Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Minggu lalu aku bercerita  tentang bagaimana aku menerima surat  daripada mendiang Teoh Beng Hock.

Ramai orang kurang yakin tentang apa yang aku suarakan. Banyak maki hamun dan sumpah seranah yang aku terima.

Malah aku juga menerima satu teks sms dari Yang Berhormat Teluk Kemang. Si YB ini juga turut marah kerana aku datang ke Teluk Kemang tanpa memberi telur ayam dan daging salai untuk sang penunggu hutan bakau dan kubur panjang di Tanjung Tuan.

Kutukan dan cemuhan ini menyalahkan aku kerana kenapa baru sekarang surat ini aku umumkan. Kenapa ia tidak aku hebohkan apabila menerimanya seminggu setelah Teoh mati.

Kenapa menunggu sampai setahun baru aku membocorkan kandungan surat itu? Semua tuduhan ini memang berasas. Tetapi biar aku terangkan sejujur mungkin.

Aku membuka kisah ini setahun kemudian kerana inilah yang diminta oleh mendiang Teoh. Aku tidak berani melanggar wasiat dan permintaan orang yang telah meninggal dunia. Aku takut kena sumpah. Nanti aku dimakan sumpah.

Sebenarnya kutukan yang sampai bertalu-talu ini membuat aku sedih dan pilu. Berderai-derai air manik menikam kalbu.

Jadi biarlah aku bukakan semua  isi kandungan surat si Teoh ini untuk tatapan orang ramai. Hendak-hendaknya dengan isi kandungan surat ini pembaca yang budiman dapat mengenal yang mana satu Mutu dan yang mana satu Raj Gopal. Kalau simpati datang - aku berterima kasih. Kalau cek dan duit sampai lagi kuat aku berterima kasih.

Inilah surat Teoh Beng Hock yang aku temui dalam botol di Teluk Kemang:


Ke hadapan kekandaku yang sentiasa adinda ingati,

Limau purut lebat dipanggal

Sayang selasih dinda lurutkan

Sepak di perut tempeleng di akal

Leher dicekik bukti parutnya

Kekanda,

Adinda berharap warkah ini hendaknya akan bertemu dengan kekanda dalam keadaan sihat walafiat.

Kekanda pasti terperanjat  apabila menerima warkah dari adinda ini. Kekanda akan lebih terperanjat kerana warkah adinda ini tidak datang melalui pos.

Biar adinda terangkan di sini bahawa sejak pejabat pos kita diswastakan adinda tidak lagi menggunakan khidmat pos. Biarlah air liur dan lidah adinda ini digunakan untuk pekara yang menyoronokan dari menjilat setem syarikat kroni.

Di sini ingin adinda memberi pengetahuan kepada kekanda bahawa telah ada satu konpirasi untuk menjatuhkan kerjaaan Selangor di bawah pimpinan Tun Seri. Ingin adinda maklumkan bahawa adinda telah dijemput dalam satu mensyuarat sulit. Sebenarnya adinda tidak sepatutnya di jemput tetapi telah berlaku kesilapan.

Sang konspirasi telah tersilap hantar sms. Sms ini bukan untuk adinda tetapi untuk seorang Datuk yang juga bekas seorang pakar motivasi. Tidak tahu macam mana silapnya sehinggakan sms ini sampai kepada adinda. Kerana sms ini datang berkali kali maka adinda pun terimalah jemputan ini.

Mesyuarat ini begitu sulit sekali. Adinda  telah  diminta memakai topeng ‘Herman Monster’. Mesyuarat ini berlangsung dalam sebuah reban ayam yang adinda sendiri tidak tahu di mana.

Cara kami datang ke tempat ini cukup sulit. Adinda diminta datang ke Sentul, di mana adinda telah dibogel dan diberi topeng dan pakaian baru. Telefon bimbit diambil. Kemudian adinda dimasukkan ke dalam sebuah van roti dan dibawa berpusing-pusing selama satu jam. Bila van berhenti adinda telah berada di dalam sebuah reban ayam yang agak besar. Ketika itu semua ayam sedang tidur.

Kekanda mungkin tidak percaya apa yang adinda tulis ini. Tetapi bacalah terus surat adinda ini kerana inilah sahaja yang dapat adinda tinggalkan.

Kekanda, pada malam itu adinda nampak ada lima orang dalam mesyuarat ini. Adinda kenal semua mereka yang berkonspirasi untuk menjatuhkan Tun Seri dan kerajaan Selangor ini.

Kekanda jangan terperanjat kerana rupa-rupanya ada orang dalam kerajaan Selangor sendiri  yang turut sama berkonspirasi. Dari gaya dan cara percakapan orang ini  adinda tahu orang ini ialah bekas seorang pakar motivasi.

Kemudian ada seorang lagi yang lorat Jawanya cukup pekat. Mengikut si Jawa ini mesyuarat ini di rancang oleh Bik Mama sendiri.  Bik Mama telah memberi arahan agar dilakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Selangor negeri terkaya bukan sahaja di Malaysia, menurut si Jawa ini, tetapi di Asia Tenggara juga dan kerana itu Selangor wajib dirampas kembali.

Kekandaku yang jauh di mata,

Walau pun semua mereka mengunakan topeng tetapi dari perwatakan dan gaya mereka,  adinda dapat agak siapa mereka ini.

Kekanda jangan terperanjat kerana isteri Bik Mama pun ada bersama dalam reban ayam ini. Isteri Bik Mama paling senang adinda kenali kerana dia membawa album Ziana Zain dalam failnya dan memakai jaket hitam yang bertulis di belakang: " Sumpah Saya Tak Kenal Altantuya."

Ada seorang yang adinda kurang kenal pada awalnya. Tetapi lama-kelamaan orang ini pun adinda  kenal. Dia memakai topeng  bermuka harimau dan di bajunya ada lencana bertulis Suara Rimba Putera Malaya (SPRM). Orang ini yang banyak memberi cadangan. Orang ini berkata yang dia ada beberapa orang agen sulit yang menyusup di dalam kerajaan Selangor.

Kekanda jangan terperanjat kerana pada ketika ini agen ini telah diarahkan untuk memasang kamera di bilik tandas Tun Seri. Video kamera ini merakam gambar Tun Seri terkencing.

Menurut orang SPRM, setiausaha Tun Seri yang sekarang ini adalah  kekasih lamanya. Bayangkan kalau ada gambar Tun Seri terkencing di hadapan setiausahanya pasti seluruh Selangor akan gempar.

Inilah gambar yang mereka nanti-nantikan. Semua akhbar dan media akan diarahlan membuat induk berita: MB Selangor Terkencing Depan Bekas Kekasih.

Kekanda, memang para konspirator ini berniat jahat. Dalam perancangan mereka apabila gambar ini telah heboh maka akan ada usul tidak pecaya kepada MB Selangor. 

Dalam perancangan mereka MB Selangor akan digantikan oleh bekas pakar motivasi. Ini konspirasi dalam reban ayam pada malam itu.

Jika rakaman video ini gagal maka mereka akan menghantar ‘China doll’ ke setiap ADUN Pakatan di Selangor. Dalam perhitungan mereka pasti akan ada ADUN  yang  meleleh air liur apabila melihat ‘China doll’.

Kekanda yang dingati,

Konspirasi dalam reban ayam ini ada juga lawaknya kerana menurut risikan orang yang memakai baju SPRM itu tidak semua ADUN pakatan meminati ‘China doll’ seperti ADUN Pakatan di Perak.

Elee Weng dan Zavier sudah pasti tidak meminati ‘China doll’. Akhirnya pekara menghantar ‘China doll’ ini tidak dapat mereka selesaikan pada malam itu. Ia dijadikan agenda berbangkit pada perjumpaan yang akan datang.

Dalam mesyuarat reban ayam ini adinda tidak bercakap sepatah apapun. Adinda mendiamkan diri sambil mendengar dengan teliti. Setelah lebih empat jam dalam reban ayam adinda merasa hendak terkencing. Adinda keluar lalu berdiri terkencing di tepi reban. Kemudian adinda masuk kembali.

Tetiba pintu reban terbuka dan masuk seorang lelaki yang kelihatan seperti pengawal. Dia berbisik-bisik kepada si Jawa. Si Jawa berbisik bisik pada lelaki berbaju SPRM. Lelaki ini berbisik kepada isteri Bik Mama. Mereka semua bangun dan mula meninggalkan dewan.

Apabila adinda hendak bangun si pengawal  memegang adinda dan berkata: “Kamu tak bersunat. Aku nampak kamu terkencing tadi. Kamu Cina!  Kamu tak boleh masuk reban ayam”.  

Semua yang dalam reban ayam itu keluar. Adinda dipegang oleh pengawal. Orang berbaju SPRM tidak keluar dari reban. Dia membuka topenganya. Percayakah siapa dia jantan ini?

Kekanda yang kini jauh di mata,

Adinda menulis surat ini untuk memberi tahu apa yang sebenarnya berlaku...


Pembacaku  yang budiman lagi aku hormati,

Sampai sini sahaja dahulu yang sanggup aku kongsi isi kandungan surat mendiang Teoh. Aku tidak sanggup meneruskannya lagi. Babak-babak sesudah Teoh ditangkap cukup sedih dan menyayat hati. Aku tidak sanggup melukakan hati balunya dan juga anaknya yang baru lahir.

Aku harap setakat ini telah jelaskan bahawa aku bukan berbohong tentang surat dalam botol yang aku jumpa di Teluk Kemang.

Hendaknya janganlah aku dituduh berbagai-bagai. Di hari baik bulan baik ini aku meminta maaf. Jika sesiapa hendak memberi zakat  dan derma kepada aku sila masukkan duit ke dalam bank akaun aku di Zurich, Switzerland. Dinar emar dari Kelantan aku terima juga. Walalh hu aalam bis sawab.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS