Persaingan dunia persuratkhabaran di Sarawak kini semakin sengit. Akhbar nasional memasuki pasaran Sarawak dengan begitu agresif sejak kebelakangan ini sehingga memberi kesan langsung kepada kedudukan akhbar dalam pelbagai bahasa di negeri ini.
Akhbar Sarawak yang dikaitkan dengan kepemimpinan politik negeri atau parti politik yang berkuasa, tidak mempunyai pilihan, kecuali perlu menyesuaikan dasar editorial dan pendekatan laporannya dengan tuntutan zaman dan pembaca.
Jika tidak, akhbar itu akan menerima pukulan dan hukuman, kerana dipulaukan oleh pembaca yang semakin kritikal. Pembaca di Sarawak yang semakin terdidik, seperti juga pembaca di Semenanjung tidak lagi mahu disogokkan dengan berita yang terlalu pro-kerajaan.
Itulah sebabnya, dalam pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini, dua akhbar dalam bahasa Inggeris, Borneo Post dan Eastern Times dilihat cuba menarik perhatian pembaca, dengan turut menyiarkan berita tentang Pakatan Rakyat, terutamanya parti yang bertanding, DAP.
Tetapi, jumlah berita dan corak laporan yang memihak kepada Barisan Nasional (BN), masih lagi mendominasi keseluruhan halaman. Corak laporan demikian, belum mampu meletakkan akhbar terbabit sebagai mengamalkan kebebasan dan laporan objektif seperti yang dituntut oleh pembaca.
Pisang berbuah dua kali
Maksudnya, laporan yang masih pro-BN tidak mampu memujuk pembaca untuk kembali membaca akhbar terbabit.
Akhbar berkenaan masih dianggap sebagai mesin propaganda kerajaan BN, terutamanya menjelang setiap pilihan raya, termasuk pilihan raya sengit di Sibu. Kecenderungan tiga buah akhbar milik KTS, yang dikaitkan dengan calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Robert Lau Jr, bukanlah sesuatu yang menghairankan. Akhbar berkenaan perlu berhati-hati dalam laporannya, kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Borneo Post , yang dilancarkan pada 1978, pernah dikritik keras oleh SUPP, ekoran kekalahan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Wong Soon Kai kepada Wong Ho Leng di Bukit Assek dalam pilihan raya negeri pada 1996.
Satu daripada punca yang didakwa SUPP menyumbang kepada kekalahan presiden parti tertua itu ialah laporannya yang tidak begitu memihak kepada SUPP. Mengikut analisis kandungan, tidak sampai pun 20 peratus laporannya adalah tentang pembangkang, dan rata-rata laporannya adalah lebih memihak kepada SUPP.
Akibatnya, akhbar itu dihukum, dengan tidak dibenarkan untuk dilanggan oleh jabatan dan agensi kerajaan untuk beberapa waktu. Pendapatannya terjejas, sehingga akhbar itu perlu menyesuaikan corak laporannya kepada tuntutan pemimpin politik negeri.
Akhbar di Sarawak, seperti di Semenanjung, dianggap oleh pemerhati media sebagai memang tidak lebih daripada rantaian Jabatan Penerangan.
Memburuk-burukkan pembangkang
Kebanyakan laporannya adalah berkaitan dengan kenyataan pemimpin politik yang menasihati pembaca supaya menyokong kerajaan BN dengan memburuk-burukkan pembangkang.
Corak liputan demikian amat ketara menjelang setiap pilihan raya, tidak terkecuali pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini. Pembangkang disergah dan dikritik habis-habisan oleh pemimpin, dengan kenyataan keras mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Pakatan Rakyat, terutama DAP dikatakan menggunakan pendekatan agresif dalam kempen sehingga SUPP kalah dalam pilihan raya sengit itu. Benarkah kempen agresif DAP menyebabkan SUPP kalah, atau itu hanya alasan SUPP dan BN?
Sebenarnya, seperti yang banyak dikupas oleh pelbagai pihak, kekalahan itu, sebenanrya berpunca daripada kelemahan SUPP dan BN.
Jika akhbar di Sarawak tidak menyesuaikan corak dan pendekatan laporannya, ada kemungkinan akhbar terbabit akan mengalami kemerosotan teruk dari segi edarannya. Akhbar perlu bersikap realistik, dengan tidak lagi lagi menganggap pembaca hari ini, sama seperti pembaca 20 atau 30 tahun lalu.
Pembaca mempunyai pilihan untuk memilih akhbar yang mereka hendak baca, malah berita yang hendak dibaca, serta berita yang hendak dikekalkan di dalam ingatan sesuai dengan teori selektif dalam komunikasi.
Jangan anggap pembaca ialah tong sampah yang boleh disumbatkan dengan pembagai berita yang jelas merupakan propaganda. Laporan yang terlalu memihak merupakan jalan singkat ke arah perkuburan akhbar.
'Bias' secara profesional
Akhbar perlu berperanan sebagai pasar bebas idea dan maklumat. Sejauh yang berkaitan dengan berita politik, akhbar perlu menyiarkan berita tentang kedua-dua belah pihak; bukannya terlalu sendeng ke arah parti yang didukungnya. Mungkin akhbar perlu bersikap 'bias' secara profesional, dan bukannya bersikap 'bias' dan memihak melampau.
Akhbar berperanan untuk mematangkan demokrasi dan mendidik pengundi agar menjadi pengundi yang bijaksana. Mungkinkah sebahagian daripada pengundi sudah tertawan minda mereka?
Adakah propaganda bertubi-tubi melalui media, termasuk akhbar selama ini menyebabkan mereka tidak mampu menjadi pengundi yang rasional?
Sikap akhbar di yang terlalu pro-kerajaan menyebabkan, sebahagian pembaca, terutama pembaca dan pengundi muda, beralih kepada alam maya dan portal berita. Akhbar alternatif menjadi saluran maklumat utama kerana menyiarkan berita yang tidak disiarkan oleh akhbar arus perdana. Akhbar alternatif lebih dipercayai kerana tidak memihak dalam laporannya.
Seperti kebanyakan akhbar utama di Semenanjung, akhbar di Sarawak dikaitkan dengan politik.
Kini terdapat tujuh akhbar di negeri 2.5 juta penduduk itu. Terdapat dua akhbar dalam bahasa Inggeris, dua dalam bahasa Malaysia dan tiga dalam bahasa Cina dengan edaran keseluruhan sekitar 200,000 naskhah.
The New Sarawak Tribune dan Utusan Sarawak dikaitkan dengan keluarga Ketua Menteri, manakala Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dikaitkan dengan The Borneo Post , Utusan Sarawak , dan See Hua Daily . Akhbar paling berpengaruh di Sarawak kini ialah The Borneo Post , dengan edaran 86,000.
Jelmaan semula
Baru-baru ini akhbar The New Sarawak Tribune masuk semula ke pasaran sesudah empat tahun hilang dari pasaran.
Akhbar itu sebenarnya ialah jemlaan semula Sarawak Tribune , akhbar tertua dan paling berpengaruh suatu ketika dahulu, sebelum permit penerbitannya digantung oleh Kementerian Dalam Negeri pada 2006 kerana menyiarkan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW. Dari segi masthead, logo, font dan halaman akhbar The New Sarawak Tribune didapati menyerupai Sarawak Tribune , yang mula diterbitkan pada 1945.
Namun, pihak pengurusan, tentunya atas arahan pemimpin politik negeri, mengambil keputusan untuk menutup terus akhbar itu sebagai membuktikan kekesalan dan malu yang tidak terhingga terhadap kesilapan berkenaan di tengah-tengah kemarahan umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia.
Kemudian, muncul akhbar Eastern Times pada 26 Mac 2006 sebagai pengganti, malangnya, akhbar itu tidak memberi kesan di pasaran yang sudah tepu itu. Edarannya di bawah 10,000 naskhah.
Kegagalan akhbar itu menyebabkan pihak pengurusan mengambil tindakan drastik menghentikan penerbitannya, dan menerbitkan semula Sarawak Tribune .
Akhbar yang dijenamakan semula itu dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 19 Mei lalu. Berdasarkan hakikat itu sahaja, sudah terang lagi bersuluh, kita sudah dapat mengagak, siapa sebenarnya di belakang penerbitan akhbar berkenaan.
Langkah 'penjenamaam semula' dan kitaran semula itu, dijangka tidak akan banyak membawa kesan, kerana perubahan itu tidak lebih daripada perubahan kosmetik, sedangkan dasar editorialnya masih lagi sama, iaitu tidak objektif dan terlalu memihak kepada pemilik dan kerajaan BN.
Bagi pihak pengurusan, dengan menerbitkan semula Sarawak Tribune itu, diharapkan edaran dan pendapatan periklanannya akan meningkat, setidak-tidaknya sama seperti yang pernah dinikmati akhbar itu suatu ketika dahulu.
Mungkinkah pembaca lama masih mahu bernostalgik dengan kembali membaca The New Sarawak Tribune ? Hakikatnya, dunia dan hukum-hakam akhbar sudah jauh berubah. Padang permainan sudah tidak lagi sama.
Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam bidang media dan politik.
