Dalam tulisan sebelum ini, saya menjelaskan latar belakang dan kehadiran karya agung Ibn Rushd, Al-Kashfu ‘an Manahij al-Adillah fi ‘Aqaid al-Millah sebagai mengkritik mazhab teologi al-Asya’irah dan al-Ghazali yang rancu tentang Allah, sifat-sifat dan perbuatan-Nya.
Tulisan kali ini bertujuan melihat sisi kritikan tersebut mengikut setiap bab yang terkandung dalam karya yang saya terjemahkan sebagai "Penyingkapan Metod Demonstratif terhadap Akidah Mazhab Kalam dalam Islam".
Karya ini telah dilupakan oleh umat Islam dalam tradisi pengajian falsafah Islam.
Secara khususnya, buku ini mempunyai tiga bab utama, yang kemudiannya dipecahkan kepada beberapa fasal tertentu.
Bab pertama buku ini, failasuf Cordova itu cuba menganalisis dan mengkritik pandangan serta pemikiran beberapa kumpulan yang hadir di zamannya iaitu Al-Hasyawiyah, al-Asya’irah, Muktazilah, serta Batiniyyah (sufi).
Pada asasnya, bab pertama dalam buku ini membicarakan tentang bagaimana pembuktian kewujudan Allah dengan mengetengahkan doktrin mazhab tersebut, seterusnya membuat kritikan dan meluruskan pandangan mereka.
Manakala bab yang kedua pula, Ibn Rushd – atau lebih dikenali Averroes – membahaskan tentang tentang sifat-sifat Allah termasuk pembahagian serta dan hubung kait antara sifat dengan zat-Nya.
Sementara bab ketiga pula, tokoh rasionalis Islam itu membincangkan tentang perbuatan-perbuatan Allah, antaranya mengenai persoalan kebaharuan alam, persoalan sebab akibat dan persoalan qada’ dan qadar.
Sebelum saya meneruskan perbahasan dengan lebih lanjut, harus dicermati bahawa Ibn Rushd tidak pernah mengabaikan matlamatnya menulis, meringkas, memberi komentar atau mentafsir setiap buku yang ditulisnya.
Maksudnya, sebelum beliau membahaskan secara terperinci mengenai mazhab tersebut, beliau terlebih dahulu menjelaskan tujuan atau motif penulisan kitab ini (dan juga kitab-kitabnya yang lain).
Tidak kira sama ada dalam bidang falsafah, fiqh, metafizik, perubatan, bahasa Arab atau logik (mantiq), yang ditulis dalam bentuk talkhis , mukhtasar , jawami’ atau syarah kabir , beliau menerangkan hadaf itu pada permulaan kitab tersebut.
Di situlah terletaknya kepentingan atau isi pokok perbahasan yang ingin dibahasnya.
Penjelasan empat perenggan pada permulaan kitab ini diteliti dan cermati, saya dapati beliau meluncur satu teori umum yang menjadi tulang belakang dan bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh empat kumpulan yang saya sebutkan tadi.
Teori itu ialah: " al-zahir min al-'aqaid allati qasada al-syar’u hamala al-jumhur ‘alaiha wa nataharra fi zalika kullihi maqsid al-syaari’, Salllahu ‘Alaihi Wasalam bi hasabi al-juhd wa al-istito’ah ."
Yang bermaksud "meneliti aspek zahir teks mengenai prinsip akidah yang dimaksudkan oleh syara’ untuk diketengahkan dalam masyarakat umum dan kami meneliti semuanya mengikut tujuan pembuat syariat, Salllahu ‘Alaihi Wasalam berdasarkan kesungguhan dan kemampuan".
"Oleh kerana masyarakat umum berasa bimbang dengan pengertian akidah ini dalam syariat sehingga lahir kumpulan yang sesat dan pelbagai puak.
"Setiap kumpulan tersebut mengakui bahawa mereka berada di atas syariat pertama (syariat di zaman Nabi SAW dan sahabat) dan mendakwa kumpulan yang tidak bersetuju (dengan cara mereka) sebagai kumpulan pembuat bid’ah atau kafir, (maka) harus akan darah dan harta mereka," katanya (perenggan tiga).
Menurut Ibn Rushd, tindakan ini disebabkan terpesongnya mereka daripada maksud Rasulullah SAW sebagai pembuat syariat dan kesesatan mereka dalam memahami tujuan syariat (maqsid al-syariah).
Mereka berpaling daripada lafaz zahir syara’ kepada pelbagai takwilan yang didakwa daripada syariat yang pertama untuk masyarakat umum.
"Apabila diteliti kesemuanya (hujah) dan diperhati tujuan-tujuan syariah jelaslah bahawa kesemuanya itu adalah ‘pandangan yang baharu’ dan ‘takwilan yang bid’ah," kata Ibn Rushd (perenggan 4).
Seorang pemikir Islam kontemporari Mohamad Abid Al-Jabiri dalam pengantar kitab ini berkata yang dimaksudkan dengan syara’ di sini pada pandangan failasuf Cordova itu: melakukan “"enyiasatan dan pembuktian secara ‘demonstratif rasional’ daripada ayat-ayat al-Quran dan terhenti pada zahir teksnya serta tidak berlebihan dalam membuat pentakwilan".