Suatu ketika Amirul Mukminin 'Umar bin al-Khattab keluar menuju ke Syam bersama-sama sejumlah teman-temannya termasuk Abu ‘Ubaidah al-Jarraah. Kemudian mereka tiba di tebing sungai. ‘Umar turun dari untanya, kemudian menanggal dan meletakkan kasutnya di bahu. Lalu ditarik tali kekang untanya sambil menyeberangi sungai tersebut.
Melihat hal itu, Abu ‘Ubaidah al-Jarrah lantas bersuara: "Wahai Amirul Mukminin, engkau tanggalkan kasutmu, lalu diletakkan di atas bahu. Engkau tarik tali kekang untamu, kemudian engkau menyeberangi sungai ini. Aku dapat rasakan, jika penduduk Syam melihat keadaanmu ini, mereka tidak akan memuliakanmu.
‘Umar bin al-Khattab seraya berkata: "Sekiranya yang berkata seperti ini, orang selain darimu, nescaya aku akan memukulnya sebagai pengajaran ke atas umat Muhammad. Dahulu kita merupakan kaum yang hina, kemudian Allah muliakan kita dengan Islam. Oleh itu, apa jua usaha untuk mencari kemuliaan selain Islam, maka Allah akan meletakkan kita dalam kehinaan." (riwayat al-Hakim)
Tidak hairanlah jika manusia seperti ini ditakuti syaitan, sebagaimana sabda Nabi Muhammad, maksudnya: " Jika syaitan bertemu denganmu di suatu jalan, nescaya dia akan memilih jalan yang lain. " (hadis riwayat al-Bukhari).
Bagi ‘Umar bin al-Khattab agama Islam merupakan satu kemuliaan paling besar dalam seluruh kehidupannya. Beliau menampilkan Islam bukan sahaja pada perwatakan peribadi bahkan dalam urusan politik, ekonomi, ketenteraan, sistem pentadbiran dan muamalat. Inilah bukti bahawa kehidupan ‘Umar sesuai dengan fitrahnya iaitu Islam.
Sabda Nabi Muhammad, maksudnya: " Tiada satu pun anak yang lahir kecuali dilahirkan dalam keadaan fitrah. Orang tuanyalah yang menjadikan dia yahudi, nasrani atau majusi ." (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar al-‘Asqalaani berkata: "Pendapat paling masyur dalam pengertian fitrah adalah Islam." ( Fathul bari Syarh Shahih al-Bukhari )
Kekuatan bukan pada kuantiti
Apabila Islam dimuliakan pasti Muslim beroleh kejayaan. Tetapi apabila Islam dipinggirkan pasti Muslim beroleh kehinaan. Sejarah telah membuktikan ketika pemerintah ‘Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; Mesopotamia, Syam, empayar Parsi, Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia berjaya ditawan olehnya. Sebanyak 1036 bandar ditawan dan 4,000 masjid dibina.
Kekuatan umat Islam pada ketika itu terbukti apabila berlaku peperangan Yarmuk menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang telah berjaya menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hanya berbekalkan iman dan takwa mereka berjaya. Jelaslah bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada kuantiti sebaliknya pada kualiti seorang pejuang.
Firman Allah, maksudnya: " Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. " (surah al-Baqarah, 2: 249).
Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata: " Janji Allah pasti benar, dan sesungguhnya pertolongan dari Allah tidaklah bergantung kepada kuantiti atau kelengkapan perang ". (Tafsir al-Quran al-‘Adzhim).
Maksudnya, apabila Allah menghendaki kemenangan sesuatu golongan, maka ia pasti berlaku walaupun jumlah mereka kecil atau kelengkapan mereka kurang.
Hari ini, jumlah atau kuantiti menjadi satu medium penting manusia untuk mencapai apa yang dicita. Politik hari ini sentiasa cintakan jumlah. Kukuhnya ekonomi juga bergantung kepada jumlah. Kekuatan tentera hari ini turut bergantung kepada jumlah.
Tetapi manusia lupa tingkatkan jumlah iman di hati. Menyebabkan segala jumlah yang ada sia-sia. Tiada usaha untung menghitung jumlah iman. Seruan untuk iman hanyalah selingan, dunia diberi keutamaan dan kemenangan sering didoakan. Jika keadaan seperti ini berterusan, bagaimana nak harapkan bantuan Allah ke atas kalian?
Agama seolah-olah hak ekslusif
Bantuan Allah datang bersyarat, firman-Nya, bermaksud: " jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu " (surah Muhammad, 47:7)
Penolong agama Allah pasti akan dibantu, bahkan akan diperkukuhkan kedudukannya di atas muka bumi. Bantuan yang Allah janji pasti kekal abadi, bantuan manusia hanyalah drama bersifat sementara. Jika kita beriman pada ayat di atas, bertanyalah; Apa ada pada jumlah jika kualitinya tiada?
Sebagai contoh, jumlah ahli parti yang ramai tetapi tidak berilmu, maka perjuangan tidak akan konsisten. Penulis tidak nafikan bahawa sebahagian daripada mereka ikhlas dalam membantu parti masing-masing, tetapi jika keikhlasan tersebut tidak dianyam dengan dengan ilmu pengetahuan, maka kegagalan bakal tiba.
Sebahagian yang berilmu pula fanatik dan berminda sempit. Mana mungkin perpaduan terhasil. Bahkan mereka menjadikan agama seolah-olah hak ekslusif. Agama milik kami. Apa yang kamu lakukan bukan Islam, apa yang kami laksanakan semua Islam. Itulah perkataan-perkataan sumbang bukti kedangkalan mereka. Dan yang membimbangkan lahirnya ideologi neo-khawarij, apabila wujud sikap kafir mengkafir dan sering mencari kesalahan orang lain.
Paling bermasalah adalah yang tidak berilmu mengaku berilmu, pantang ditanya terus berfatwa. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kenyataan seorang tokoh ilmuan tersohor di Malaysia: "tindakan Perlis keluar dari jamaah dan mengambil jalan sendiri kononnya mengembangkan Islam tanpa mazhab adalah salah dan mesti ditentang."
Perlembagaan negeri Perlis sebenarnya menyatakan ketidakterikatan dengan mana-mana mazhab. Maksudnya, Perlis menerima semua mazhab Ahli Ssunnah wal Jamaah. Perlis menerima Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali dan seluruh mazhab-mazhab yang dipelopori oleh Ahlu Sunnah. Bahkan, perlembagaan ini tidak bercanggah dengan mana-mana artikel dalam perlembagaan persekutuan.
Ini menunjukkan bahawa Perlis mengamalkan dasar terbuka dan menghormati semua ulama. Penulis tidak bermaksud menyentuh perlembagaan negeri lain. Itu terpulang kepada hak masing-masing. Yang paling penting perlu ada sikap hormat-menghormati antara satu dengan yang lain walau berbeza pandangan. Jangan kerana kejumudan ia membawa kepada perpecahan tercela.
Malu dengan agama sendiri
Hal ini mengingatkan penulis kepada satu hadis Nabi, maksudnya: " Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan ilmu (di atas dunia) dengan mengangkatnya. Sebaliknya, Allah menghilangkan ilmu dengan mematikan ulama. Lalu manusia melantik si jahil sebagai ketua mereka, kemudian ditanya soalan kepada si jahil. Maka si jahil mengeluarkan fatwa tanpa ilmu, maka dia telah sesat lagi menyesatkan ." (hadis riwayat al-Bukhari).
Oleh itu, sekiranya jumlah yang banyak tidak diisi dengan ilmu akidah, ibadah dan akhlak, maka kejayaan sesuatu kaum hanyalah mimpi yang indah. Inilah janji Allah Ketiga-tiga elemen ini hendaklah disekalikan agar wujud kader-kader yang mantap. Tinggalkan sikap berilmu tapi tidak berakhlak, atau berakhlak tetapi tidak berilmu.
Contoh yang lain, manusia hari ini juga menjadikan kelengkapan perang, nuklear, atom, jet dan lain-lain sebagai kayu ukur kekuatan ketenteraan sesebuah negara. Iran negara Syiah digeruni dengan nuklearnya, perselisihan antara Korea Utara dan Korea Selatan kerana nuklear. Rusia dan Amerika ditakuti kerana kelengkapan senjatanya.
Jika rasa takut pada manusia kita dahulukan, maka kita akan mengutamakan jumlah kekuatan, persiapan dan kelengkapan senjata. Tetapi jika rasa takut pada Allah kita utamakan, maka usaha untuk melahirkan pejuang-pejuang yang ikhlas, beriman lagi beramal soleh lebih dititikberatkan. Oleh itu rasa takut yang mana perlu kita dahulukan? Ingat, janji Allah bersyarat. Hairan, di mana iman umat Islam pada ayat-ayat Allah?
Pejuang terdahulu dilatih dengan iman dan takwa, pejuang kini dilatih dengan harta dan kuasa. Pejuang dahulu ikhlas kerana agama, pejuang kini menjunjung dunia. Pejuang dahulu tewas sebagai syuhada, pejuang kini tunduk kepada dunia sebagai hamba. Dua sesi latihan yang berbeza, sudah tentu hasilnya tak sama.
Oleh itu, nilailah sendiri wahai manusia, di mana kedudukan kita? Apa keutamaan kita? Sayangnya, umat Islam hari ini malu dengan agamanya sendiri, akhirnya Islam dicemuh kerana sikap si Muslim.
Fathul Bari Mat Jahya merupakan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat (Ulama Muda UMNO (iLMU ). Graduan hadis daripada Universiti Islam Madinah dan Universiti Yarmouk Jordan itu kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau kini bertugas sebagai penasihat agama di Institut Jantung Negara.