WAWANCARA | Ada yang beranggapan impian PH mengekalkan kerusi Kuala Kubu Baharu boleh bertukar menjadi mimpi ngeri susulan kekecewaan pengundi Cina dan rasa tidak puas hati pengundi India.

Penganalisis politik Wong Chin Huat mendakwa ini merupakan tindak balas terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh dalam isu KK Mart dan kegagalan PH menangani perkara tersebut.

"(Ia) membuatkan gelombang hijau (kemenangan PN pada PRU lalu) kelihatan kurang menakutkan," katanya pada temu bual bersama Malaysiakini.

Menurut Wong, pengundi pilihan raya kecil kali ini mungkin mempertimbangkan untuk berkecuali dan tidak keluar mengundi bagi menghantar mesej kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya.

Pun begitu, Wong berkata Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari secara tidak langsung menolong calon DAP Pang Sock Tao, yang membuat penampilan sulung pada pilihan raya ini.

Dia merujuk kenyataan Ahmad Fadhli yang mempersoal latar belakang pendidikan vernakular Pang.

“Dia menghidupkan semula rasa meluat dan ketidakpercayaan yang kuat orang bukan Islam terhadap Perikatan Nasional.

"Ini sudah tentu akan membantu meningkatkan kadar keluar mengundi di kalangan pengundi Cina dan meningkatkan peluang DAP,” katanya.

"Sekiranya DAP menang dengan pengundi Cina yang memuaskan, mereka mungkin perlu menghantar kad ucapan terima kasih kepada Fadhli. Musuh seperti itu hanya dihantar oleh Tuhan," sindirnya.

Wong menyimpulkan parti itu berada dalam kedudukan sukar sekiranya batasan "garisan merah" prinsip parti dilanggar dan prospek bekas perdana menteri Najib Razak keluar penjara untuk ditahan di kediaman mewahnya.

Katanya, ia ibarat suatu tindakan yang jika dibuat maka DAP tidak lagi boleh berpatah balik.

“Masalah Anwar dan PH adalah terlalu bekerja keras untuk menarik undi Melayu secara zero-sum game (kekalahan atau kerugian sesuatu pihak adalah kemenangan atau keuntungan bagi pihak lain).

“Adalah perlu dan sah dari segi politik bagi kerajaan untuk memikat kumpulan majoriti yang ia tidak mendapat sokongan tetapi ia perlu mengelak daripada terjerumus ke dalam paradigma lama permainan campur tolak (zero-sum game) ini. Kerajaan mesti keluar dari acuan ini.

“Namun, motivasi untuk keluar dari acuan lama adalah terhad jika mereka berpendapat golongan minoriti dan liberal tidak mempunyai pilihan lain.

"Mereka ada pilihan, dan pilihan mereka adalah untuk tidak keluar mengundi,” tambahnya.

Walaupun pilihan raya pada 11 Mei ini perebutan empat penjuru di atas kertas, Wong percaya hanya ada tiga pihak yang bersaing iaitu PH, PN dan “Parti Aku Malas Undi” (Pamu) - merujuk golongan yang tidak akan keluar mengundi.

Loke akan dipersalahkan?

Ditanya sama ada kekalahan atau kemenangan tipis akan menyebabkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dipersalahkan, Wong berkata dia tidak harus dipersalahkan jika keputusan pilihan raya kecil itu tidak menguntungkan PH.

Menurutnya, terdapat dua perkembangan "terpisah tetapi saling berkaitan", iaitu Loke menggantikan Lim Guan Eng, yang dianggap sebagai ahli politik yang terkenal dan kedudukan DAP dalam kerajaan campuran.

Wong berkata gaya "diplomatik dan pragmatik" Loke adalah aset yang diperlukan DAP dalam evolusinya daripada pembangkang menjadi sebahagian daripada kerajaan dan untuk mengembangkan pengaruh.

"Loke seorang yang cekap, berketerampilan dan bebas skandal, membuatkannya disenangi oleh orang Melayu yang sederhana," tambahnya.

Sebaliknya, Wong berkata jika DAP memilih pemimpin yang menarik bagi orang Cina—tetapi mungkin mengasingkan orang Melayu dalam proses itu—masa depannya mungkin gelap, susulan pengurangan sokongan Cina.

“Walaupun media kadangkala membuat spekulasi mengenai persaingan antara Loke dan rakan pimpinannya termasuk (Naib Pengerusi DAP) Nga Kor Ming, nampaknya Loke adalah pilihan konsensus bagi kebanyakan pemimpin DAP generasi mereka.

“Dari segi itu, gaya Loke adalah sebahagian isu generasi, mencerminkan demografi yang lebih pelbagai dalam kepimpinan dan keahlian DAP,” tambahnya.

Menjelaskan mengenai peranan DAP dalam kerajaan campuran, Wong berkata walaupun ini berkaitan, ia juga boleh dibezakan.

Setelah mendapat pengajaran dari Langkah Sheraton dan mahu mengelak kerajaan yang dikuasai PAS selepas pilihan raya umum lepas, Wong berkata DAP bertekad untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri walaupun parti itu tiada jawatan kabinet.

“Untuk mengelak label ‘dikuasai DAP’, Anwar sengaja mengurangkan perwakilan DAP dalam pentadbirannya dengan hanya empat menteri dan enam timbalan menteri dan hanya memberi ganjaran kepada DAP dengan menteri tambahan dalam rombakan pertama,” katanya.

Cabaran DAP

Kata Wong cabaran yang dihadapi DAP sebagai parti utama dalam kerajaan bukan sahaja untuk kekal cekap dan bersih, tetapi juga untuk tidak melangkah batas "garisan merah" tertentu dan memenuhi reputasinya sebagai kuasa politik yang tidak boleh dikompromi oleh kuasa dan faedah.

Mei lalu, bekas ahli parlimen Ong Kian Ming mendedahkan DAP bersedia untuk berkompromi dalam pelbagai isu tetapi membenarkan Najib keluar bebas adalah "garisan merah" yang tidak akan dilangkah.

“Walaupun PN suka melukis DAP sebagai tuan kerajaan yang sebenar sehingga kedua-dua Anwar dan Umno kehilangan kelayakan Melayu mereka di mata pengundi Melayu, DAP sebenarnya lebih terkawal berbanding Umno dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang tegas.

“Oleh itu kelihatan (DAP) dijinakkan di mata penyokongnya.

Penganalisis politik Wong Chin Huat.

“DAP dilihat oleh penyokong tradisinya sebagai telah berkompromi atas dua alasan. Pertama, pengurangan ketidaksamaan antara etnik dari segi undang-undang dan dasar (yang penyokongnya panggil perkauman yang diinstitusikan).

"Kedua, usaha untuk mencapai pembaharuan dan keadilan terhadap rasuah,” tambahnya.

Bagaimanapun, disebabkan ketakutan terhadap "gelombang hijau", Wong berkata penyokongnya dengan berat hati menerima tindakan itu.

“Tetapi kesabaran mereka teruji apabila Najib cuba keluar dari penjara dan Anwar membiarkan kontroversi KK Mart, yang ditiupkan oleh Umno, terbakar selama dua minggu.

Pilihan sukar

“DAP nampaknya tidak menemui cara yang berkesan untuk menghalang Umno berhubung Najib dan hubungan etnik,” tambahnya.

Bagaimanapun, Wong berkata DAP mempunyai pilihan walaupun sukar - supaya tidak melangkah "garisan merah" prinsip parti itu.

Menurutnya, DAP boleh menerima pakai pendirian untuk menyokong jawatan perdana menteri PH tanpa berada dalam pentadbiran kerajaan.

Kata Wong lagi, kesemua 39 ahli parlimen kecuali Alice Lau yang merupakan timbalan speaker, boleh duduk di bangku ahli parlimen penyokong kerajaan Di Dewan Rakyat.

“Ini tidak melanggar undang-undang antilompat berkenaan kerana ahli parlimen DAP tidak meninggalkan PH. Berada di bangku ahli parlimen penyokong kerajaan akan membolehkan mereka menjadi lebih kritikal dan juga mengelakkan mereka daripada kekecewaan dan kemarahan pengundi.

“Memandangkan Anwar pastinya tidak mahu melihat perkara ini, kehadiran ‘garisan merah’ itu akan menghalang kerajaan daripada terlalu condong kepada Umno atau penyokong nasionalis Melayu yang Anwar tunduk untuk menyenangkan hati mereka.

DAP perlu bincang 'garisan merahnya'

“Tetapi memandangkan menteri-menteri DAP telah melakukan begitu banyak usaha dalam kerja menteri mereka, motivasi untuk berbuat lebih banyak dalam kerajaan kini mungkin mengatasi kesanggupan untuk tinggal di luar kerajaan, menyebabkan hilangnya ‘garisan merah’ (DAP itu),” tambahnya.

Wong berkata DAP boleh menjadi lebih berkesan sambil kekal pragmatik dan sederhana dengan kembali kepada perbincangan dalaman parti mengenai batasan "garisan merah" ini.

“Perbincangan ini perlu untuk membina konsensus seluruh parti. Jika tidak, parti itu mungkin berpecah di tengah-tengah dengan keputusan untuk sekadar menjadi penyokong kerajaan (backbencher) jika Anwar pergi terlalu jauh, dengan bantahan datang dari ramai penyokong dan pembiayanya.

“Rasa tidak minat bercakap tentang 'garisan merah' itu sebahagiannya didorong oleh angan-angan bahawa PH dan Umno (mungkin Gabungan Rakyat Sabah, jika tidak GPS juga) boleh bergabung menjadi gabungan besar (super coalition), supaya PH dapat mengelakkan pergaduhan pelbagai penjuru.

"Prospek itu sudah terdedah apabila Umno tidak dapat memberikan undinya kepada PH dalam pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil lalu," katanya.

Jelas Wong, situasi ini menyebabkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bekerja keras berkempen untuk DAP di Kuala Kubu Baharu untuk membuktikan partinya masih bernilai terhadap rakan kongsi kerajaan campuran.

Sehubungan itu, Wong berkata selepas insiden KK Mart, tidak ada jaminan bahawa undi PH akan diberikan kepada Umno pula.

“Jika gabungan besar itu tidak berjaya, serta PH dan Umno terpaksa berlawan sesama sendiri sekurang-kurangnya di beberapa kawasan pilihan raya, maka kedua-dua parti perlu memikirkan lebih mendalam dan menguruskan dua tuntutan yang bersaing.

"(Iaitu) kerjasama sekarang sebagai rakan kongsi dalam kerajaan (serta diharap selepas Pilihan Raya Umum ke-16) dan persaingan dalam PRU16.

“Persaingan dalam pilihan raya dan kerjasama selepas pilihan raya adalah permainan baru, justeru memberi tekanan kepada parti dan ahli politik yang secara semula jadi lebih suka berpegang kepada apa yang mereka tahu.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja mereka menerima ini sebagai realiti yang tidak dapat dielakkan, keadaan mungkin akan menjadi lebih baik.

"Dan di sinilah pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu mungkin akan menjadi 'wake-up call' (peringatan) jika peratusan keluar mengundi rendah," kata Wong lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS