Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes tembak di Pasir Mas: Mangsa, suspek saling mengenali - polis

Polis mendedahkan bahawa mangsa dan suspek kes tembakan di Kampung Alor Pinggan, Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, semalam, saling mengenali, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Muhamad Zaki berkata berdasarkan siasatan, mangsa dan suspek kemungkinan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh sehingga menimbulkan konflik.

Menurutnya, hasil siasatan kes berkenaan kini telah 80 peratus siap dan mangsa dalam kes ini mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau.

"Kemungkinan suspek juga menyasarkan sepupu mangsa yang berada di rumah itu ketika kejadian kerana kereta jenis Perodua Myvi milik sepupu mangsa banyak mengalami kerosakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Back To School dan Majlis Pelantikan Pemimpin Murid di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, di Kota Bharu, hari ini.

Muhamad Zaki berkata polis juga percaya dua suspek yang terlibat dalam kes itu masih berada di Kelantan dan kawalan serta pemeriksaan kini diperketatkan.

Dia berkata senjata api yang digunakan suspek dipercayai jenis pistol separuh automatik (semi auto) dengan peluru jenis Luger 9 milimeter.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dilaporkan mangsa dan sepupunya yang sedang tidur terjaga ketika kedengaran bunyi empat das tembakan di luar rumahnya kira-kira 3 pagi semalam.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS