Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sultan Selangor titah siasat segera Faisal Halim disimbah asid
Diterbitkan:  May 6, 2024 7:30 AM
Dikemaskini: May 6, 2024 1:35 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar polis segera menyiasat insiden berunsur keganasan membabitkan pemain pasukan Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim, atau lebih dikenali Faisal Halim, yang disimbah asid di sebuah pusat beli-belah semalam.

Sultah Sharafuddin selaku penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai presiden Selangor FC mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral itu dan mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian hingga akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap segera.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda juga bertitah mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis.

“Baginda memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.

"Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan,” menurut kenyataan itu.

Faisal Halim

Baginda turut menzahirkan kekhuatiran jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.

Baginda turut mendoakan agar Faisal Halim kembali sihat seperti sedia kala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC.

Arena bola sepak tempatan semalam dikejutkan dengan insiden pemain kebangsaan cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi kemudiannya mengesahkan insiden tersebut menyebabkan Faisal Halim mengalami kelecuran tahap dua dengan kecederaan di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS