Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN tak bincang pertukaran pimpinan kerajaan Perlis - Azmin

PRK KKB | Pengerusi PN Selangor Azmin Ali mengesahkan gabungan itu tidak berbincang mengenai kemungkinan pertukaran kepimpinan dalam kerajaan negeri Perlis.

Dia menyifatkan kenyataan Ketua Perhubungan Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah bahawa parti itu sedia menerajui kerajaan negeri sebagai pandangan peribadi.

"Itu adalah pandangan peribadi. Itu tidak pernah dibincang dalam PN dan itu tak boleh diambil kira sebab di dalam gabungan ini kekuatan kita semua perkara dibincangkan atas prinsip kebersamaan.

"Sebab dalam PN tak ada amalan ‘Big Brother’, semua parti mempunyai hak yang sama untuk berbincang," katanya kepada pemberita selepas ceramah kelompok di Taman Ampang Pecah malam tadi.

Terdahulu, Adun Hulu Kelang itu diminta mengulas kenyataan Abu Bakar Hamzah bahawa parti itu bersedia mengambil alih kerajaan negeri, sekiranya wakil parti itu diminta berbuat demikian.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang hadir pada majlis berkenaan turut mengulangi bahawa masih masih terlalu awal untuk membincangkan perubahan kerajaan negeri Perlis.

Ahmad Fadhli berkata, siasatan penuh perlu dilakukan pihak berkuasa sebelum sebarang perbincangan mengenai kedudukan Shukri boleh dibuat.

Sebelum ini, Suruhan jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli untuk merakam kenyataannya berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Ia susulan penahanan anak Shukri dan lima yang lain bagi membantu siasatan berkaitan penyerahan dokumen dan tuntutan palsu membabitkan RM600,000 sejak dua tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS