Setelah menekuni Al-Kashfu ‘an Manahij al Adillah fi ‘Aqaid al-Millah antara karya ulung failasuf Cordoba, Ibn Rushd, beberapa tahun lalu sehingga hari ini, semakin saya membacanya, semakin asyik untuk memahami kesudahan buku ini.
Karya ini, seperti nasib karya-karyanya yang lain, jarang sekali diperkatakan atau dibahaskan untuk perbincangan di universiti kita.
Sepanjang pengalaman saya belajar di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dahulu, buku ini tidak dijadikan bahan kuliah.
Saya mengenali buku ini pun selepas tamat pengajian sejak 2004 lalu.
Sekali pun tidak mahu dimasukkan dalam sukatan pengajian di kampus-kampus kita, saya fikir mahasiswa serta masyarakat umum patut didedahkan dengan buku ini.
Karya Ibn Rushd, atau Averroes di dunia ilmiah Eropah, meluncurkan satu kritikan umum terhadap mazhab ahli kalam – pada zamannya dan kini - khususnya kepada al-Asya’irah, mazhab teologi yang menterasi akidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.
Ia dihasilkan sebagai usaha membumikan karya klasik Greek dalam falsafah Islam.
Ibn Rushd bukan sahaja failasuf, beliau juga seorang qadi, ahli fiqh, pengamal perubatan dan pemikir Islam sewaktu pemerintahan kerajaan Muwahhidin pimpinan khalifah Abu Yaakub Yusuf Abdul Mukmin.
Beliau menulis buku sewaktu berada di Marakesh, Maghribi pada tahun 575 H atau 1179 M. Bebarapa tahun sebelum itu, beliau dilantik menjadi qadi (hakim) di Cordova (Qurtubah) dan Ishbiliyyah (Seville).
Buku ini sambungan dan pelengkap kepada karyanya yang awal Al-Damima fi al-Ilm Al Ilahi , sebuah makalah mengenai ketuhanan dan Faslul Maqal fi Taqrir ma baina al-Syariah wal Hikmah Min al-Ittisal , karya yang mengharmonikan antara Islam dan falsafah, setahun sebelum itu.
Jamaluddin al-Alawi (almarhum), menulis dalam bukunya Al-Matan Al-Rushdiyy , berkata Ibn Rushd menulis karya-karya ini, ketika zaman " al-fasilah al-Ghazaliyyah " (tempoh mengkritik karya Imam Al-Ghazali) iaitu selepas beliau menguasai ilmu dari ahli falsafah Greek dan sebelum beliau memasuki zaman untuk menghuraikan karya Aristotle secara terperinci (al-syarh al-kabir) - perkataan demi perkataan, ayat demi ayat dan menghuraikan dengan bahasa yang lebih mudah.
Sebelum zaman tersebut, beliau menguasai, memberi komentar, dan meringkaskan karya-karya tokoh failasuf dari Greek, seterusnya menghasilkan lebih 30 karya yang dinamakan sebagai al-talkhis dan al-mukhtasar . Kedua-dua jenis buku ini bermaksud 'ringkasan'.
Karya beliau al-Kulliyat fi al-Tibb (kitab perubatan) dan Bidayatul Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid (kitab fiqh empat mazhab) ditulis pada zaman ini.
Manakala tokoh pemikir Islam kontemporari Mohamed Abid al-Jabiri menyifatkan buku ini karya terhadap kritikan pemikiran al-Ghazali dan mengkritik buku pengikut al-Asy’ari yang ralat dan rancu ketika membahaskan tentang ketuhanan dan sifat-sifatnya.
Dengan perkataan lain, bermula tahun 574 H hingga 576 H, merupakan waktu reaksi intensif Ibn Rushd terhadap masalah pengkafiran terhadap ahli falsafah Greek oleh Imam al-Ghazali dalam karya-karyanya.
Oleh itu Ibn Rushd cuba mengharmonikan antara syariat Islam dan falsafah. Katanya, kedua-duanya saling memerlukan antara satu dengan lain sambil menyifatkan mereka adalah "saudara susuan".
Buku ini juga sebagai kritikan terhadap kumpulan atau mazhab ilmu kalam yang cuba memaksa aliran pemikiran mereka kepada umum, khususnya kepada mazhab teologi al-Asya’irah, pada waktu itu.
Oleh itu, dalam tempoh " al-fasilah al-Ghazaliyyah " ini, Ibn Rushd menulis empat karya penting falsafah Islam dan "membetulkan akidah" umat Islam termasuk mengkritik kitab Tahafut al-Falasifah , karya agung al-Ghazali dengan magnum opusnya Tahafut al-Tahafut .
Ibn Rushd menulis empat karya tadi selepas beliau menguasai ilmu dan meringkaskan karya-karya Aristotle dan karya Greek yang lain, yang meliputi ilmu logik (mantiq), perubatan, metafizik dan ilmu tabii.
Di samping itu, beliau juga menguasai tradisi pemikiran Islam seperti Al-Quran, hadis, fiqh empat mazhab, usul fiqh dan usuluddin.
Sehubungan itu saya mencadangkan kempat-empat karya ini harus dibaca bersama agar kita mendapat gambaran awal tentang jalur pemikiran Ibn Rushd dalam usaha beliau untuk meluruskan pandangan al’Asya’ari dan al-Ghazali yang melekat dan sebati sekian lama.