Ketika artikel ini ditulis, lagi beberapa hari nak masuk bulan Januari 2011. Ramai orang sibuk buat azam baru tetapi bukan saya. Ini kerana azam saya sejak beberapa tahun yang lepas pun belum tercapai lagi, iaitu untuk melihat pemansuhan akta ISA dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Jadi saya mengambil keputusan untuk tidak perlu membuat apa-apa azam lagi tahun ini. Buat penat badan sahaja.
Bagaimanapun, empat tahun yang lepas, bulan Januari itu adalah bulan yang sungguh istimewa bagi saya. Ini adalah kerana pada Januari 2007, saya telah mendapat lesen penuh untuk beramal sebagai peguam.
Dalam tempoh empat tahun menjadi peguam, macam-macam yang telah saya pelajari, bukan sahaja dari segi pengamalan undang-undang dan profesyen, tetapi juga sebagai seorang manusia.
Sebelum seseorang boleh mendapatkan lesen untuk beramal sebagai peguam, beliau wajib menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan dahulu di mana-mana firma dan membuat kerja-kerja sukarela di Pusat Bantuan Guaman selama 14 minggu.
Ketika saya masih membuat latihan dalam kamar, setiap kali saya ditanya apakah perancangan saya selepas tamat latihan, entah kenapa saya akan kata: "Nak bagi legal aid" .
Walaupun itu bermakna saya tidak akan dibayar untuk perkhidmatan yang diberikan, tapi saya rasa seronok dan puas hati.
Disebabkan sikap saya yang beriya-iya, saya selalu diberikan tugas yang memerlukan saya ‘turun padang' oleh Pusat Bantuan Guaman.
Antara kes pertama saya yang diberikan oleh Pusat Bantuan Guaman ialah untuk menghalang sebuah rumah setinggan daripada dirobohkan oleh DBKL, akibat notis pendek dan tiada pampasan rumah sewajarnya yang diberikan.
Kes roboh setinggan
Hanya tinggal empat hari sahaja sebelum notis tamat tempoh. Oleh kerana saya kurang berpengalaman, Pusat Bantuan Guaman telah meminta seorang peguam senior untuk menemankan dan memberikan nasihat kepada saya ketika bertugas.
Kami turun naik ke Pejabat Tanah sebanyak dua kali, dan pergi ke tempat kejadian sebanyak 3 kali. Rumah yang hendak dirobohkan tu, kalau tak dirobohkan pun, hanya menanti masa sahaja untuk rebah ke tanah. Sangat usang.
Melihat keadaan itu, saya rasa sedih dan marah-marah akan ketidakadilan dunia. Walaupun kami telah berusaha berbincang dengan pihak Pejabat Tanah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan rumah, namun usaha kami sia-sia.
Tinggal beberapa jam lagi sebelum rumah dirobohkan. Kami semua menunggu di depan rumah. Saya buat mimik muka segarang mungkin untuk ‘bergaduh' dengan pihak DBKL yang akan datang bersama dengan jentolak.
Dua orang rakan peguam yang berada di sebelah saya pun sama. Akhirnya, jentolak yang ditunggu-tunggu telah sampai. Kami meluru ke arah pegawai DBKL dan mula marah-marah.
Pegawai tersebut menyuruh kami bertenang, dan kata, dia dah ambil rumah.
Saya tergamam dan hanya mampu membalas: "Ha?"
"Dia dah ambil rumah," kata pegawai itu lagi sambil menunjukkan sehelai surat.
Tetap naik angin
Saya mengambil surat tersebut daripada tangannya dan berpaling ke arah ‘anak guam'.
Peguam senior yang berada bersama-sama saya di situ, bertanya dengan tegas dan bertubi-tubi kepada ‘anak guam' kami tersebut sehingga beliau akhirnya mengaku: "Ada ambil, tapi saya sudah beri kepada saya punya abang".
Perasaan marah saya mula berpindah arah, daripada DBKL kepada anak guam sendiri. Mana boleh seorang dapat dua buah rumah pampasan dalam kes sebegini?
Lebih marah lagi kerana beliau telah menyembunyikan perkara ini daripada kami. Saya rasa tertipu dan malu. Kami meminta maaf kepada pegawai DBKL yang hampir kami serang dan meninggalkan tempat itu.
Pengalaman di atas mengajar saya supaya berhati-hati ketika menjalankan tugas guaman dan tidak cepat melatah. Tapi itu juga tidak mematahkan semangat saya untuk memberi bantuan guaman kepada mereka yang memerlukan.
Saya juga cuba untuk tidak marah-marah sewenang-wenangnya terhadap pihak berkuasa sebelum usul periksa.
Akan tetapi, terdapat banyak situasi di mana walaupun saya telah cuba sedaya upaya untuk tidak marah-marah dan bersikap profesional, saya tetap akan naik angin dengan pihak berkuasa. Tapi itu cerita lain.
Jumpa lagi di tahun kelima saya sebagai peguam dan selamat tahun baru.