Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BCorp buat laporan polis, mahu sumber berita Bloomberg dijejaki
Diterbitkan:  Apr 29, 2024 10:38 AM
Dikemaskini: 7:46 AM

Berjaya Corp Bhd (BCorp), telah membuat laporan polis pada 26 April lalu dalam usaha untuk menjejaki "sumber tidak dinamakan" yang dipetik dalam laporan Bloomberg mengenai rancangan kononnya, pengasas syarikat itu, Vincent Tan sedang mengadakan perbincangan untuk menubuhkan sebuah resort kasino di Forest City bernilai AS$100 bilion (RM477.60 bilion).

BCorp sejak itu menafikan dakwaan bahawa rancangan sedemikian sedang dalam perbincangan.

Dalam satu kenyataan semalam, ia berkata sumber tersebut telah mencemarkan nama baik mereka dengan menyebarkan maklumat palsu dan ia percaya polis akan mengambil langkah perlu untuk menyiasat perkara itu.

“Kami dengan hormatnya menggalakkan mana-mana penerbitan supaya lebih berhemah sebelum membuat sebarang dakwaan tanpa pengesahan terlebih dahulu,” kata kenyataan itu.

Menurut syarikat itu, mereka percaya penerbitan berniat jahat itu mahu menyebabkan gangguan politik, menjejaskan kepercayaan orang ramai dan memesongkan persepsi orang ramai terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan  Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Penerbitan berniat jahat sebegitu diburukkan lagi dengan fakta bahawa tidak ada agensi berita yang melakukan sebarang percubaan untuk mengesahkan atau menyemak kebenaran dan ketepatan kenyataan dalam artikel itu sebelum menerbitkannya.

“Ini, terutamanya kenyataan itu dikaitkan dengan 'sumber yang tidak dinamakan',” kata BCorp.

Syarikat itu juga menggesa Bloomberg dan The Edge Singapura, yang memetik berita berkenaan, supaya membuang sebarang "maklumat tidak tepat" yang menyalahgambarkan pertemuan mereka dengan Anwar mengenai pemulihan projek mega berbilion ringgit di Johor tersebut.

Perdana menteri juga menafikan bahawa penubuhan kasino adalah sebahagian daripada pemulihan projek dan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu terhadap agensi berita itu.

Vincent Tan, Pegasas Berjaya Corp Bhd

“Kami ingin mengulangi dan menjelaskan bahawa pengasas kami, Vincent Tan tidak terbabit dalam sebarang rundingan dengan mana-mana pihak yang dilaporkan.

“Ini termasuk Anwar dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting. Begitu juga dengan sebarang wakil Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atau Seri Paduka sendiri,” kata BCorp.

Selain BCorp, Genting Malaysia Berhad juga menafikan laporan media mendakwa syarikat itu terlibat dalam perbincangan mengenai projek kasino di Forest City, Johor.

Lihat Komen
ADS