dataran Merdeka.
Revolusi Mesir seharusnya memberi pengajaran dan bukannya menyebabkan kita terus menerus hidup dalam penafian seperti apa yang berlaku kepada berberapa orang ahli politik dan berberapa pihak yang begitu marah apabila Revolusi Mesir dikaitkan dengan Malaysia!