Baru-baru ini saya dihubungi oleh salah satu media alternatif bertanyakan komen saya tentang “Misi Munajat Royalti Rakyat” yang dicadangkan oleh salah seorang exco kerajaan Kelantan.
Sebelum memberi sebarang komentar, saya suka menyeru pembaca kembali meneliti dasar permasalahannya yang berkaitan tuntutan hak, peruntukan perlembagaan dan ketaatan kepada pemerintah.
Bagi kerajaan Malaysia, Akta Petroleum 1974 hendaklah dibaca bersekali dengan Ordinan Darurat dalam menafsirkan mengenai isu royalti minyak.
Seksyen 4(2) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 menyebut negeri di dalam Malaysia mempunyai perairan wilayah hanya setakat tiga batu nautika (5.5 kilometer) diukur dari paras air surut, sedangkan telaga minyak di Kelantan terletak 150 batu nautika dari perairan.
Manakala bagi kerajaan Kelantan royalti minyak adalah hak mereka. Mereka juga mendakwa bahawa Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada 1979.
Jika diteliti pelantar minyak negeri Terengganu yang terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan menerima bayaran royalti minyak. Sedangkan pelantar minyak di Kelantan hanya terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Ekslusif yang diusahakan antara Petronas dengan kerajaan Thailand di Laut China Selatan/Teluk Siam tidak menerima bayaran royalti.
Soalnya siapa yang benar? Siapa yang berhak?
Dalam kondisi sekarang saya berpendapat kerajaan negeri Kelantan telah menggunakan saluran yang betul untuk menuntut hak mereka iaitu mahkamah.
Maka usahlah kita membuat sebarang tuduhan rambang kepada mana-mana pihak sama ada kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Kelantan sementara menunggu keputusan mahkamah.
Secara umumnya, menjadi satu kewajipan kepada mana-mana pemerintah Muslim di atas muka bumi menunaikan hak rakyatnya. Sabda Nabi SAW: “Mana-mana pemimpin yang menipu rakyatnya, maka tempatnya adalah neraka.” (Riwayat Ahmad).
Banyak alternatif berdepan kezaliman
Begitu juga bagi hakim yang bertanggungjawab, hendaklah mengadili apa jua kes dengan seadilnya.
Sabda Nabi SAW: “Seorang hakim akan masuk syurga dan dua orang hakim akan masuk neraka. Hakim yang masuk ke syurga adalah hakim yang mengetahui kebenaran dan melaksanakannya, maka dia masuk syurga. Manakala hakim yang mengetahui kebenaran tetapi mengenepikan kebenaran dengan sengaja maka dia masuk neraka, dan hakim yang memutuskan hukuman tanpa ilmu juga masuk neraka.” (riwayat al-Hakim)
Kedua-dua pihak di atas perlu takut kepada doa orang yang dizalimi.
Sabda Nabi SAW: “Tiga golongan yang amat mustajab doanya; doa orang yang dizalimi, doa musafir dan doa bapa kepada anaknya.” (riwayat Ahmad)
Manakala rakyat tetap perlu memberikan ketaatan walau berhadapan dengan kezaliman. Apatah lagi jika kezaliman itu hanyalah tuduhan yang masih kesamaran.
Sabda Nabi SAW: “Seburuk-buruk pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu benci dan laknat mereka dan mereka benci dan laknat kamu. Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, bolehkah kami menentang mereka? Tidak, selama mana mereka mendirikan solat.” (riwayat Muslim)
Sabda Nabi SAW lagi: “Akan datang selepasku, pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melaksanakan sunnah-sunnahku. Bersama-sama mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan dan bertubuh badankan insan. Hudzaifah bin al-Yaman bertanya: Apa yang perlu aku lakukan ketika itu? Sabda Nabi SAW: Kamu perlu dengar dan taat, walau mereka memukul belakangmu dan mengambil harta bendamu.” (Riwayat Muslim)
Persoalannya, adakah rakyat perlu berdiam diri dengan kezaliman yang berlaku? Sebenarnya banyak alternatif yang disediakan oleh Allah dan Rasul sekiranya berhadapan dengan kezaliman, antaranya menasihati pemerintah, berdoa, sabar dan berhijrah.
Pada hari ini, kebanyakan nasihat kepada pemerintah tidak melalui saluran yang betul menyebabkan yang diberi nasihat sukar menerima ekoran kredibilitinya telah tercalar.
Manakala yang memberi nasihat dilihat berbangga kerana nasihatnya kepada pemerintah diketahui umum. Hairan, apakah matlamat sebenarnya? Adakah dia ingin menjadi wira kerana perkataannya dipuji dan pemerintah dicaci? Atau dia ingin memberi tekanan kepada pemerintah agar berubah?
Pemimpin dicaci, dimaki di klalayak
Jika seorang bapa sukar menerima teguran si anak ke atasnya di khalayak ramai, maka bagaimana seorang pemimpin yang tinggi kedudukannya tiba-tiba ditempelak, dicaci, disindir, dimaki dan diumpat di khalayak ramai akan menerima teguran tersebut?
Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mahu menasihati pemerintah dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemerintah tersebut dan nasihatilah dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya.” (Riwayat Ahmad)
Nabi SAW juga berpesan: “Janganlah kamu mencela pemerintahmu, mendustakan dan memarahi mereka. Sebaliknya bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya ketetapan Allah itu dekat.” (Riwayat Ibnu Abi ‘Ashim).
Jika Fir’aun yang terkenal dengan kezalimannya tetap dinasihati dengan lemah lembut oleh Musa, maka bagaimana sikap kita pada hari ini? Selain memaki hamun pemerintah, bahkan ada sebahagian dari mereka sanggup menamakan pemerintah sebagai “Fir’aun” dan melukis wajah-wajah pemerintah dengan lukisan yang penuh sindiran dan penghinaan.
Lisan dan tangan seperti seperti inilah yang dimurkai Allah bahkan dicela oleh Rasul SAW.
Sedang Nabi SAW menyatakan: “Muslim yang terbaik adalah Muslim yang menjaga lisan dan tangannya dari menyakiti muslim yang lain. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Di samping menasihati dan bersabar menantikan perubahan, kita dituntut mendoakan kebaikan untuk pemerintah.
Al-Imam Abu Muhammad al-Barbahari (wafat 329H) berkata: “Apabila kamu melihat orang mendoakan keburukan bagi pemerintah, ketahuilah dia adalah pengikut hawa nafsu, dan sekiranya kamu melihat orang mendoakan kebaikan untuk pemerintah, ketahuilah bahawa dia adalah ahlus-sunnah, insya-Allah.” ( Syarh al-Sunnah , oleh al-Barbahari, ms 51)
Al-Imam Fudhail bin ‘Iyadh (wafat 187H) berkata: “Sekiranya aku diberi satu doa yang mustajab, nescaya aku akan mendoakannya untuk kebaikan pemerintah. Beliau ditanya mengapa? Katanya: Aku tidak bersedih jika aku tidak menjadikannya untuk diriku. Sebaliknya apabila aku jadikan doa tersebut untuk pemerintah; kebaikan pemerintah membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.” (Lihat Hilyah al-Auliyaak , oleh Abu Nu’iam al-Ashfahaani, 8/91)
Lajnah Tetap untuk Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi ketika ditanya, adakah harus mendoakan keburukan bagi pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah?
Tatacara doa
Lajnah menjawab: “Hendaklah kamu mendoakan agar dia mendapat hidayah dan petunjuk. Juga doakan agar Allah menjadikan di tangannya kebaikan untuk rakyat, seterusnya berhukum dengan hukum Allah.” (Fatwa no: 6361)
Bagaimana pula dengan isu Sekretariat Tabung Misi Munajat Royalti Rakyat - yang menganggarkan RM400 ribu diperlukan untuk membawa 40 ulama serta tok guru pondok ke Mekah untuk bermunajat selama 40 hari dan 40 waktu - berhubung isu kes tuntutan royalti minyak?
Secara dasarnya, dalam berdoa, Islam menitikberatkan beberapa perkara; tujuan doa, orang yang berdoa, masa berdoa, tempat berdoa, apa yang didoakan, dan tatacara berdoa.
Saya yakin bahawa kerajaan negeri Kelantan mungkin telah meneliti perkara-perkara tersebut.
Pemilihan ulama dan tok guru pondok adalah satu pilihan yang baik jika bertepatan dengan ciri-ciri ulama sejati sebagaimana digambarkan oleh Nabi SAW: “Ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, sebaliknya para nabi mewariskan ilmu.” (Riwayat Abu Daud).
Maka ulama sebenar adalah yang mewarisi ilmu sebagaimana ilmu yang disampaikan oleh Nabi SAW. Jika bercanggahan dengan petunjuk Nabi SAW, maka gelaran tersebut tidak layak digunapakai seperti gelaran “Datuk” bagi perosak bangsa dan agama.
Sebenarnya soal gelaran tidak menjadi isu dasar sebaliknya hakikat bagi penggunaan gelaran tersebut yang perlu dititikberatkan. Penguasaan ilmu dan amal perlu dijadikan sebagai kayu pembeza antara ulama, juhalaak (orang yang jahil) dan mubtadi (ahli bidaah)”.
Al-Syaikh Dr Bakr Abu Zaid menyatakan bahawa salah satu kaedah penting dalam berdoa adalah membezakan antara doa yang ditetapkan keadaan, masa dan tempatnya menurut Al-Quran dan Al-Sunnah dengan doa yang mutlak tanpa sebarang penetapan.
Kata beliau: “Setiap zikir yang atau doa yang terikat dengan cara berdoa, masa dan tempat tertentu hendaklah didatangkan sepertimana ianya diriwayatkan dalam Al-Quran atau Hadis tanpa dikurangi, ditambah atau ditukarkan.”
Contohnya, doa istisqa (minta hujan) Nabi SAW mengangkat kedua belah tangan Baginda, maka kita tidak dibenarkan melepaskan tangan kerana telah ditetapkan caranya oleh Nabi SAW. Doa keluar tandas umpamanya iaitu ghufraanak , kita tidak boleh menjadikan ia sebagai doa makan kerana telah ditetapkan masa dan tempatnya.
RM400 ribu lebih baik untuk program ilmiah
Kata al-Syaikh lagi: “Manakala bagi doa yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah tetapi tidak ditentukan cara berdoa, masa dan tempatnya; maka kita tidak dibenarkan sesuka hati menetapkan cara, masa dan tempatnya sebaliknya hendaklah dibiarkan mutlak tanpa keterikatan.”
Sebagai contoh; kadang kala kita doa sambil mengangkat tangan, kadang kala melepaskan tangan. Adapun menetapkan satu kemestian untuk mengangkat tangan setiap kali berdoa tidaklah menepati petunjuk Nabi SAW kerana Nabi SAW tidak menetapkan salah satu dari keduanya, sebaliknya diriwayatkan kedua-dua perbuatan tersebut dari Nabi SAW.
Beliau berkata lagi: “Merupakan satu keharusan berdoa dengan doa yang tidak terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Hadis tetapi bersyarat; antaranya tidak boleh dikhususkan cara, masa dan tempatnya.” (lihat Tashih al-Doa, oleh Dr. Bakr Abu Zaid, ms 42-43).
Perlu dijelaskan erti menetapkan adalah “mengkhususkan”, sehingga terjadi sangkaan bahawa penetapan tersebut adalah lebih baik dan yang tidak ditetapkan adalah sebaliknya.
Oleh itu, adakah penetapan angka 40 orang itu menepati Al-Quran dan Al-Sunnah. Bagaimana pula dengan 40 waktu dan 40 hari?
Menurut pandangan saya perbuatan menetapkan angka, masa dan tempat bagi doa yang tidak terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah adalah perbuatan yang menyanggahi petunjuk Rasul SAW. Sekiranya rakyat Kelantan merasakan mereka benar-benar dizalimi kerana hak mereka dirampas; doa orang yang dizalimi sudah cukup mustajab.
Maka cadangan saya, RM400 ribu yang dikumpulkan sebaiknya digunakan untuk program-program ilmiah seperti mengingatkan masyarakat tentang pentingnya akidah, memperkenalkan sunnah dan bahaya bidaah. Bersesuaian dengan keadaan masyarakat Islam di negara ini yang ketandusan ilmu dan ulama. Alangkah baiknya jika RM400 ribu dikumpulkan untuk tujuan pembiayaan melahirkan ulama.
Cadangan ini bersifat umum dan merangkumi kerajaan Malaysia sekali gus. Kerana apabila masyarakat memahami akidah, mengenali sunnah dan meninggalkan bidaah, pertolongan Allah pasti tiba.
Sabda Nabi SAW: “Allah tidak akan menerima taubat pelaku bidaah selama mana mereka tidak meninggalkan bid’ahnya.” (riwayat al-Thobrani). Jika dosa tidak diampunkan, mana mungkin datang pertolongan Allah. Keamanan pada hari ini hanyalah bersifat ujian dalam menentukan siapakah yang tetap beriman.
Sebaliknya, jika kerajaan Kelantan tetap merasakan keperluan ke Mekah untuk berdoa, maka usahlah menetapkan angka, masa dan cara tertentu. Selain itu, berdoalah untuk keamanan negara ini dan kebaikan kerajaan Malaysia agar urusan pentadbiran dapat berjalan dengan adil dan saksama di samping hak-hak rakyat ditunaikan.
Bagi kerajaan Malaysia, kalian juga perlu berdoa agar Allah tunjukkan kebenaran. Di samping tangani isu ini dengan berhemah lagi berhikmah. Jaga lisan dan tangan dari sebarang kemungkaran. Usah dicontohi idealogi kepembangkangan yang mana kebaikan sering dilihat sebagai keburukan.
Fathul Bari Mat Jahya merupakan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU ). Graduan hadis daripada Universiti Islam Madinah dan Universiti Yarmouk Jordan itu kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau kini bertugas sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.